27.5 C
Kuala Lumpur
Thursday, July 10, 2025

Pementasan teater Nilamsari angkat perjuangan dan seni persilatan

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Teater Hidayah dengan sokongan Kementerian Pelancongan, Seni Dan Budaya melalui Geran Sokongan Sektor Kerajaan akan mementaskan Kontemporari Purbawara Teater Nilamsari, yang akan berlangsung dari 4 hingga 6 Oktober 2024 di Panggung Percubaan UPSI, Tanjung Malim, Perak.

Teater Nilamsari mendekati ilmu pertahanan diri dalam seni persilatan sambil menerokai perjuangan wanita dari perspektif srikandi.

Pengarah Teater, Yusry Kamaruzaman berkata, mesej utama yang ingin disampaikan adalah tentang perjuangan untuk terus utuh agar tidak berpecah dan kasih sayang sesama manusia.

“Objektif persembahan ini melestarikan wadah seni untuk karyawan teater dengan menyalurkan mesej-mesej yang boleh di sampaikan masyarakat terhadap mengenai detik kehidupan bangsa yang pastinya membawa pengertian bermakna.

“Disamping untuk mengeratkan hubungan terhadap generasi muda bagi memperkukuhkan hubungan budaya dalam kalangan masyarakat setempat dan memartabatkan seni  karya tanah air melalui seni persembahan yang  berkualiti.

“Skrip ini ditulis untuk mengangkat dunia seni mempertahankan diri dalam persilatan, dengan harapan ia dapat mengangkat warisan seni bangsa melalui perjuangan seorang wanita yang merupakan tunjang yang tidak di dendangkan.

“Melalui pementasan ini, saya berharap masyarakat dapat menghargai seni dan memahami nilai yang terkandung di dalamnya,” katanya.

Yusry berkata, pihaknya juga menekankan pentingnya sokongan daripada sektor kerajaan dan jabatan berkaitan agar penggiat seni dapat terus berkarya untuk bersama mengekalkan warisan budaya.

“Teater Nilamsari bukan sahaja akan mempersembahkan seni mempertahankan diri tetapi di gabungkan dengan pengajaran, kesedihan dan juga kelucuan.

“Ia juga menjadi platform untuk menyemarakkan semangat wanita dalam dunia seni persilatan, serta membuka mata masyarakat untuk menghargai seni dan budaya tanah air,” katanya.

Teater Hidayah dipentaskan dengan kerjasama utama Universiti Pendidikan Sultan Idris, rakan strategik Persatuan Penulis Dan Peminat Sastera Perak yang turut menampilkan persembahan khas oleh johan Sayembara Puisi Kebangsaan dengan adaptasi Puisi Ke Sarang Cenderawasih.

Teater Nilamsari dibarisi oleh pelakon-pelakon berbakat seperti Ruby Wahid sebagai watak utama Nilamsari, Kamarul AR sebagai Tok Long Deraman, Panglima Aduka, Ain Sufia, Salman Al Farisi, Khai Sabri, Apai Azha, Dean Sitara, Mardiana Ismail, Shahril Kamil, Azmi Daim dan pelajar-pelajar UPSI serta pesilat-pesilat PSSGM.

Sementara itu, Pengarah Pusat Kebudayaan Universiti UPSI Dr Nurzuraina berkata, pihaknya mengalu-alukan kedatangan badan bukan kerajaan persatuan NGO luar yang berpengalaman untuk memberikan pendedahan kepada pelajar UPSI apabila berada dalam industri.

“Program ini sangat baik untuk memberi pendedahan kepada pelajar UPSI agar mereka memahami bagaimana proses dalam industri berjalan.

“Proses pembelajaran formal dan tidak formal adalah dua perkara yang berbeza dan kita perlu menyatukan kedua-duanya untuk menghasilkan modal insan yang berkualiti dan berani berdaya saing, yang mampu meletakkan diri mereka di tempat yang betul pada masa akan datang.

“Di Pusat Kebudayaan ini, kami juga berusaha untuk menghubungkan universiti dengan pelajar-pelajar kami dan industri. Itulah sebab utama saya mahu bekerjasama dengan NGO luar dan saya juga mengharapkan pelajar-pelajar kita lebih terbuka untuk membina keperibadian mereka,” katanya.

Dr Norzuraina juga berharap Teater Hidayah dapat membuat persembahan yang berkualiti untuk memberi pendedahan kepada pelajar UPSI.

Untuk maklumat lanjut mengenai tiket dan jadual pementasan, layari laman sosial Facebook atau Instagram Teater Hidayah.

Harga tiket untuk dewasa: RM15, pelajar/warga emas/OKU: RM10 dan pelajar UPSI: Kemasukan Percuma.

Sinopsis:

Gelanggang silat tertua merencah perpaduan dan persaudaraan penduduk Desa Permata bahana perpecahan apabila Tok Deraman, seorang guru silat di bunuh oleh manusia yang tamakkan kedudukan dan kuasa.

Justeru itu, Nilamsari seorang gadis desa dan anak gadis Tok Deraman yang tangkas dan berani menuntut bela di atas kematian  ayahnya.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular