editormaxinfo@gmail.com
SEPANG – Pengeluar pembuatan kelengkapan pakaian solat, Siti Khadijah menjalinkan kerjasama dengan Amal by Malaysia Airlines dengan mengagihkan barangan rangkaian Siti Khadijah dan kit perjalanan Amal (Travel kit).
Sumbangan itu diberikan kepada 284 jemaah Haji KT05 di Dewan Mentari, Movenpick, disini, semalam.

Barangan sumbangan yang diberikan berupa kelengkapan dan keperluan ibadah Haji itu sebagai tanda buah tangan kepada Jemaah KT05.
Jemaah KT05 adalah kumpulan pertama yang menaiki Amal by Malaysia Airlines yang melalui proses daftar masuk di Kompleks Tabung Haji Sepang untuk penerbangan terus ke Madinah.

Ketua Pegawai Komersial Kumpulan Siti Khadijah, Mohammad Muhaimin Aminuddin berkata, kerjasama bersama Amal bakal membuka ruang dan peluang Siti Khadijah dalam membantu meningkatkan keselesaan Jemaah Haji dan Umrah khususnya.
“Perancangan dan usaha untuk bekerjasama bersama Amal mengambil masa lebih daripada setahun dan Alhamdulillah kami dapat peluang untuk sama-sama meraikan jemaah Haji.
“Kami mahu memberikan keselesaan kepada jemaah Haji dan Umrah dalam mengerjakan ibadah.
“Apa yang istimewa, kami sumbangkan barangan Siti Khadijah bernilai RM200 yang berupa barangan kelengkapan solat untuk lelaki dan wanita sewaktu di Tanah Suci nanti,” katanya.

Mohammad Muhaimin berkata, kerjasama ini diharap menjadi titik permulaan kepada kerjasama yang lebih besar di masa akan datang.
Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Amal by Malaysia Airlines, Muhammad Najmi Mansor berkata, jalinan kerjasama antara Amal dan Siti Khadijah amat bermakna kerana kedua-dua pihak mempunyai visi dan nilai yang sama iaitu memberi keselesaan dan kemudahan kepada jemaah beribadah dan juga untuk menarik lebih ramai menunaikan Umrah dan Haji.

Dalam pada itu, semua penerbangan Amal ke Tanah Suci adalah termasuk penyediaan perkhidmatan seperti talbiah, doa musafir, azan dan tazkirah serta pengumuman miqat.
Turut menyerikan majlis, Pengarah Eksekutif Haji, Lembaga Tabung Haji, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman dan Pengasas Jenama Telekung Siti Khadijah, Padzilah Enda Sulaiman.

Jenama Siti Khadijah juga bakal memberi fokus kepada barangan lelaki dengan misi menyediakan kelengkapan solat dan pakaian harian yang selesa.
Perancangan Siti Khadijah pada tahun ini ialah untuk mengembangkan produk barangan lelaki seperti kain pelikat, jubah, kurta dan kopiah.
Malah setiap barangan terdiri daripada pelbagai jenis dan harga mengikut kualiti dan premium.

