editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Menyambut kedatangan bulan Ramadan yang penuh berkat, Daqmie Music Factory bersama Perkim Datuk Keramat melancarkan sebuah projek istimewa, single nasyid “HULURKAN”, yang bertujuan mengajak masyarakat untuk menyumbang kepada golongan yang memerlukan.
Projek ini adalah inisiatif untuk memperkasakan dakwah melalui seni nasyid, serta mengumpul dana bagi menyokong pelbagai program kebajikan dan pendidikan sepanjang tahun.
Apa yang menarik, lagu HULURKAN dijayakan oleh tujuh penyanyi nasyid popular iaitu Mestica, Fine, Zaidi Wildan, Darwish, Shidee Khayran, Cahaya Hati, dan pengasas Daqmie Music Factory, Daqmie sendiri.
Daqmie, yang juga duta Perkim Datuk Keramat berkata, inspirasi untuk lagu HULURKAN tercetus selepas melihat kejayaan lagu amal “We Are The World” yang dilancarkan pada tahun 1985.
Sama seperti lagu berkenaan yang mengumpulkan artis-artis terkemuka dunia untuk mengatasi kebuluran di Ethiopia, HULURKAN juga membawa mesej kemanusiaan dan mengajak masyarakat untuk bersama-sama beramal, terutama di bulan Ramadan ini.
“Seperti We Are The World, lagu HULURKAN juga bertujuan untuk membawa mesej kemanusiaan yang penuh harmoni dan kasih sayang.
“Ia mengajak kita untuk menghulurkan bantuan, sama ada dalam bentuk kewangan, barangan, tenaga, masa, atau doa, kepada mereka yang memerlukan,” kata Daqmie.
Projek ini turut mendapat sokongan daripada Pengerusi Perkim Datuk Keramat, Suhaimi Abdul Aziz, yang percaya bahawa seni, khususnya nasyid, adalah medium yang paling dekat di hati masyarakat.
Beliau berharap melalui lagu ini, lebih ramai pihak akan menyokong usaha dakwah dan kebajikan yang dilaksanakan oleh Perkim.
“Lagu ini bukan sahaja menyampaikan mesej kemanusiaan, tetapi juga sebagai platform untuk mengumpul dana bagi menyokong program-program kebajikan yang dilaksanakan oleh Perkim Datuk Keramat,” katanya.

Pelancaran HULURKAN ini bertujuan untuk mengumpul dana yang akan digunakan untuk menyokong enam inisiatif utama Perkim Datuk Keramat, antaranya:
- Menampung kos operasi Rumah Mualaf PERKIM Datuk Keramat yang menempatkan 40 penghuni.
- Aktiviti dakwah berterusan, termasuk kelas pengajian dan program kebajikan untuk saudara baru dan masyarakat Non-Muslim.
- Dana pembelian van pengangkutan untuk mualaf.
- Pembangunan Kompleks Dakwah Mualaf Mahmood di Puncak Alam, dengan anggaran kos RM3.5 juta.
- Pembangunan semula Sekolah Al-Ummah dengan kos anggaran RM3.5 juta.
- Pengurusan Pusat Pengajian Al-Quran dan Fardu Ain Al Muqaddasah, yang menaja pelajar asnaf dan anak-anak mualaf.
Projek lagu HULURKAN ini juga mendapat sokongan daripada Yeop’s Kitchen dan dirakamkan di studio Smart Audio dengan bantuan komposer dan jurutera bunyi, Alfa Booty.
Lagu ini diterbitkan oleh Arteffects Production milik Hafiz Hamidun dan kerjasama Sony Music Malaysia.
Lagu ini sudahpun dilancarkan di semua platform digital sejak 28 Februari yang lalu.
Dengan pelancaran lagu HULURKAN, Perkim Datuk Keramat berharap lebih ramai pihak akan tampil memberi sokongan sama ada melalui sumbangan atau penyertaan dalam program-program yang dianjurkan.
Ini adalah peluang untuk semua masyarakat bersama-sama menjayakan usaha mulia ini demi kebaikan bersama.
Lagu HULURKAN adalah satu inisiatif yang penuh makna, mengajak kita untuk bersama-sama menjayakan perubahan yang lebih baik, terutama di bulan Ramadan yang penuh rahmat ini.