editormaxinfo@gmail.com
PETALING JAYA – Lebih 10 tahun membabitkan diri dalam bidang seni suara, penyanyi One Juicy tidak pernah kenal erti putus asa dalam usaha menaikkan namanya.
Bagi penama penuh Mohammad Rizwan Mohammad Yassin, 33, itu berkata, meskipun masih kurang dikenali dia bersyukur rezeki dalam nyanyian tetap ada.
“Saya sedar bukan mudah untuk mencipta nama apatah lagi dengan kehadiran ramai penyanyi sekarang ini.
“Namun itu bukan alasan sebaliknya saya bersyukur kerana masih diberikan peluang mengadakan persembahan di mana-mana termasuklah di luar negara.
“Saya tahu bukan mudah untuk mengekalkan jenama apatah lagi impian bergelar bintang pop terkenal Malaysia ia satu cabaran yang hebat buat diri saya yang perlu mengambil masa.

“Bagi saya cepat atau lambat Insya-Allah saya yakin dapat mencapai sasaran itu,” katanya.
Baharu sahaja melancarkan single pertama berjudul Kibar, One Juicy berkata, lagu itu jika didengar bagaikan lagu patriotik tetapi sebenarnya ia adalah kisah perjalanan One sendiri sejak awal terbabit dalam bidang seni.
“‘Kibar’ adalah sebuah lagu dengan tema kebangkitan dan kecekalan yang berkaitan dengan kisah perjalanan saya sejak awal bergelar anak seni.
“Bagi sesetengah mereka yang mendengar lagu ini mungkin merasakan ia adalah lagu patriotik atau lagu kemerdekaan.

“Saya tidak tidak ada masalah jika ada yang beranggapan begitu asalkan mereka terhibur dan suka mendengar lagu ini dan berharap ia menjadi inspirasi kepada sesiapa pun yang mendengarnya.
“Saya amat teruja dengan pelancaran lagu ini. Daripada seorang penari b-boy kepada seorang penyanyi, lagu ini melambangkan kecekalan dan semangat saya untuk terus maju walau apapun cabaran yang datang,” katanya pada majlis pelancaran lagu berkenaan, semalam.

Lagu Kibar adalah hasil usaha kolaboratif, yang dicipta dan ditulis oleh John Jeeves, Shazriq Azeman, Omar K, dan One Juicy sendiri, di bawah produksi Super Red Records.
“Kibar” kini boleh untuk distrim dan dimuat turun di semua platform muzik digital utama, termasuk Spotify, Apple Music, dan YouTube Music, di pautan https://bfan.link/kibar dan video muzik “Kibar” boleh ditonton di pautan https://youtu.be/sYBDC930Pu0.