27.5 C
Kuala Lumpur
Thursday, July 10, 2025

ALKA, UCMB meterai MoA, laksana audit dan teroka usaha penambahbaikan dan kelestarian tenaga

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Syarikat Alka System Sdn. Bhd. (ALKA) telah mengambil langkah penting dalam mempromosikan inisiatif tenaga boleh diperbaharui dengan menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) bersama Universal Cable (M) Berhad (UCMB).

Kerjasama itu bertujuan untuk melaksanakan audit tenaga dan meneroka pelbagai cara untuk meningkatkan keupayaan syarikat dalam usaha penambahbaikan dan kelestarian tenaga.

Majlis menandatangani itu telah disempurnakan oleh Pengarah ALKA, Ts Ir Mohd Ferdus Abdul Kadir dan Pengarah UCMB, Fadzil Ahmad serta disaksikan oleh Pengawal Kewangan ALKA, Md Fauzi Bahari serta Pengurus Akaun dan Kewangan UCMB, Teoh Maylin yang diadakan di Holiday Villa, Johor Bahru, baru-baru ini.

Secara umum, pengurusan tenaga boleh disimpulkan sebagai semua aktiviti untuk memastikan penggunaan tenaga yang efisien dalam syarikat dan ia diperlukan kerana pengaruhnya terhadap operasi dan aktiviti.

Audit tenaga adalah proses menganalisis penggunaan tenaga dalam syarikat untuk memastikan bahawa tenaga digunakan dengan efisien melalui penerapan sistem pengurusan tenaga bagi mencapai hasil yang diinginkan dan untuk penambahbaikan berterusan dalam prestasi penggunaan tenaga.

Ini merangkumi semua aspek tenaga, termasuk penglibatan manusia dan peralatan dalam operasi harian kemudahan berkenaan.

Audit tenaga di UCMB dijangka akan merealisasikan objektif-objektif di atas.

ALKA juga menghargai usaha UCMB dalam menjalankan audit tenaga dan audit alam sekitar yang bertujuan untuk meningkatkan kelestarian tenaga.

Dengan melaksanakan langkah-langkah penambahbaikan ini, kedua-dua syarikat berkomitmen untuk mencapai hasil yang lebih baik dalam pengurusan tenaga dan mengurangkan kesan negatif terhadap alam sekitar.

Perjanjian ini adalah langkah pertama ALKA untuk memasuki sektor tenaga boleh diperbaharui.

Langkah seterusnya bagi ALKA adalah projek solar di Terengganu, yang akan dimulakan pada bulan September ini sebagai fasa pertama daripada tiga fasa projek.

Selepas itu, ALKA juga merancang untuk melaksanakan projek solar besar-besaran di beberapa provinsi di Indonesia.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular