27.9 C
Kuala Lumpur
Wednesday, October 15, 2025

Prihatin bahan lucah yang kian tular di media sosial, PKMM seru tindakan segera pihak berkuasa

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Penyebaran bahan lucah yang semakin tular melalui iklan di media sosial, terutamanya di platform-platform seperti Facebook dan TikTok dilihat semakin membimbangkan.

Timbalan Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Masyarakat Malaysia (PKMM) Shandrsegar a/l Periasamy Gnana Sambathar berkata, isu ini semakin mendapat perhatian pelbagai pihak selepas beberapa video dan iklan yang memaparkan kandungan tidak senonoh dan promosi produk tidak bermoral, seperti ubat kuat dan iklan seksual, mula tersebar tanpa sekatan yang jelas.

Beliau berkata, masalah ini semakin membimbangkan kerana ia membabitkan golongan muda yang lebih terdedah kepada media sosial.

Tegasnya, bahan lucah dan iklan yang memaparkan aktiviti seksual kini bukan sahaja sukar disekat, tetapi juga kerap kali muncul tanpa amaran, mengakibatkan pengguna media sosial tidak tahu kepada siapa mereka harus melaporkan perkara terbabit.

“Media sosial kini digunakan oleh pelbagai lapisan masyarakat, termasuk kanak-kanak.

“Dengan kemunculan iklan dan video yang tidak senonoh ini, kita bimbang kesan buruk yang akan ditanggung oleh generasi muda,” katanya.

Shandrsegar berkata, pihaknya turut memberi peringatan kepada ibu bapa agar lebih berhati-hati dan sentiasa memantau aktiviti anak-anak mereka ketika menggunakan media sosial.

Menurutnya, platform-platform seperti TikTok dan Facebook seringkali digunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk menyebarkan iklan yang tidak sesuai, dan ini boleh menjejaskan kesihatan mental serta moral kanak-kanak yang terdedah kepada kandungan terbabit.

“Bahan lucah dan iklan yang tidak sesuai sangat merbahaya untuk perkembangan mental kanak-kanak. Kita tidak boleh membiarkan hal ini berlarutan tanpa tindakan yang jelas,” katanya.

PKMM turut memohon pihak berkuasa dan platform media sosial untuk mengambil tindakan lebih serius dalam menangani isu ini.

“Kami berharap pihak berkuasa dapat memperketatkan undang-undang dan menyediakan saluran mudah untuk orang ramai melaporkan perkara-perkara seperti ini.

“Pengguna, terutamanya ibu bapa, perlu diberi panduan tentang langkah-langkah yang boleh diambil untuk melindungi anak-anak mereka daripada terdedah kepada kandungan tidak sihat,” tambahnya.

Bagi menangani isu ini dengan lebih berkesan, PKMM mencadangkan agar lebih banyak kempen pendidikan dilaksanakan untuk meningkatkan kesedaran tentang bahaya kandungan negatif di media sosial.

Selain itu, mereka juga menyeru agar platform-platform digital melakukan lebih banyak usaha untuk memantau iklan yang disiarkan serta memastikan iklan-iklan yang tular tidak melanggar etika serta norma sosial yang diterima masyarakat.

Pihak berkuasa dan pengendali media sosial juga perlu bekerjasama untuk memastikan media sosial kekal menjadi ruang yang selamat dan memberi manfaat kepada masyarakat, tanpa mengorbankan nilai-nilai moral dan keselamatan pengguna, khususnya generasi muda yang lebih mudah terpengaruh.

Terdahulu, media sebelum ini melaporkan polis dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) melakukan tangkapan ke atas individu yang disyaki memiliki dan mengedar Bahan Penderaan Seksual Kanak-Kanak (CSAM).

Menerusi ‘Op Pedo Bersepadu PDRM-MCMC’ yang diketuai oleh Bahagian Siasatan Seksual, Wanita, dan Kanak-Kanak Bukit Aman (D11) ia membabitkan siri serbuan secara terselaras di enam negeri, iaitu Kuala Lumpur, Selangor, Johor, Terengganu, Pulau Pinang dan Perak.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular