editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Sambutan Malam Merdeka sering dimeriahkan dengan pelbagai konsert di merata-rata tempat. Bagaikan tidak lengkap acara tanpa konsert dan persembahan daripada ramai artis.
Mempersembahkan hiburan yang bukan kosong semata, sebaliknya penuh dengan sepak terajang, perjuangan dan turun naik pemuzik dalam belantika hiburan tempatan sehingga harum nama mereka di Nusantara.
Mengambil semangat perjuangan itu, The Dons Group teruja membawakan konsert Mahardika yang menggabungkan tiga pemuzik ternama negara menerusi sebuah konsert yang julung kali dianjurkan di Pulau Pinang.
Malah, tidak gentar dengan penjualan tiket berikutan banyak konsert percuma pada malam Merdeka, wakil dari The Dons Group, Syed Mohamad atau mesra dengan panggilan Don berkata, sejak dulu Pulau Pinang jarang mengadakan konsert percuma.
“Kita menganjurkan konsert ini di Spice Arena Penang tempat tertutup yang akan menampilkan artis hebat lama dan baru iaitu Spider, Ella dan Masdo.

“Daripada maklum balas yang kami terima sebelum ini, kami yakin dengan sambutan yang bakal diterima. Insya-Allah seramai 10,000 orang akan memenuhi Spice Arena Penang pada malam hari merdeka nanti,” katanya.
Dengan penampilan tiga artis hebat, konsert yang diberi nama Mahardika itu, Don turut menyasarkan konsert berkenaan turut disertai oleh ramai pelancong yang berkunjung dan bercuti ke Penang nanti.
Mahardika : Spider X Ella X Masdo dipercayai akan menjadi konsert terhebat yang pernah dianjurkan The Dons Group pada tahun ini serta bakal melakar sejarah tersendiri dengan bantuan kehadiran peminat.
Don berkata, makna di sebalik pemilihan perkataan Mahardika yang menjadi medan perkongsian panggung oleh Spider, Ella dan Masdo ialah ‘Malam Hari Merdeka’ dan digabungkan menjadi akronim Mahardika.
“Kami yakin kredibiliti tiga artis hebat ini mampu membuatkan Mahardika yang akan berlangsung pada 30 Ogos ini meriah dengan sorakan dan nyanyian beramai-ramai penonton yang hadir.
“Ketiga-tiga pemuzik ini punya perjuangan dan telah melakar sejarah tersendiri sama ada dalam negara atau di Nusantara.

“Pada masa yang sama kami mahu melihat peminat dalam kalangan pelbagai usia hadir ke Mahardika melihat sendiri betapa hebatnya pemuzik tempatan yang tidak kurang hebatnya dari artis luar,” katanya.
Sementara itu, Mahardika akan menjadi momen terbaik buat Spider bertemu peminat mereka selepas tiga dekad tidak mengadakan persembahan di Pulau Pinang.
Mahardika bukan sahaja akan menjadi kesempatan terbaik buat Spider malah peminat di Pulau Pinang atau Utara dapat bertemu serta melihat persembahan mereka secara langsung selepas tiga dekad tidak membuat persembahan di sana.
Kugiran Masdo dan Ella juga berharap peminat tidak melepaskan peluang hadir ke Mahardika yang diadakan di Spice Arena Penang kerana ini adalah kolaborasi pertama mereka bersama Spider.
Dapatkan tiket di www.ticket2u.com pada harga bermula RM98 (STANDING), RM118 (SILVER ZONE), RM128 (ROCK ZONE), RM148 (PLATINUM), RM198 (GOLD) dan RM350 (VIP).

