26.4 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 30, 2026

Tampil kali kedua di Kuala Lumpur, peminat Malaysia pilih Feby Putri sekali lagi

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Kali pertama muncul di Malaysia pada Mac tahun lalu melalui konsert Feby Putri Live in Kuala Lumpur, momen itu adalah kali pertama penyanyi dengan nama Feby Putri terbang keluar dari negara kelahirannya, Indonesia. 

Tidak menyangka diberikan peluang untuk membuat konsert perdana di luar negara, sambutan terhadap konsert yang dibawakan oleh Miebird Projects pada tahun lalu sangat memberangsangkan. Malah tiket konsert sold out.

Melihat sambutan hangat yang diberikan kepada penyanyi dengan nama sebenarnya Feby Putri Nilam Cahyani, Miebird Projects secara esklusif sekali lagi membawakan Feby dan kali ini dengan judul KONSERT FEBY PUTRI Vol.2, “DETIK. MENIT. JAM” KUALA LUMPUR. 

Dijadualkan berlangsung pada Sabtu, 27 Julai depan, di Zepp Kuala Lumpur, konsert kedua Feby Putri itu akan bermula pada jam 8.30 malam. 

“Selepas melihat sambutan hangat yang diberikan oleh peminat terhadap Feby Putri tahun lalu, Miebird Projects rasa terpanggil untuk menyatukan semula Feby dan peminat di sini melalui KONSERT FEBY PUTRI Vol.2, “DETIK. MENIT. JAM” KUALA LUMPUR. 

“Semoga dengan kembalinya Feby ke Kuala Lumpur dapat menyembuhkan rasa rindu peminat terhadap penyanyi kesayangan ramai itu,” kata Pengarah Urusan Miebird Projects, Azmi Zainal Abidin.

Popular menerusi lagu Halu, Feby sebelum ini berkongsi cerita dengan media di Malaysia yang dia sanggup merantau ke kota besar Jakarta pada usia 18 tahun untuk mengejar impiannya  bergelar anak seni. Katanya, hasrat itu awalnya ditentang orang tua.

“Saya ke Jakarta bersama abang saya. Kami sama-sama memang meminati bidang seni namun ibu bapa pada mulanya tidak mengizinkan kerana risau.

“Namun saya berkeras dan berazam membuktikan usaha saya berhasil. Ketika itu saya cuma manfaatkan jumlah pengikut lebih 100,000 di Instagram serta hasil ‘cover’ lagu-lagu orang lain di laman YouTube bagi menjana pendapatan.

“Akhirnya pada 2021, saya beroleh rezeki untuk membeli rumah sendiri,” ceritanya tentang perjalanan awal karier muzik dalam kehidupannya. 

Feby berkata, dia sangat terharu dengan sambutan yang diberikan pada konsert terdahulu.

“Saya berharap peminat yang hadir pada konsert terdahulu dan pengikut Feby Putri yang baru dapat berkumpul di Zepp Kuala Lumpur melalui KONSERT FEBY PUTRI Vol.2, DETIK. MENIT. JAM. KUALA LUMPUR pula,” katanya.

Tiket-tiket berharga RM135 – HALU (berdiri- zon belakang), RM175 – Diri (berdiri – zon hadapan), RM195 – USIK (Duduk-Biasa), RM255 – RUNTUH (Duduk-Premium), RM335 – Per pax (VIP BOX) mulai dijual pada 20 April 2024, dilaman web rasmi agen tiket www.ilassotickets.com.

Jangan lepaskan peluang “healing” bersama-sama Feby Putri dengan lagu-lagu seperti Halu, Usik, Diri, Runtuh, Liar Angin, Detik,Menit, Jam dan deretan lagu hits didalam KONSERT FEBY PUTRI Vol.2, DETIK. MENIT. JAM. KUALA LUMPUR pada 27 Julai, jam 8.30 malam di Zepp Kuala Lumpur.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular