editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Senai Airport City Sdn Bhd (SACSB) dan Lincotec Technology (Malaysia) Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Linco Technology Co. Ltd dari Taiwan, telah menandatangani perjanjian jual dan beli (SPA) bagi pembelian tanah seluas 4.02 hektar di Zon Perindustrian Bebas Senai Airport City.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan, Ketua Pegawai Eksekutif Senai Airport City, Gan Seng Keong, menjelaskan bahawa taman perindustrian terbabit adalah lokasi utama untuk industri berteknologi tinggi, penyelidikan dan pembangunan (R&D), serta inovasi teknologi.
SACSB, yang juga ahli Kumpulan MMC, adalah pemaju utama bagi pembangunan industri bersepadu seluas 1,100 hektar yang dikenali sebagai Senai Airport City di Iskandar Malaysia, Johor.
Seng Keong menambah, keputusan Linco Technology untuk melabur di Senai Airport City bakal memberi impak positif kepada pertumbuhan industri kecerdasan buatan (AI) di Johor.
“Pelaburan Linco Technology dalam sistem semikonduktor dalam pakej (SiP) mengukuhkan lagi kedudukan Senai Airport City sebagai destinasi pilihan bagi pelabur dalam segmen semikonduktor, terutamanya dalam aplikasi teknologi hijau,” katanya.
Lincotec, yang pakar dalam pembangunan dan pembuatan peralatan ‘sputtering’ dan etsa plasma berketepatan tinggi, adalah pembekal peralatan sputtering utama di dunia untuk sistem ‘Electromagnetic Interference Shielding’ (EMI) dalam semikonduktor dalam pakej (SiP).
Pengerusi Linco Technology, Leon Chen, menyifatkan pelaburan dalam kemudahan baru ini sebagai langkah penting untuk mengembangkan operasi syarikat di segmen teknologi hijau.
“Senai Airport City menawarkan lokasi dan infrastruktur yang ideal untuk memperkukuh operasi kami di rantau Asia Pasifik.
“Ini adalah peluang yang menarik bukan hanya untuk memperluas perniagaan kami, tetapi juga untuk memupuk kerjasama dalam inisiatif teknologi hijau yang akan memberikan kejayaan jangka panjang di Malaysia,” katanya.
Pelaburan oleh Lincotec ini membuktikan pertumbuhan Senai Airport City sebagai destinasi pelaburan strategik bagi syarikat teknologi yang ingin berkembang di pasaran Asia Pasifik.
Sinergi antara Linco Technology dan syarikat global tempatan dijangka mempercepatkan pertumbuhan Johor dalam segmen semikonduktor, sekali gus menyokong perkembangan kecerdasan buatan (AI).

