editormaxinfo@gmail.com
PUTRAJAYA – Diletakkan sebagai peserta bukan pilihan sempena Pertandingan Memanah Majlis Sukan Sekolah Wilayah Persekutuan Putrajaya (MSSWP) bagi acara recurve 15 tahun ke bawah, Muhammad Afza Mohd Amir Khusairi, 13 tahun mengejutkan 48 orang peserta lain dalam kategori yang sama.
Ini kerana Muhammad Afza telah diumumkan sebagai pemanah lelaki terbaik bagi kategori berkenaan sempena temasya yang telah berlangsung dari 16 Julai hingga 19 Julai lalu.

Sinonim dengan panggilan Boy, remaja ini telah berjaya mengutip mata keseluruhan kejohanan hampir 1,200 mata apabila memenangi pingat perak acara 60 meter, pingat emas acara 40 meter, pingat emas acara 30 meter, pingat emas acara Olympic Round (OR) dan tempat kedua (perak) acara beregu campuran.
Boy yang kini menuntut di tingkatan satu Sekolah Sukan Malaysia Pahang (SSMP) turut memaklumkan rasa terkejut dan tidak menyangka dengan keputusan itu memandangkan ini adalah kali pertama dia menyertai acara bagi kategori 15 tahun ke bawah.

Boy turut menanam keazaman untuk memberikan saingan sengit kepada peserta Pertandingan Memanah Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) Tahun 2024 bagi kategori 15 tahun ke bawah yang akan berlangsung di Johor pada September depan.
Anak ketiga daripada empat orang adik beradik ini turut bertekad untuk membawa pulang pingat emas sempena kejohanan berkenaan sekaligus mengimpikan terpilih sebagai atlet pelapis yang akan mewakili negara suatu hari nanti.
