29.8 C
Kuala Lumpur
Tuesday, March 10, 2026

Pengasas Sunway terima darjah kebesaran KBE oleh Raja Charles III

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Pengasas dan Pengerusi Kumpulan Sunway, Tan Sri Dr Jeffrey Cheah dinamakan sebagai penerima darjah kebesaran Komander Kesatria Darjah Yang Paling Cemerlang Empayar British (KBE) oleh Raja United Kingdom, Raja Charles III.

Dalam kenyataan oleh Suruhanjaya Tinggi British, Cheah diberi penghormatan itu atas sumbangannya dalam bidang pendidikan tinggi, perkhidmatan kesihatan serta kedermawanan.

Darjah kebesaran yang membawa awalan ‘KBE’ itu sangat berprestij dan jarang diberikan kepada rakyat bukan daripada Alam Komanwel, menurut kenyataan itu.

“Darjah kebesaran yang dikurniakan kepada Cheah ini adalah yang kedua di Malaysia sejak kebelakangan ini dan yang pertama dikurniakan Raja Charles kepada warganegara Malaysia.

“Darjah kebesaran ini juga sebagai pengiktirafan ke atas peranan penting yang dimainkan Cheah dalam menjalin hubungan peringkat tinggi dengan beberapa institusi UK dan menyumbang kepada hubungan dua hala antara UK dan Malaysia,” kata kenyataan itu.

Cheah, usahawan dan dermawan terkemuka Malaysia juga adalah pengasas dan pemegang amanah Yayasan Jeffrey Cheah yang memiliki dan mentadbir semua entiti dalam Kumpulan Pendidikan Sunway di bawah struktur bukan untuk keuntungan.

Sehingga kini, yayasan itu telah mengagihkan lebih RM670 juta biasiswa untuk menyediakan sokongan pendidikan kepada pelajar yang layak dan memerlukan, selain memberi kerusi dan jawatan profesor di beberapa universiti terkemuka dunia termasuk Universiti Cambridge dan Universiti Oxford di UK bagi memudahkan pemindahan pengetahuan dan membawa pakar bertaraf dunia ke Malaysia.

Menerusi bidang perniagaan dan kedermawanan, Suruhanjaya Tinggi British memaklumkan usaha gigih Cheah untuk belajar daripada yang terbaik dan bekerja dengan yang terbaik, membawa kepada kerjasama peringkat tinggi antara Sunway, Yayasan Jeffrey Cheah dan institusi terkenal di UK seperti Universiti Cambridge, Universiti Oxford, Universiti Lancaster dan Kolej Pakar Perubatan Diraja.

Dalam penjagaan kesihatan, kerjasama dengan Universiti Cambridge menyaksikan Pusat Perubatan Sunway di Sunway City Kuala Lumpur dilantik sebagai Rakan Tapak Serantau Pusat Penyelidikan Klinikal Universiti Cambridge, serta penamaan Pusat Bioperubatan Jeffrey Cheah di Kampus Bioperubatan Universiti Cambridge, kluster bioteknologi terbesar di luar Amerika Syarikat (AS).

“Selain memainkan peranan penting dalam tindak balas UK terhadap Covid-19, Pusat Bioperubatan Jeffrey Cheah menempatkan lebih 300 saintis yang menjalankan penyelidikan canggih untuk menangani cabaran kesihatan awam terkini dan baru muncul,” kata kenyataan itu lagi.

Dalam sektor pendidikan, Suruhanjaya Tinggi British menyatakan hubungan antara Universiti Sunway dan Universiti Lancaster sejak 2006 merupakan antara kerjasama pendidikan tinggi transnasional paling berjaya di peringkat dunia, memenangi anugerah Kerjasama Institusi Pendidikan UK-Malaysia pada Anugerah Kecemerlangan Perniagaan Dewan Perniagaan British Malaysia (BMCC) 2022.

“Terkini, Cheah mengetuai Kumpulan Sunway menerusi Sunway Innovation Lab menjalin kerjasama dengan firma berpangkalan di Cambridge, Deeptech Labs, justeru membolehkan mereka mempercepatkan pertumbuhan teknologi karbon sifar dan membuka jalan untuk syarikat pemula UK di rantau Asia Pasifik,” katanya.

Cheah dalam kenyataan sama berkata, beliau amat terharu dengan penganugerahan itu dan menganggap penghormatan diterima beliau bukan semata-mata secara peribadi, tetapi turut mengiktiraf usaha semua pihak yang bergabung dengan Kumpulan Sunway dan Yayasan Jeffrey Cheah dalam memberi impak positif kepada masyarakat dan Malaysia.

Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia, Ailsa Terry, turut mengucapkan tahniah kepada Cheah dan menyifatkan beliau sebagai usahawan luar biasa yang telah membina dan membawa Kumpulan Sunway menjadi konglomerat yang berjaya dengan pelaburan di UK.

Kenyataan itu berkata, Terry akan menyampaikan darjah kebesaran itu kepada Cheah bagi pihak Raja Charles pada tarikh yang akan diumumkan kemudian.

Sebelum ini, Pengerusi Eksekutif YTL Corporation Bhd, Tan Sri Francis Yeoh menerima darjah kebesaran itu pada 2019. 

ARTIKEL BERKAITAN

Popular