29 C
Kuala Lumpur
Friday, April 24, 2026

TV AlHijrah perkenal program baru Hadis@114 dan musim terbaru Quran@114 bermula 1 Januari 2025

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Dalam semangat menyambut tahun baru 2025 dengan penuh pembaharuan dan keberkatan, TV AlHijrah, stesen televisyen Islam terkemuka negara, dengan bangga memperkenalkan dua program unggulan: Hadis@114 yang baharu, serta musim terbaru program fenomena, Quran@114.

Kedua-dua rancangan ini bertujuan memperkukuh kefahaman dan penghayatan umat Islam terhadap ajaran Al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW.

TV AlHijrah Komited Menyebarkan Ilmu dan Hikmah

Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris berkata, “Sebagai stesen televisyen yang berperanan besar dalam menyebarkan kebaikan dan kebijaksanaan, mereka bertekad untuk terus menyajikan program yang tidak hanya mendidik, tetapi juga memberi inspirasi, sejajar dengan nilai-nilai yang terkandung dalam Al-Quran dan Hadis.

“Dengan Hadis@114 dan Quran@114, kami berharap dapat memperkasakan ummah dengan ilmu yang relevan dan bermanfaat.

“Al-Quran adalah petunjuk utama di kanan kami, dan al-Hadis di kiri kami. Kedua-duanya menjadi panduan hidup bagi umat Islam.

“Melalui kedua-dua program ini, kami ingin menyambungkan penonton dengan dua sumber agung dalam ajaran Islam yang akan mengarahkannya menuju kehidupan yang penuh makna dan diberkati,” katanya.

Hadis@114: Menghayati Sunnah Rasulullah SAW

Hadis@114 adalah program yang menyajikan hadis-hadis pilihan dari sunnah Rasulullah SAW, dikupas secara mendalam dengan pendekatan ilmiah dan terperinci.

Program ini bertujuan memberi pemahaman yang lebih holistik mengenai pengajaran dan hikmah yang terkandung dalam sunnah, yang relevan tidak hanya pada zaman Baginda, tetapi juga untuk masyarakat Islam masa kini.

Disiarkan setiap hari mulai 1 Januari 2025, pada jam 6 petang, setiap episod Hadis@114 membawa penonton untuk mengkaji hadis dengan lebih kritis, dengan melihat kepada konteks sejarah, sosial, dan kedudukannya dalam syariat Islam.

Program ini menampilkan barisan ilmuwan berwibawa seperti Dr. Mohd Murshidi Mohd Noor, Dr. Norazam Khair Mohd Ithnin, Prof. Madya Dr. Khadher Ahmad, Ustaz Tariq Jaffri Mohd Akhbar, dan Ustaz Muhammad Hafiz Abdul Rahman yang akan menjelaskan aplikasi praktikal sunnah dalam kehidupan seharian.

Melalui pendekatan yang mendalam ini, Hadis@114 memberikan panduan praktikal dan rohaniah untuk membantu umat Islam menghayati kehidupan berlandaskan sunnah Rasulullah SAW.

Quran@114: Musim Terbaru dengan Tafsiran Mendalam

Tidak ketinggalan, Quran@114 kembali dengan musim terbaru yang lebih mendalam, memberikan tafsiran yang lebih jitu dan aplikatif terhadap ayat-ayat suci Al-Quran.

Program yang telah mencetuskan fenomena ini terus menjadi sumber inspirasi untuk umat Islam dalam memahami makna sebenar ayat-ayat Al-Quran.

Dikendalikan oleh pendakwah dan cendekiawan Islam yang berpengalaman seperti Ustaz Mohamad Zarifi Mohamad Daud, Dr. Ahmad Irdha Mokhtar, dan Ustaz Hassan Basri Ali, Quran@114 membincangkan ayat-ayat Al-Quran dari pelbagai sudut, mengaitkannya dengan realiti kehidupan moden.

Setiap episod disiarkan pada jam 11 pagi setiap hari, dengan tujuan memperkasa pemahaman spiritual penonton, di samping menyediakan panduan praktikal untuk menghadapi cabaran hidup zaman kini.

Melalui pendekatan tadabbur, Quran@114 memberi ruang kepada penonton untuk mendalami makna tersirat dalam ayat-ayat al-Quran, dengan tujuan menjadikan wahyu Allah SWT sebagai panduan dalam kehidupan seharian.

Panduan Hidup Berdasarkan Wahyu

Kedua-dua program ini, Hadis@114 dan Quran@114, menggabungkan unsur pendidikan, refleksi rohaniah, dan aplikasi praktikal dalam kehidupan umat Islam.

TV AlHijrah berharap kedua-dua rancangan ini dapat menghubungkan penonton dengan ilmu yang memberi manfaat, serta menginspirasi mereka untuk mengamalkan nilai-nilai Islam dalam kehidupan mereka sehari-hari.

Jangan lepaskan peluang untuk mengikuti perjalanan ilmiah ini. Saksikan Hadis@114 dan Quran@114 setiap hari di TV AlHijrah, sebagai sumber inspirasi dan panduan hidup yang penuh berkah.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular