editormaxinfo@gmail.com
SEMPORNA – Sebuah bom lama atau unexploded ordnance (UXO) yang ditemui di perairan Pulau Sibuan pada 7 Januari lalu, berjaya dimusnahkan oleh pasukan penyelam ranjau Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pada jam 3.10 petang, Sabtu lalu.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Markas Wilayah Laut 2 (MAWILLA 2) Sandakan, pasukan penyelam ranjau dari Markas Selam dan Peperangan Periuk Api (MSPPA) Lumut bersama MAWILLA 2 telah diatur gerak untuk menjalankan operasi pemusnahan bom tersebut bermula pada hari Jumaat.
Bom UXO yang berukuran 3 kaki panjang dan 1 kaki lebar itu, yang dipercayai bom tinggalan Perang Dunia Kedua sekitar tahun 1945, mempunyai berat 250 kilogram.
Berdasarkan pemeriksaan, bom berkenaan jenis Aerial Bomb, iaitu bom yang dilepaskan dari pesawat udara.
“Pemusnahan bom itu dilakukan menggunakan kaedah Blow in Place (BIP), yang merupakan kaedah pemusnahan di lokasi penemuan dengan memastikan langkah-langkah keselamatan yang paling ketat.
“Syukur, tiada kerosakan harta benda atau alam sekitar marin yang dilaporkan,” menurut kenyataan itu.
Pihak TLDM turut bekerjasama dengan agensi keselamatan lain termasuk Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB2), dan Ibu Pejabat Polis Daerah Semporna dalam operasi ini.

