26.6 C
Kuala Lumpur
Saturday, November 8, 2025

Maxis taja biasiswa kepada 16 pelajar cemerlang ikuti kursus STEM

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Maxis terus menyokong pendidikan negara dengan menganugerahkan biasiswa kepada 16 pelajar cemerlang melalui Program Biasiswa Maxis 2024.

Tahun ini, program ini memberi tumpuan kepada pelajar dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM) dengan matlamat menggabungkan bantuan kewangan serta pendedahan industri.

Menurut Maxis, fokus terhadap bidang STEM ini selaras dengan usaha mereka untuk memperkukuh agenda digital negara.

“Kami komited untuk melahirkan bakat-bakat muda yang bersedia untuk ekonomi masa depan, terutamanya dalam bidang teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), awan, data, dan 5G,” kata Maxis dalam satu kenyataan.

Majlis penyampaian biasiswa terbabit disempurnakan oleh Pengerusi Interim Maxis, Datuk Hamidah Naziadin dan Ketua Pegawai Eksekutif Maxis, Goh Seow Eng.

Ketua Pegawai Sumber Manusia dan Transformasi Maxis, Patrick Er, turut menyatakan bahawa memberi pendedahan dan peluang kepada belia Malaysia adalah kunci untuk melahirkan pemimpin masa depan yang berwibawa.

“Ini selaras dengan matlamat kami untuk menghubungkan masyarakat dan perniagaan kepada lebih banyak peluang,” tambah Patrick.

Program Biasiswa Maxis 2024 terbuka kepada pelajar yang sedang melanjutkan pengajian di universiti awam dan swasta di Malaysia serta Singapura.

Tahun ini, Maxis menerima lebih daripada 700 permohonan. Selain menanggung yuran pengajian dan kos sara hidup, program ini juga menyediakan peluang latihan amali serta jaminan penempatan pekerjaan bersama Maxis selepas tamat pengajian.

Sejak 2006, Maxis telah memberikan lebih 346 biasiswa untuk membantu pelajar Malaysia mencapai cita-cita akademik mereka.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular