26.6 C
Kuala Lumpur
Saturday, November 8, 2025

Isu BlockOut 2024: Mohd Na’im minta semua pihak elak ambil tindakan ekstrem

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Semua pihak diminta agar tidak mengambil tindakan ekstrem dalam melakukan kempen solidariti bersama Palestin.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na’im Mokhtar berkata, apa juga tindakan yang diambil perlulah dibuat atas asas kebenaran, ilmu dan akhlak.

Oleh itu, beliau menyeru agar semua pihak bersolidariti dengan rakyat Palestin melalui pelbagai pendekatan tersendiri termasuk mendoakan kekuatan dan kesejahteraan mereka.

“Dalam isu Palestin, saya percaya semua pihak memahami bahawa kekejaman yang dilakukan pihak Zionis Israel terhadap rakyat Palestin tidak boleh diterima sama sekali.

“Tindakan yang dilakukan pihak Zionis Israel amat biadap, melampau serta di luar batas kemanusiaan.

“Apa-apa tindakan yang boleh mengundang keresahan awam perlu dielakkan sama sekali. Apatah lagi ia membabitkan fitnah, mencaci, maki hamun, ugutan dan sebagainya,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau mengulas mengenai Gerakan Blockout 2024 yang bertujuan untuk memboikot selebriti atau pempengaruh yang tidak menggunakan medium media sosial sebagai ruang untuk bersuara berhubung kekejaman Israel.

Kempen yang berasal dari luar negara itu menjadi fenomena tempatan dan mendapat sambutan banyak pihak.

Kempen itu turut mempunyai laman Instagram sendiri bagi tujuan memberi informasi tentang artis tempatan yang perlu diboikot kerana berdiam diri berkaitan kekejaman Israel di Palestin, atau bekerjasama mempromosikan produk yang didakwa memberi sumbangan kepada Zionis.

Ia bukan sahaja membabitkan boikot di kalangan artis Hollywood seperti Taylor Swift, Billie Eilish dan Harry Styles, tetapi juga merebak sehingga ke industri hiburan Malaysia.

Di mana selebriti-selebriti yang berdiam diri tentang Palestin atau bekerjasama dengan produk yang didakwa memberi sumbangan terhadap Israel diboikot dan disekat oleh peminat di media sosial.

Antara artis tempatan yang ‘disenarai hitam’ warganet ialah Ning Baizura, Azhar Sulaiman, Nadhir Nasar, Nabila Razali, Neelofa dan ramai lagi.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular