26.9 C
Kuala Lumpur
Friday, June 12, 2026
Home Blog Page 57

Selangor sasar RM20 bilion dari ekonomi kreatif menjelang 2035

editormaxinfo@gmail.com

SHAH ALAM – Kerajaan Negeri Selangor terus memperkukuhkan peranannya sebagai peneraju dalam sektor ekonomi kreatif negara menerusi penganjuran Ekspo Ekonomi Kreatif Selangor 2025 (SCEE25).

Majlis yang berlangsung selama dua hari itu bukan sahaja menjadi platform penghargaan kepada pemain industri kreatif di negeri ini, tetapi juga ruang strategik bagi sesi libat urus bersama agensi, syarikat, serta penggiat industri kreatif dari pelbagai bidang termasuk animasi, permainan digital, seni persembahan, warisan budaya dan kraf tempatan.

EXCO Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor merangkap Pengerusi Jawatankuasa Tetap Ekonomi Kreatif Negeri Selangor; Mohd Najwan Halimi berkata, program dimulakan dengan sesi town hall, pelancaran dan lawatan rasmi DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Hajah Norashikin ke reruai pameran.

Pada hari kedua, keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor turut dijadualkan bagi menyerikan lagi majlis dan menyantuni usahawan kreatif yang hadir.

“Majlis ini menjadi pentas penting untuk memperkenalkan pelbagai pihak yang sebelum ini kurang mendapat pendedahan, khususnya perusahaan kecil dalam sektor kreatif di peringkat akar umbi.

“Penganjuran ini turut merangkumi sesi pitching, forum, serta perbincangan mendalam tentang hala tuju ekonomi kreatif negeri,” katanya selepas pelancaran program, hari ini.

Lebih signifikan, program ini menjadi medan awal kepada pelancaran rasmi Pelan Tindakan Strategik Ekonomi Kreatif Selangor yang dijadual berlangsung pada November 2025 bersempena dengan sidang Dewan Negeri Selangor.

Pelan ini digarap hasil kerjasama antara Unit Perancang Negeri (UPEN) dan Selangor Youth Community (SAY), serta membabitkan pelbagai agensi seperti pihak berkuasa tempatan (PBT), Jabatan Daerah dan Tanah, serta agensi peringkat persekutuan termasuk MDEC, MyCreative Ventures dan SAIDEC.

“Perancangan ini telah melalui proses yang rapi selama hampir dua tahun termasuk sesi perbincangan fokus bersama pemain industri.

“Kita mahu pastikan dasar ini benar-benar mencerminkan keperluan sebenar penggiat ekonomi kreatif di Selangor,” katanya.

Beliau berkata, pelan ini akan memfokuskan kepada tiga teras utama iaitu Multimedia dan Digital, Seni dan Budaya dan Warisan Budaya.

Ketiga-tiga segmen ini akan diteliti secara menyeluruh agar dapat memberi impak secara langsung kepada pembangunan ekonomi kreatif di peringkat komuniti, daerah dan negeri.

Kerajaan Negeri turut menyasarkan agar sektor ekonomi kreatif dapat menyumbang sehingga RM20 bilion kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Negeri Selangor menjelang tahun 2035, menjadikannya antara pemacu utama pertumbuhan ekonomi negeri dalam dekad akan datang.

Sebagai langkah permulaan, Kerajaan Negeri telah meluluskan dana awal sebanyak RM80,000 untuk menyokong penggiat kreatif yang terpilih dalam sesi pitching.

Di samping itu, beberapa program latihan dan pemberdayaan keusahawanan akan dilaksanakan bermula tahun hadapan, bagi meningkatkan kefahaman berkaitan pembangunan perniagaan serta strategi pasaran global.

“Fokus kita adalah untuk mendidik penggiat industri kreatif tentang realiti pasaran dan membantu mereka membawa produk tempatan ke pasaran eksport,” katanya.

Dana tambahan yang lebih signifikan dijangka diumumkan oleh Menteri Besar Selangor semasa pelancaran rasmi pelan tindakan ekonomi kreatif negeri pada bulan November nanti.

Kerajaan Negeri menyatakan sokongan penuh terhadap inisiatif Kerajaan Persekutuan dalam menjadikan ekonomi jingga sebagai salah satu pemacu ekonomi negara.

Pelan tindakan yang bakal dilancarkan ini turut mengambil rujukan daripada Dasar Ekonomi Kreatif Kebangsaan, namun disesuaikan dengan keperluan dan kekuatan setempat Negeri Selangor.

“Ini bukan dasar jangka pendek. Ini adalah pelan 10 tahun. Kita mahu ekonomi kreatif menjadi antara pemacu utama pembangunan Selangor dan seterusnya menyumbang kepada kemajuan negara secara keseluruhan,” katanya.

Muaz Emporium lancar Muaz Exclusive, raikan fesyen mewah mampu milik tempatan

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Dalam usaha mengukuhkan lagi kedudukan sebagai peneraju fesyen tempatan, Muaz Emporium melancarkan jenama terbaharunya, Muaz Exclusive, menerusi sebuah majlis gilang-gemilang yang berlangsung di Hotel Grand Hyatt, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Penubuhan Muaz Exclusive adalah satu langkah strategik dalam memperluaskan segmen pasaran jenama terbabit dengan menampilkan koleksi fesyen premium yang mampu dimiliki oleh rakyat Malaysia.

Majlis pelancaran turut diserikan dengan kehadiran dua ikon terkenal tanah air, Dato’ Aaron Aziz dan Siti Saleha, yang diumumkan sebagai duta rasmi jenama baharu ini.

Menurut wakil Muaz Emporium, pengenalan Muaz Exclusive adalah tanda penghargaan kepada pelanggan setia yang selama ini menyokong perjalanan jenama itu sejak ditubuhkan pada tahun 1993.

Dengan lebih 100 koleksi pakaian berkualiti tinggi yang bakal diperkenalkan tidak lama lagi, Muaz Exclusive menyasarkan untuk menawarkan gaya hidup fesyen mewah yang inklusif dan mampu diakses oleh semua lapisan masyarakat.

“Muaz Exclusive bukan untuk bersaing, tetapi untuk meraikan industri fesyen tempatan.

“Kami mahu rakyat Malaysia menikmati fesyen premium pada harga mampu milik,” kata wakil Muaz Emporium semasa pelancaran.

Jenama baharu ini bukan sahaja melambangkan evolusi Muaz dalam dunia fesyen, malah memperkukuh komitmen syarikat dalam menyokong pembangunan industri fesyen tempatan.

Dengan menjadikan dua selebriti terkenal sebagai wajah jenama, Muaz Emporium turut berhasrat memperluaskan pengaruh Muaz Exclusive ke pasaran lebih luas, termasuk pelanggan generasi muda yang mengutamakan gaya, kualiti dan nilai.

Sejak tiga dekad lalu, Muaz Emporium telah menjadi antara nama paling dipercayai dalam dunia fesyen tempatan, dengan menawarkan pelbagai rekaan moden dan tradisional yang sesuai untuk seisi keluarga.

Pelancaran Muaz Exclusive menandakan satu lagi pencapaian penting dalam misi syarikat untuk terus berkembang seiring dengan cita rasa pengguna masa kini yang semakin menuntut gaya elegan pada harga berpatutan.

Dengan pelancaran ini, Muaz Emporium sekali lagi membuktikan bahawa jenama tempatan mampu bersaing di peringkat lebih tinggi tanpa mengorbankan nilai, kualiti dan jati diri.

Muaz Exclusive kini bersedia untuk menjadi pilihan utama dalam landskap fesyen negara.

Ekspo Ekonomi Kreatif Selangor 2025 tawar peluang baharu untuk usahawan

editormaxinfo@gmail.com

PETALING JAYA – Selangor sekali lagi membuktikan komitmennya dalam mendepani masa depan ekonomi berasaskan kreativiti menerusi penganjuran Ekspo Ekonomi Kreatif Selangor 2025 (SCEE25) yang akan berlangsung esok, 23 hingga 24 September 2025 di Pusat Konvensyen MBSA, Shah Alam.

Majlis perasmian ekspo ini akan disempurnakan oleh DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Hajah Norashikin, sekaligus menandakan detik bersejarah dalam inisiatif Kerajaan Negeri memperkukuh ekosistem ekonomi kreatif yang mampan dan inklusif.

Ekspo bertemakan “Re:Imagine Selangor – Creativity is the New Economy” ini dianjurkan oleh Jawatankuasa Tetap Belia, Sukan dan Keusahawanan di bawah pimpinan YB Mohd Najwan Halimi, dengan kerjasama Selangor Youth Community (SAY) sebagai agensi pelaksana.

Ia selari dengan pelaksanaan Pelan Tindakan Ekonomi Kreatif Selangor 2025–2035, yang menyasarkan untuk menjadikan kreativiti sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi negeri.

Berbeza daripada pameran konvensional, SCEE25 tampil sebagai gerakan strategik untuk membina jaringan rentas sektor yang membabitkan kerajaan, pemain industri, pelabur, akademia, NGO dan golongan kreatif.

Najwan Halimi berkata, ekonomi kreatif tidak lagi sekadar nilai tambah, sebaliknya menjadi teras baharu dalam menjana peluang pekerjaan, pembangunan usahawan dan pertumbuhan ekonomi.

“Ekspo ini bukan sekadar acara ianya adalah komitmen untuk membayangkan semula masa depan Selangor.

“Kami menjemput orang ramai untuk hadir, meneroka pameran, menyertai forum, menyaksikan persembahan secara langsung dan menjadi sebahagian daripada gerakan yang meletakkan kreativiti di teras ekonomi kita,” katanya.

Ekspo ini akan berpusat sekitar empat teras utama di bawah konsep CRE8, yang dirangka untuk memperkasa industri kreatif Selangor iaitu;

1-CRE8Policy – Pentas diskusi dasar melalui sesi townhall, forum dan dialog berkaitan pembiayaan, pelesenan harta intelek (IP), dan pembangunan hab komuniti kreatif.

2-CRE8Fund – Pelancaran Dana Mikro Kreatif Selangor berjumlah RM80,000 sebagai suntikan pembiayaan awal kepada usahawan kreatif tempatan.

3-CRE8Stage – Pentas persembahan seni, sesi pitching, pameran dan pertunjukan yang menggabungkan elemen budaya dan nilai komersial.

4-CRE8Biz Xchange – Platform pemadanan perniagaan secara langsung antara usahawan, pelabur, agensi kerajaan dan jenama utama.

Industri ekonomi kreatif Selangor merangkumi tiga cabang utama iaitu seni budaya, seni multimedia dan seni warisan budaya.

Dengan perkembangan global yang menunjukkan ekonomi kreatif sebagai penyumbang besar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), ekspo ini menjadi landasan penting dalam menyokong visi negeri untuk menjana RM20 bilion output ekonomi kreatif menjelang 2035.

Antara matlamat utama penganjuran SCEE25 termasuklah:

-Mewujudkan peluang pelesenan, kerjasama jenama dan perniagaan baharu.

-Menyediakan akses kepada pelaburan dan pasaran kepada usahawan kreatif.

-Meningkatkan kesedaran masyarakat tentang potensi kreativiti sebagai alat penyatuan sosial, pembangunan ekonomi dan identiti negeri.

Orang ramai daripada pelbagai latar belakang termasuk pelajar, belia, usahawan dan pelabur dijemput hadir memeriahkan ekspo dua hari ini.

Kemasukan adalah percuma dan pendaftaran boleh dibuat secara dalam talian di laman rasmi selangorcreative.com.

Melalui SCEE25, Selangor mengorak langkah lebih jauh dalam membina sebuah negeri yang bukan sahaja berdaya saing dari segi ekonomi, tetapi juga kaya dengan nilai seni, budaya dan inovasi.

Ekspo ini bukan sahaja bakal memacu perubahan landskap industri kreatif tempatan, malah mengangkat Selangor sebagai peneraju ekonomi kreatif di rantau ini.

RIM perjelas isu anugerah ‘Lagu Paling Tinggi Distrim’ AIM24 dan kepentingan pendaftaran ISRC yang betul

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) tampil memberi penjelasan berhubung kategori ‘Lagu Paling Tinggi Distrim’ dalam Anugerah Industri Muzik ke-24 (AIM24) susulan kekeliruan orang ramai mengenai kriteria pemilihan pemenang, khususnya membabitkan lagu popular “Old Love” nyanyian Yuji dan Putri Dahlia.

Menurut kenyataan rasmi yang dikeluarkan RIM, pemenang bagi kategori ini ditentukan sepenuhnya berdasarkan data penstriman rasmi yang diterima daripada penyedia data pihak ketiga.

“Proses ini dikendalikan secara automatik, tanpa campur tangan manual, bagi memastikan ketelusan dan ketepatan data.

“Namun begitu, lagu “Old Love” yang mencatat jumlah strim luar biasa tidak tersenarai dalam Carta Domestik RIM carta mingguan rasmi yang menyenaraikan lagu-lagu tempatan paling tinggi distrim di Malaysia,” kata kenyataan itu.

Menurut RIM, ketiadaan lagu terbabit dalam carta bukan disebabkan oleh kekurangan jumlah strim, tetapi berpunca daripada isu teknikal berkaitan pendaftaran kod ISRC lagu berkenaan.

“Kod ISRC atau International Standard Recording Code ialah identifikasi unik dan kekal untuk setiap rakaman bunyi atau video muzik yang diterbitkan.

“Ia berfungsi sebagai “cap jari digital” yang membolehkan sistem menjejak jumlah penstriman, jualan dan pengiraan royalti secara tepat di semua platform digital global.

“Untuk lagu diklasifikasikan sebagai rakaman tempatan Malaysia dalam Carta Domestik RIM, kod ISRC bagi lagu terbabit mestilah didaftarkan dengan awalan negara “MY”,” kata kenyataan itu lagi.

Kod ini membolehkan sistem RIM mengenal pasti rakaman itu sebagai keluaran tempatan, sekali gus diambil kira dalam semua penilaian rasmi termasuk anugerah industri.

Dalam kes “Old Love”, lagu itu telah didaftarkan dengan tiga kod ISRC berlainan yang bermula dengan awalan luar negara seperti SE (Sweden), TL (Timor Leste) dan QZ (kod antarabangsa).

Oleh kerana tiada kod ISRC dengan awalan “MY” didaftarkan untuk lagu ini, sistem automatik gagal mengklasifikasikannya sebagai rakaman tempatan, menyebabkan ia tidak dimasukkan dalam Carta Domestik RIM dan tidak layak dipertimbangkan untuk kategori ‘Lagu Paling Tinggi Distrim’ AIM24.

RIM menegaskan isu ini bukan disebabkan kecuaian mana-mana pihak, tetapi lebih kepada ketidaktentuan teknikal yang berlaku semasa proses pendaftaran ISRC.

Dalam hal ini, RIM ingin mengingatkan bahawa pendaftaran ISRC dengan betul khususnya melalui RIM adalah amat penting bagi memastikan pengiktirafan kepada artis dan penerbit muzik tempatan dapat diberikan dengan adil dan tepat.

RIM turut menyeru semua pihak dalam industri muzik termasuk label, pengedar digital dan artis bebas agar lebih proaktif bekerjasama dengan RIM dalam proses pendaftaran kod ISRC, terutamanya bagi rakaman yang diterbitkan di Malaysia.

Langkah ini bukan sahaja menjamin kelayakan penyertaan dalam carta dan anugerah rasmi, tetapi juga memberi impak besar dalam mempromosikan dan mengangkat martabat muzik tempatan di peringkat nasional dan antarabangsa.

Dengan penjelasan ini, RIM berharap semua pihak memahami kepentingan proses pengurusan data dalam industri muzik moden yang semakin bergantung kepada teknologi digital.

Ketelusan, ketepatan data dan pendaftaran yang sah adalah asas kepada sebuah ekosistem muzik yang adil, mampan dan berdaya saing.

Canon perkenal PIXMA TR160: pencetak tanpa wayar kompak untuk usahawan dan freelancer

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Canon Marketing Malaysia (Canon) terus memperkukuh kedudukannya dalam pasaran pencetakan mudah alih dengan pelancaran model terbaharu, PIXMA TR160, sebuah pencetak tanpa wayar yang direka khas untuk profesional moden, usahawan dan golongan pekerja bebas yang sentiasa bergerak.

Meneruskan komitmen Canon dalam menggabungkan teknologi dengan gaya hidup masa kini, PIXMA TR160 menawarkan gabungan mobiliti, kemudahan penggunaan dan kualiti cetakan bertaraf profesional sekaligus menjadikannya alat penting untuk individu yang bekerja dari luar pejabat.

Reka Bentuk Kompak untuk Gaya Hidup Dinamik

PIXMA TR160 tampil dengan reka bentuk padat dan ringan, dengan berat kurang daripada 2 kilogram serta dimensi yang membolehkan ia disimpan dengan mudah dalam beg bimbit atau beg kabin.

Ini menjadikan pencetak ini ideal untuk mereka yang sering bertugas di luar pejabat, berpindah dari satu lokasi ke lokasi lain, atau mengamalkan gaya kerja fleksibel.

Ia turut dilengkapi dengan paparan OLED bersaiz 1.44 inci, membolehkan pengguna menyemak status sambungan Wi-Fi, tahap bateri dan menetapkan arahan cetakan dengan lebih mudah dan pantas walau di mana sahaja mereka berada.

Prestasi Tinggi dan Ciri Pintar untuk Produktiviti Maksimum

PIXMA TR160 bukan sekadar pencetak mudah alih biasa. Ia hadir dengan storan memori terbina yang mampu menyimpan sehingga lima templat dokumen kerap digunakan.

Fungsi ini membolehkan cetakan dokumen seperti borang, helaian data atau invois dilakukan secara langsung tanpa perlu disambungkan kepada peranti pintar atau komputer riba.

Lebih menarik, sistem dakwat hibrid 5 warna yang digunakan gabungan dakwat pigmen dan pewarna menjamin hasil cetakan teks yang jelas dan grafik yang terang.

Pengguna boleh mencetak bahan pembentangan atau helaian muka depan bersaiz A4 dengan kualiti yang konsisten dan profesional.

Sokongan Dwi Pengecasan dan Hayat Bateri Cekap

Menepati keperluan mobiliti masa kini, PIXMA TR160 menyokong pengecasan melalui penyesuai AC dan port USB-C.

Dengan hanya 10 minit pengecasan menggunakan penyesuai AC, pengguna boleh mencetak sehingga 36 muka surat, menjadikan pencetak ini rakan kerja yang sentiasa bersedia walau di mana anda berada dari mesyuarat ke mesyuarat atau ketika dalam perjalanan antara bandar.

Cetakan Selamat & Sambungan Fleksibel

Isu keselamatan data dalam persekitaran kerja moden turut diberi perhatian. PIXMA TR160 menyokong sambungan Wi-Fi dwi-jalur (2.4GHz dan 5GHz) serta penyulitan TLS 1.3 untuk memastikan keselamatan data semasa pencetakan tanpa wayar.

Selain itu, pengguna juga boleh mencetak terus dari peranti mudah alih melalui aplikasi Canon PRINT atau menggunakan platform awan tanpa memerlukan sambungan kepada penghala (router) atau komputer.

Harga dan Ketersediaan

Canon PIXMA TR160 akan ditawarkan pada harga RM1,590 dan boleh didapati tidak lama lagi menerusi semua pengedar sah Canon di seluruh negara serta di gedung rasmi Canon Malaysia.

Dengan ciri-ciri inovatif yang mengutamakan kemudahan, keselamatan dan kualiti cetakan, PIXMA TR160 dijangka menjadi pelengkap utama kepada tenaga kerja digital dan mudah alih di Malaysia.

Khadam: filem seram Malaysia-Indonesia papar keibuan, warisan dan saka

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Sebuah filem seram baharu yang menjanjikan pengalaman sinematik penuh ketegangan bakal menggamit pawagam tanah air dan rantau ini.

Diberi judul Khadam, karya ini adalah kolaborasi strategik antara dua syarikat produksi terkemuka Malaysia, Red Communications dan Komet Productions, yang berganding bahu untuk mempersembahkan sebuah naskhah berlatarkan Malaysia era 1950-an.

Khadam menampilkan barisan pelakon utama bertaraf bintang aktor prolifik Datuk Remy Ishak, pelakon muda berbakat besar Siti Khadijah Halim, serta pelakon tersohor Indonesia, Aghniny Haque, yang dikenali ramai menerusi filem seram popular seperti KKN Desa Penari dan Pemandi Jenazah.

Dengan reputasi sebagai “Ratu Seram Indonesia”, kemunculan Aghniny dalam Khadam dijangka menjadi tarikan utama di peringkat serantau.

Filem ini menandakan langkah berani Red Communications dalam menerokai genre seram selepas kejayaan mereka dalam naskhah ikonik seperti Istanbul Aku Datang, Kami The Movie, dan Songlap.

Manakala Komet Productions pula terus mengukuhkan kedudukannya sebagai penerbit kandungan serantau yang dipercayai, dengan pengalaman sebagai penerbit eksekutif untuk projek besar seperti Ejen Ali The Movie 2, Blood Brothers Bara Naga dan Siksa Kubur.

Mendapat sokongan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), projek ini turut menarik perhatian pelabur antarabangsa seperti Sil Metropole dari Hong Kong dan Applause Entertainment dari India satu petanda jelas terhadap minat global terhadap filem Asia Tenggara yang mengangkat unsur budaya tempatan.

Khadam diarahkan oleh Shamyl Othman, yang sebelum ini mengarahkan filem seram pecah panggung Rahsia, dan ditulis oleh Fariza Azlina Isahak, penulis skrip disegani yang terkenal dengan karya-karya pemenang anugerah seperti Songlap dan Kami The Movie.

Gabungan ini dijangka menghasilkan sebuah naskhah yang bukan sahaja menyeramkan, tetapi turut menyentuh sisi emosi dan kemanusiaan.

Kisah filem ini berkisar tentang Melor, seorang wanita yang selepas kematian ibunya, terpaksa mewarisi saka keluarga suatu pusaka ghaib yang penuh dengan misteri dan kekuatan gelap.

Dalam usahanya untuk membebaskan diri, Melor mendapati dirinya terperangkap dalam pertarungan antara warisan lama dan masa depan anak perempuannya yang kini berisiko mewarisi entiti terbabit.

Pertarungan ini bukan sahaja fizikal, malah batin, kerana Melor berdepan dilema antara naluri keibuan dan takdir turun-temurun yang menghantui keluarganya.

Namun, Khadam bukan sekadar kisah hantu atau seram semata-mata. Ia mengangkat tema berat seperti pengorbanan seorang ibu, tekanan sosial terhadap wanita, serta warisan budaya yang sering menjadi beban generasi baharu.

Ia menyentuh persoalan besar sejauh mana seorang ibu sanggup berjuang untuk melindungi anaknya walaupun daripada ‘darah daging’ sendiri.

Turut membintangi filem ini ialah pelakon berpengalaman Jun Lojong serta dua pelakon kanak-kanak berbakat, adik-beradik Zarra Zhaff dan Karl’El.

Dengan penggambaran dijadualkan bermula pertengahan September 2025, Khadam dijangka menemui penonton di pawagam seluruh negara serta beberapa pasaran serantau pada tahun 2026.

Projek ini tidak hanya memperlihatkan kerjasama rentas produksi, tetapi juga menjadi contoh bagaimana industri kreatif tempatan mampu menghasilkan karya berimpak tinggi dengan nilai komersial dan kebudayaan yang seimbang.

Penampilan pelakon Indonesia dalam sebuah produksi Malaysia juga membuka peluang perluasan pasaran ke negara jiran serta pengukuhan hubungan sinematik antara dua negara.

Dengan gabungan kekuatan cerita, barisan pelakon ternama dan elemen seram yang bersandarkan warisan budaya tempatan, Khadam dijangka mencipta fenomena baharu dalam sinema seram Asia Tenggara.

