29.8 C
Kuala Lumpur
Tuesday, March 10, 2026

Gara-gara pakai ‘keffiyeh’, pelakon Britain ditahan di Mekah

PIHAK berkuasa Arab Saudi dilaporkan menahan sebilangan jemaah umrah yang memakai tudung keffiyeh atau penutup kepala tradisional Palestin semasa berada di Mekah, lapor CNN Indonesia.

Ia termasuk pelakon dan pengacara dari England Islah Abdur-Rahman.

Menceritakan perkara itu, Abdur-Rahman berkata, dia ditahan oleh pegawai keselamatan di Masjidil Haram kerana memakai keffiyeh.

Menurutnya, ketika itu beliau sedang menunaikan ibadah umrah di Mekah pada penghujung Oktober lalu.

“Saya dihalang oleh empat anggota tentera kerana saya memakai keffiyeh putih di kepala dan tasbih berwarna Palestin di pergelangan tangan saya.

“Saya diiringi di luar lokasi di mana mereka menahan orang kerana kemungkinan jenayah atau pelanggaran.

“Sebaik sahaja saya ditahan, ada pegawai lain yang menyoal siasat saya dan bertanya tentang kewarganegaraan saya, mengapa saya berada di sini,” katanya.

Katanya, tentera memintanya untuk menunjukkan cara memakai keffiyeh sambil membincangkan nasibnya sebelum mengambil visanya.

“Adalah jelas bahawa selendang itu menjadi punca saya ditahan,” katanya.

Abdur-Rahman berkata, pegawai bercakap dalam bahasa Arab dan berulang kali menyebut keffiyeh Palestin sambil melihat selendangnya.

Apabila dibebaskan, seorang pegawai menghampirinya dan mengambil keffiyeh itu dengan mengatakan kain itu tidak baik.

“Ini tidak bagus, Israel-Palestin tidak bagus, jadi jangan pakai, tidak boleh,” katanya yang meniru percakapan pegawai itu.

Abdur-Rahman tidak menyangka perjalanan menunaikan umrah akan berakhir di pusat tahanan. Dia mengaku sangat terkejut dengan perkara ini.

Dia mengakui pada mulanya takut kerana berada di negara orang lain dan tidak berhak berbuat apa-apa.

Namun, perasaan itu bertukar menjadi sakit hati kerana akhirnya dia mengalami sendiri diskriminasi yang dirasai rakyat Palestin.

“Ketakutan saya bertukar menjadi patah hati. Kesakitan yang menjadi lebih teruk apabila saya menyedari bahawa ini yang dirasai daripada apa yang rakyat Palestin alami selama ini,” katanya.

Selain itu, dia juga berasa kecewa kerana penahanan berlaku di tempat suci.

“Ini menyedarkan saya bagaimana rakyat Palestin di Gaza dan di negara mereka dilayan oleh kerajaan Israel, dan penderaan yang mereka terima semata-mata kerana menjadi warga Palestin. Ini mengembangkan empati saya lebih jauh daripada sebelumnya,” katanya.

Selepas kejadian itu, Abdur-Rahman berkongsi kisahnya di media sosial.

Bagaimanapun, hantaran itu dihujani dengan kritikan daripada warga Saudi.

Ramai mengatakan bahawa bendera atau simbol tidak dibenarkan dibawa ke tempat ibadat. -Agensi

ARTIKEL BERKAITAN

Popular