editormaxinfo@gmail.com
PUTRAJAYA – Astro menyambut tahun 2025 dengan penuh gemilang menerusi penganjuran ‘Konsert Countdown MeleTOP 2025’ yang berlangsung di IOI City Mall, Putrajaya.
Dihadiri oleh lebih 15,000 pengunjung, acara ini menyatukan peminat hiburan dan selebriti terkenal untuk meraikan malam pergantian tahun dengan semangat yang luar biasa.
Konsert yang diadakan pada malam 31 Disember ini menawarkan pengalaman hiburan yang mengasyikkan, dengan persembahan hebat dari selebriti tempatan dan antarabangsa.
Dari acara pembukaan hingga detik pergantian tahun, pengunjung disajikan dengan persembahan bertenaga, momen nostalgia 2024, dan kemuncak yang tidak terlupakan – pertunjukan bunga api yang memukau menandakan permulaan tahun 2025.

Antara sorotan utama pada malam terbabit adalah:
-Pentas MeleTOP Rocketfuel (6.30 petang – 8.30 malam)
Acara dimulakan dengan persembahan hebat daripada artis-artis terkemuka dan bakat baru dari Rocketfuel Entertainment, termasuk William So, Dr Soo Wincci, Nadeera Zaini, Wani Kayrie, Dennis Lau, dan banyak lagi.
-MeleTOP Special: Wrap Up 2024 (8.30 malam – 10 malam)
Menyusuri kembali momen-momen ikonik sepanjang 2024 bersama selebriti jemputan dalam segmen khas di Astro Ria (saluran 104).
-Konsert Countdown MeleTOP 2025 (10 malam – 12.30 pagi)
Malam itu diisi dengan persembahan dari artis-artis popular seperti Dato’ Ramli Sarip, Shila Amzah, Aina Abdul, Noraniza Idris, Ayda Jebat, Khai Bahar, Sheila Abdull, dan ramai lagi, yang menyemarakkan suasana sambutan tahun baru.
Naib Presiden Kandungan GenNext Astro, Putri Yasmin Megat Zaharuddin berkata, pihaknya mengucapkan terima kasih kepada semua pengunjung yang turut memeriahkan acara ini.

“Saya memuji sokongan padu yang diberikan kepada Yayasan Astro Kasih melalui inisiatif Kempen Banjirkan Kebaikan sepanjang bulan Disember 2024, yang bertujuan membantu mangsa banjir.
“Semoga 2025 membawa harapan dan semangat baru kepada kita semua. Teruskan sokongan kepada mereka yang memerlukan dan bersama-sama kita melangkah ke tahun baru dengan penuh optimisme,” katanya.
Untuk makluman, sementara pengumpulan dana dihentikan buat sementara waktu, Yayasan Astro Kasih akan terus memantau keadaan dan akan mengumumkan sebarang perkembangan atau bantuan lanjut jika diperlukan.
Dengan acara yang penuh keriangan dan semangat ini, ‘Konsert Countdown MeleTOP 2025’ menjadi satu lagi bukti komitmen Astro untuk menyediakan hiburan berkualiti dan memberi sumbangan positif kepada masyarakat.