Lancar single pertama, Lot 17 pertaruh ‘Mencari Sinar’

editormaxinfo@gmail.com

SHAH ALAM – Kumpulan muzik baharu, Lot 17 yang dianggotai oleh kakitangan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) kini melakar langkah baharu dalam dunia seni apabila secara rasmi melancarkan single sulung mereka berjudul Mencari Sinar.

Lagu Mencari Sinar menampilkan kolaborasi tenaga kreatif yang berpengalaman dalam industri muzik tempatan.

Liriknya ditulis oleh RossBai, manakala melodi digubah oleh Jatt Aziz. Proses penyusunan dan penerbitan pula digalas oleh pemuzik terkenal, Zul 2by2, yang memberikan sentuhan segar namun tetap sarat dengan elemen nostalgia muzik era 90-an.

Lot 17 dianggotai oleh tujuh pemuzik berbakat iaitu Tuan E-Zat selaku vokalis utama, Lie (gitar utama), Lan Asbu (gitar kedua), Nazz (bass), Amer Ameroll (dram), Boy (keyboard) dan Armadd (violin).

Kumpulan ini bukanlah nama baharu di pentas tempatan, malah telah aktif sejak tahun 2010 sebagai kombo rasmi MBKT di bawah unit kebudayaan.

Selain kerap membuat persembahan di pelbagai majlis keraian kerajaan negeri, Lot 17 juga pernah diberi penghormatan membuat persembahan sempena majlis santapan diraja serta mengiringi artis tersohor, Datuk Awie, dalam acara Mekar Fest 2025.

Bagi Tuan E-Zat, yang sebelum ini pernah menjuarai pertandingan Bintang Nescafé 2012, pelancaran Mencari Sinar adalah satu titik perubahan besar buat kumpulan mereka.

“Ini rezeki yang tidak disangka. Daripada sekadar membuat persembahan di majlis rasmi, kini kami diberi peluang untuk menampilkan karya ciptaan sendiri.

“Dengan sokongan penaja dan penerbit, kami percaya muzik Lot 17 mampu diterima dalam arus perdana,” katanya optimis.

Menariknya, projek penghasilan lagu ini turut mendapat perhatian dan sokongan daripada pihak penaja utama iaitu pengasas jenama Casalwa, Datin Sharifah Salwa Syed Shafie.

Menurut beliau, penglibatan Lot 17 dalam dunia muzik profesional harus disambut dengan sokongan padu.

“Saya mula mengenali mereka melalui persembahan secara langsung. Dari situ, saya nampak bakat mereka bukan biasa-biasa.

“Mereka bukan sahaja berbakat dalam nyanyian dan permainan alat muzik, malah mempunyai keserasian dan disiplin kerja yang tinggi. Saya yakin mereka mampu pergi jauh,” katanya pada majlis pelancaran lagu berkenaan, baru-baru ini.

Pada majlis itu, turut diadakan pertunjukan fesyen yang menampilkan 10 rekaan baharu bertemakan ‘Sinar’ di mana setiap busana membawa simbol harapan, cahaya dan tenaga baharu.

Setiap koleksi yang diperagakan berkonsep moden dan kontemporari disulamkan dengan elemen tradisional, memberi sentuhan unik yang melengkapi tema lagu Mencari Sinar.

Sharifah Salwa berkata, Mencari Sinar hanyalah permulaan kepada perancangan yang lebih besar. Penulis lirik RossBai dikatakan telah pun menyiapkan lebih lima buah lagu lain yang bakal dilancarkan secara berperingkat.

“Kami merancang untuk menggabungkan muzik dengan elemen kreatif lain seperti fesyen, seni visual dan persembahan pentas yang lebih inovatif.

“Visi kami adalah untuk melihat bakat tempatan seperti Lot 17 dapat bersaing di peringkat lebih tinggi,” katanya.

Sementara itu, penerbit lagu Mencari Sinar, Zul 2by2, menyifatkan pengalaman bekerjasama dengan Lot 17 sebagai satu peluang untuk mengangkat semula semangat muzik era 90-an yang kini kembali diminati ramai.

“Saya tertarik dengan suara Tuan E-Zat yang membawa vibe nostalgia. Apabila saya dengar rakaman awal mereka, ia terus mengimbau zaman kegemilangan muzik 90-an.

“Jadi saya ambil pendekatan untuk menghasilkan susunan muzik yang mudah diterima tetapi tetap ada identiti tersendiri,” katanya.

Zul turut memberi jaminan bahawa usaha promosi dan strategi pemasaran akan dilaksanakan dengan teliti bagi memastikan lagu ini tidak tenggelam begitu sahaja.

“Kami tidak akan berhenti di sini. Single kedua juga sedang dalam perancangan dan beberapa karya lain telah pun siap dari segi lirik. Insya-Allah, akan ada lebih banyak kolaborasi selepas ini,” katanya.

Dengan pelancaran single ini, Lot 17 membuktikan bahawa bakat dalam sektor awam juga mampu menyerlah di persada seni tanah air, asalkan diberi ruang dan sokongan yang sewajarnya.

Lagu Mencari Sinar kini boleh dinikmati menerusi semua platform penstriman digital utama.

EXAL Malaysia raikan penyerahan fasa pertama SÓL Estate, tanda komitmen terhadap kehidupan mampan dan aspirasi milenial

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – EXAL Malaysia meraikan satu pencapaian penting dalam usaha mentransformasikan gaya hidup komuniti moden apabila Fasa 1 pembangunan kediaman SÓL Estate berjaya diserahkan kepada pemilik baharu.

Terletak di Sarawak, projek ini bukan sahaja mencerminkan pendekatan holistik terhadap reka bentuk kediaman, malah menandakan satu fasa baharu dalam pembangunan komuniti yang mampan dan berpaksikan nilai hidup generasi milenial.

SÓL Estate dibangunkan sebagai respons terhadap perubahan keperluan generasi muda, khususnya golongan milenial yang kini merangkumi 25 peratus daripada populasi Malaysia.

Dengan pertumbuhan nilai transaksi hartanah meningkat sebanyak 23.8 peratus dalam separuh pertama tahun 2024, EXAL tampil dengan penyelesaian yang menepati keinginan golongan ini iaitu rumah yang menyokong kelestarian alam, gaya hidup aktif dan nilai jangka panjang.

Fasa pertama SÓL Estate Prime membabitkan 74 unit kediaman yang direka dengan ciri-ciri mesra alam serta dilengkapi teknologi pintar.

Setiap unit menampilkan rekaan seni bina yang menekankan kecekapan tenaga melalui penggunaan strategi pasif seperti pengudaraan silang semula jadi dan kecekapan tenaga suria, membolehkan pengurangan kebergantungan terhadap sumber tenaga sambil mengekalkan keselesaan terma di dalam rumah.

Pendekatan reka bentuk turut menggabungkan ruang dalaman dan luaran secara harmoni, mewujudkan suasana terbuka dan mesra alam.

Selain itu, susun atur ruang dalaman yang fleksibel membolehkan penghuni menyesuaikan kediaman mengikut keperluan hidup yang sentiasa berubah, dari awal kerjaya hingga ke fasa berkeluarga.

Setiap rumah turut dilengkapi dengan infrastruktur sedia solar, kemudahan pengecasan kenderaan elektrik (EV), serta reka bentuk estetik moden yang menepati cita rasa pembeli hari ini.

Bagi melengkapi kehidupan komuniti, pelbagai kemudahan bersama turut disediakan seperti ruang hijau, kawasan kesejahteraan dan elemen landskap yang menyokong interaksi sosial serta ketenangan peribadi.

Dalam menangani cabaran alam sekitar yang semakin kritikal, EXAL turut mengambil langkah proaktif dengan membangunkan infrastruktur lestari seperti kolam takungan air, jalan dan aras rumah yang ditinggikan bagi mengurangkan risiko banjir, serta rawatan tanah dan asas yang dipertingkatkan bagi menjamin ketahanan struktur bangunan.

Komitmen EXAL terhadap kualiti bukan sekadar pada reka bentuk fizikal, malah turut diterjemahkan dalam proses penyerahan rumah kepada pemilik.

Dengan pelaksanaan pemeriksaan kualiti QLASSIC dan sesi orientasi prapenyerahan, EXAL memastikan setiap pembeli menerima kediaman dengan penuh keyakinan dan ketelusan.

Ini dibuktikan melalui pencapaian skor QLASSIC terkini sebanyak 84 peratus, menunjukkan tahap kualiti pembinaan yang tinggi serta konsisten.

Bagi memastikan penyelenggaraan berterusan selepas penyerahan, EXAL telah melantik Knight Frank Property Management sebagai pengurus hartanah rasmi SÓL Estate.

Langkah ini memberi jaminan kepada pemilik rumah bahawa kediaman mereka akan diselenggara secara profesional, sekali gus mengekalkan nilai hartanah dan kesejahteraan komuniti.

Pengarah Urusan EXAL Malaysia, Albert Ko berkata, SÓL Estate dibangunkan lebih daripada sekadar tempat tinggal ia adalah ruang untuk rasa memiliki dan membina masa depan.

“Kami berbangga menyambut pemilik baharu ke rumah yang bukan sahaja memenuhi keperluan fizikal, tetapi juga mencerminkan nilai, cita-cita dan kesejahteraan hidup mereka,” katanya.

Sebagai sebahagian daripada komitmen jangka panjang EXAL dalam membina persekitaran lestari dan bandar pintar, kerjasama strategik turut dijalinkan bersama Solarvest dan GreenRE.

Antara inisiatif yang dilaksanakan termasuk penggunaan bahan binaan mesra alam, reka bentuk solar pasif, serta integrasi teknologi hijau dalam setiap aspek pembangunan.

Sebagai penyumbang utama kepada Pelan Induk Bandar Pintar Kuching, EXAL terus mempelopori usaha mentakrifkan semula perumahan moden melalui prasarana pintar dan amalan yang bertanggungjawab terhadap alam sekitar.

Dengan semakin ramai golongan milenial mencari kediaman yang mencerminkan nilai hidup mereka sama ada dari aspek kelestarian, kesihatan, atau fleksibiliti EXAL Malaysia kekal komited untuk menawarkan penyelesaian masa depan yang relevan dan bermakna.

Penyerahan Fasa 1 ini menjadi titik permulaan kepada fasa-fasa seterusnya dalam pembangunan SÓL Estate, yang dijangka hadir dengan ciri-ciri lebih inovatif dan pengalaman hidup yang lebih diperibadikan.

Melangkah ke hadapan, EXAL Malaysia terus mendukung visi untuk menyediakan kediaman aspirasi yang mampu berkembang bersama penghuni membina akar yang kukuh untuk masa depan yang lebih mampan dan penuh harapan.

Sunday Staples Singapura lancar kedai pertama di Malaysia, kini dibuka di Pavilion Bukit Jalil

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Jenama kasut gaya hidup terkenal dari Singapura, Sunday Staples, secara rasminya membuka kedai fizikal pertamanya di Malaysia, bertempat di Pavilion Bukit Jalil.

Pelancaran ini menandakan satu langkah penting dalam perkembangan jenama berkenaan, yang bermula sebagai projek kecil dari rumah oleh pengasasnya, Cherriann Wong dan kini telah menjual lebih 200,000 pasang kasut dalam tempoh lima tahun menerusi empat cawangan runcit di Singapura.

Dikenali sebagai jenama kasut yang mementingkan keselesaan dan gaya, Sunday Staples tampil dengan rekaan ringkas, feminin dan versatil direka khas dalam rona neutral yang mudah digayakan.

Antara koleksi ikonik jenama ini adalah Cloud Series, yang menampilkan lapisan tapak ultra-lembut dan anjal untuk keselesaan sepanjang hari, dalam potongan yang kekal anggun dan elegan.

Menurut Cherriann Wong, pembukaan kedai di Kuala Lumpur adalah sebagai tindak balas kepada permintaan tinggi daripada pelanggan Malaysia yang selama ini hanya dapat menikmati koleksi mereka secara dalam talian.

“Kami melihat ada jurang yang ketara dalam pasaran Malaysia kasut yang benar-benar seimbang antara gaya dan keselesaan sukar didapati.

“Ramai pelanggan kami dari Malaysia menunjukkan minat terhadap Cloud Series dari seberang Tambak Johor dan kami teruja untuk akhirnya membawakan pengalaman itu terus ke sini,” katanya.

Beliau berkata, kehadiran fizikal jenama di Kuala Lumpur membolehkan pengguna menikmati pengalaman membeli-belah yang lebih peribadi, khususnya dalam memilih dan mencuba sendiri produk yang telah terbukti dari segi kualiti dan keselesaan.

Selaras dengan keperluan iklim tropika Malaysia, Sunday Staples menggunakan bahan-bahan inovatif yang bukan sahaja tahan lama, tetapi juga sesuai untuk cuaca lembap dan panas.

Ini termasuk penggunaan Microfibre Leather yang mesra alam dan tahan lama sebagai alternatif vegan kepada kulit haiwan, selain material kalis air seperti Waterproof Linen, Waterproof Satin dan Waterproof Suede yang mampu mengekalkan keanggunan walaupun dalam keadaan cuaca tidak menentu.

Rekaan kasut juga dioptimumkan untuk keselesaan kaki wanita Asia, dengan ciri seperti tali kulit lembut, lapisan tambahan di bahagian tumit untuk ballet flats, Flyknit uppers, serta pilihan lebih luas bagi tumit rendah dan block heels semuanya demi memastikan pemakaian yang selesa sepanjang hari tanpa mengorbankan penampilan.

“Kami bukan sekadar membuka kedai kami hadir sebagai solusi kepada wanita Malaysia yang sudah bosan memilih antara keselesaan atau gaya.

“Setiap pasang kasut kami direka untuk menyesuaikan diri dengan gaya hidup aktif dan cuaca tempatan, sama ada untuk mesyuarat berturut-turut mahupun bersiar-siar di kota.

“Kami berharap dapat membina hubungan jangka panjang bersama pelanggan Malaysia dan menjadi pilihan utama kasut harian mereka,” katanya.

Cawangan pertama Sunday Staples di Malaysia kini dibuka di Pavilion Bukit Jalil, bertempat di Tingkat 3 (Zon Merah Jambu).

Untuk maklumat lanjut mengenai koleksi terkini, pelanggan boleh melayari laman rasmi Sunday Staples atau mengikuti perkembangan mereka di Facebook (@Sundaystaples) dan Instagram (@sundaystaples).