editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Penyanyi dan vokalis kumpulan New Boyz, Tomok, menasihatkan setiap penyanyi yang ingin mengadakan konsert harus tahu tentang latar belakang pihak penganjur.
Tomok, 40, berkata, perkara itu bagi mengelakkan wujudnya insiden penipuan dan penganiayaan yang biasanya menyasarkan penyanyi baharu yang baru memasuki industri seni.
“Saya tidak nafikan perkara ini memang biasa berlaku, ada dalam kalangan pihak penganjur suka menyakinkan penyanyi baru untuk mengadakan konsert.
“Saya rasa tidak ramai artis baru yang bersedia membuat konsert, namun penganjur seakan memberikan harapan dengan menjanjikan bulan bintang kepada artis.
“Tetapi apabila ada perkara yang berlaku ia akan terpalit kepada artis itu sendiri.
“Sebagai artis kita kena ambil tahu juga latar belakang dan pengalaman pihak penganjur,” katanya.

Tomok berkata demikian ketika ditemui pada sidang media konsert Tomok dan Siti Nordiana Memori Mungkin Berulang di The Majapahit, Kuala Lumpur, semalam.
Tomok berkata, dia juga pernah berhadapan dengan situasi sama sepanjang 25 tahun bergelar anak seni.
“Kalau ikutkan memang banyak kes seperti ini berlaku, manusia yang suka mengambil kesempatan ini wujud dari dulu sampai sekarang.
“Kaki kencing ini memang ada, ada yang ajak kita buat persembahan dan akan bayar kemudian tetapi hilang begitu sahaja.
“Sebagai orang yang berpengalaman, kita kena bijak menguruskan konsert sendiri seperti minta deposit, kontrak dan hal itu memainkan peranan penting.

“Jangan biar orang-orang seperti ini mengawal segala hal berkaitan konsert. Kasihan pada artis-artis kita.
“Busuk nanti nama artis juga bukan penganjur. Proses perbincangan itu penting, jangan asal boleh sahaja,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Tomok teruja untuk mengadakan konsert pertama gandingannya bersama Siti Nordiana selepas lebih dua dekad berada dalam industri seni.
Konsert Tomok dan Siti Nordiana Memori Mungkin Berulang dijadualkan berlangsung pada 1 Februari 2025 bertempat di Zepp Kuala Lumpur.

