editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Kehangatan suasana Aidilfitri kian dirasai, sana sini lagu raya sudah mula berkumandang.
Ramai juga artis yang turut hadir dengan lagu raya masing-masing.
Bintang bersuara hebat, Ernie Zakri juga tidak mahu ketinggalan dalam memeriahkan suasana Aidilfitri yang bakal menjelma tidak lama lagi dengan tampil bersama sebuah lagu raya baharu berjudul ‘HAHAHAHAHari Raya’.
Lagu ini adalah ciptaan serta tulisan Ernie Zakri sendiri bersama beberapa orang komposer dan penulis lirik lain iaitu Mage, Glowrush, dan Ajay Amai.
Disusun dan diterbitkan oleh Adib Hussin serta Glowrush, lagu ini mempunyai gaya yang tersendiri.
“Seperti lagu-lagu seniwati Saloma, ia ada nuansa era tahun 1950-an. Unsur ini ditampilkan supaya ada sedikit kelainan dari segi bunyi jika dibandingkan dengan lagu-lagu Raya saya sebelum ini,” kata Ernie.

Ernie berkata, proses rakaman lagu ini sangat mudah.
“Pada awalnya sudah ada versi yang pendek sekitar dua minit. Kemudian kami mengambil keputusan untuk memanjangkan sedikit lagu ini.
“Di situ saya tambahkan melodi, khasnya di rangkap bridge kerana ingin menyerlahkan sedikit gaya baharu pada karya ini.
“Ada unsur moden juga dan tidaklah seperti lagu Saloma dari era 50-an sepenuhnya,” katanya.
Ernie berkata, ketika bekerja dengan rakan-rakan penulis di Faithful Music, dia selalu mendapat pengalaman baharu selain mempelajari teknik-teknik lain dalam mencipta lagu baharu.
“Saya gembira dapat bekerjasama dengan mereka sambil merungkai bunyian baru dalam muzik.
“Lagu ini turut ditampilkan dengan sebuah video muzik yang dirakam ketika bulan puasa.
“Jalan cerita video muzik lagu ini sangat mudah. Ia berkisar tiga orang adik-beradik menjelang hari raya dan saya memainkan watak kakak sulung atau Kak Long yang cuba menyatu-padukan dua orang adik saya yang suka bergaduh. Konsepnya seronok, ceria dan sangat santai,” katanya.
Video Muzik HAHAHAHAHari Raya turut menampilkan jenama tudung Ernie sendiri iaitu Ayuwan.
Sepanjang bulan Ramadan ini, tudung Ayuwan miliknya sudah muncul di aneka acara termasuk di Star Vendor, KL Convention Centre pada 30 Mac lalu.
Ernie juga sempat mempromosikan tudung Ayuwan pada 31 Mac di Sogo KL ketika mempersembahkan lagu HAHAHAHAHari Raya di lokasi berkenaan.
Acara turut diikuti dengan sesi ramah mesra bersama peminat dan media di penghujung acara.

Berkongsi tentang harapannya untuk lagu ini, Ernie berkata, dia mahukan yang terbaik untuk lagu raya kali ini.
“Kalau boleh semua orang mahu lagu raya mereka menjadi malar segar dan berkekalan, namun yang paling penting, saya ingin lagu ini membuat pendengar tertawa dan gembira.
“Saya mahu mereka menikmatinya, sesuai dengan konsep lagu ini sebagai sebuah lagu musim perayaan Aidilfitri.
“Semoga pendengar akan mendapat kebahagiaan dan kegembiraan berhari raya saat mendengar lagu ini,” katanya.
HAHAHAHAHari Raya kini boleh didengari di semua digital platform seperti Spotify, Apple Music, KKBOX, Deezer dan YouTube Music.
Manakala muzik video juga telah ditayangkan secara eksklusif di saluran YouTube rasmi Ernie Zakri sejak 27 Mac lalu.

