29.6 C
Kuala Lumpur
Saturday, July 12, 2025

Gema Selawat di puncak Menara KL dan Menara Alor Setar, tutup tirai 2024 dengan keharmonian Islamik

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – NHMall Worldwide, dengan kerjasama AM Entertainment, telah melangsungkan sebuah program seni bertemakan Islamik yang penuh bermakna, bertujuan untuk mengajak umat Islam dari semua lapisan umur menyemarakkan Gema Selawat di Puncak Menara Kuala Lumpur dan Menara Alor Setar serentak pada malam ambang Tahun Baru 2024.

Acara yang bersejarah ini menyaksikan hadirin bersama-sama berselawat memuji kebesaran Allah dan mengenang jasa besar Baginda Rasulullah SAW.

Selain itu, beberapa paparan dokumentari sirah perjuangan Baginda turut diselitkan, memberikan peluang kepada umat Islam untuk menghayati perjuangan Nabi Muhammad SAW.

Program ini bukan hanya bertujuan untuk merapatkan ummah, tetapi juga untuk membawa mereka lebih dekat kepada Allah dan Rasul junjungan.

Pertunjukan Seni dan Selawat Penuh Berkat

Di samping gema selawat yang membangkitkan semangat, majlis ini turut diserikan dengan alunan lagu-lagu indah daripada beberapa kumpulan qosidah yang turut memeriahkan suasana.

Penutupan sambutan 2024 ini bertujuan mengukuhkan hubungan ukhuwah antara umat Islam dan membawa semangat Islam yang sejati melalui selawat ke atas Nabi Muhammad SAW.

Pengarah Urusan NH Mall Worldwide Empire, Noor Amira Abdul Razak, beliau bersyukur apabila acara julung kali dianjurkan itu berjalan dengan lancar.

 “Kami amat bersyukur dengan sambutan hangat yang diterima daripada umat Islam seluruhnya. Insya-Allah, kami merancang untuk mengadakan lebih banyak program selawat di puncak menara lain di seluruh Malaysia,” katanya.

Noor Amira berkata, pihaknya turut berharap agar kejayaan program ini dapat terus menyebarkan mesej indah Islam dan mendekatkan masyarakat kepada ajaran Nabi Muhammad SAW.

Majlis makan malam dan Gema Selawat di Puncak Menara KL itu dirasmikan oleh Dato’ Syed Hood Edrus Al Idrus dari Rabitah Alawiyah Malaysia.

Sambutan 1 Rejab 1446H bersama ulama terkemuka

Malam sambutan 1 Rejab 1446H yang jatuh pada 1 Januari 2025 itu turut dimeriahkan dengan kehadiran tokoh-tokoh agama dari dalam dan luar negara.

Antaranya termasuk Sheikh Firash Muhamad Zuhairi, Ustaz Muhammad Fitri Abdul Samad, Ustaz Nader Sheikh Abdullah (Syria), Sheikh Mukhtar Jamel (Yaman), Dr Habib Ebrahim Muhammad Al Ahdal (Mekah), Sheikh Muhammad Ben Omar Al-Ya’ani (Yaman), dan beberapa tokoh agama terkemuka lain yang turut memeriahkan acara.

Konsep Majlis yang Unik

Majlis makan malam ini adalah yang pertama kali diadakan dengan konsep yang berbeza, menggabungkan lantunan selawat qosidah, marhaban, tausiah, dan ceramah agama, menjadikan acara ini bukan sahaja sebuah majlis makan malam biasa, tetapi juga satu pengalaman rohani yang mendalam.

Program ini berjaya menghubungkan umat Islam dengan rasa cinta yang lebih mendalam terhadap Nabi Muhammad SAW serta menggalakkan amalan sunnah dalam kehidupan mereka.

Program ini juga bakal diteruskan dengan Gema Selawat di puncak-puncak menara lain di seluruh Malaysia, serta di negara-negara terpilih.

Ini adalah langkah pertama untuk menyebarkan mesej kebaikan Islam ke seluruh dunia, memberikan peluang kepada lebih ramai umat Islam untuk bersama-sama menghayati ajaran Islam yang indah.

Dengan kejayaan program pertama ini, NHMall Worldwide berhasrat untuk terus memperluaskan usaha dakwah dan menyemarakkan semangat persaudaraan dalam kalangan umat Islam.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular