34.8 C
Kuala Lumpur
Tuesday, February 3, 2026
Home Blog Page 31

Konsert Lagenda Nada Murni 2025, Hijjaz dan Rabbani kembali bersatu selepas tiga dekad

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Selepas lebih tiga dekad membawa haluan masing-masing, dua nama besar dalam dunia nasyid tanah air Hijjaz dan Rabbani bakal kembali bergabung di atas satu pentas menerusi Konsert Lagenda Nada Murni, sebuah acara istimewa yang bakal mengimbau era kegemilangan nasyid 1980-an.

Dianjurkan oleh Karri Talk Production dan Westzone Entertainment, konsert ini akan berlangsung pada 7 Disember 2025, bertempat di Idea Live Arena, Petaling Jaya, bermula jam 8 malam.

Acara ini bukan sekadar sebuah persembahan muzik, tetapi juga adalah satu pertemuan semula penuh makna antara bekas ahli kumpulan nasyid legenda Nada Murni, yang kini dikenali menerusi dua kumpulan terkenal Hijjaz dan Rabbani.

Wakil penganjur berkata, Konsert Lagenda Nada Murni adalah satu penghormatan terhadap perjalanan muzik nasyid tanah air, di samping menjadi wadah untuk menyatukan kembali nostalgia peminat terhadap lagu-lagu nasyid yang pernah mencetus fenomena pada zamannya.

“Konsert ini bukan sekadar hiburan, tetapi sebuah peristiwa bersejarah yang mempertemukan kembali insan-insan seni yang pernah menyatu di bawah nama Nada Murni.

“Ia akan menjadi malam yang penuh emosi, kenangan dan spiritual, tatkala muzik menyatukan kembali kita semua,” katanya.

Penonton bakal disajikan dengan deretan lagu klasik yang pernah mempopularkan Nada Murni, antaranya “Di Pondok Kecil,” “Di Sini Kami Berkumpul,” serta “Tanpa Agama” yang pasti akan menghidupkan kembali nostalgia era 80-an.

Persembahan turut dimeriahkan dengan kehadiran artis jemputan istimewa seperti Saujana, Akhil Hayy dan Pak Dinie, yang akan tampil selaku juri jemputan dalam satu segmen khas semasa konsert.

Konsert berdurasi dua jam ini menjanjikan pengalaman rohani dan hiburan yang menyentuh jiwa, melalui harmoni vokal dan lirik yang sarat dengan mesej dakwah serta nilai murni.

Ia adalah peluang yang cukup istimewa buat para peminat nasyid untuk menyaksikan penyatuan semula yang sudah lama dinanti.

Jualan tiket rasmi akan bermula pada 26 September 2025, secara eksklusif melalui platform ILASSO TICKETS dan FANTOPIA.

Menariknya, sistem jualan tiket telah dibahagikan kepada tiga kategori utama iaitu Lelaki (Men Section), Wanita (Women Section), dan Keluarga (Family Section) satu inisiatif mesra penonton yang menghormati keselesaan serta keharmonian suasana konsert.

Harga tiket pula ditawarkan pada empat kategori bermula dari RM128, RM218, RM238 sehingga RM258. Dengan jangkaan sambutan luar biasa, peminat dinasihatkan untuk mendapatkan tiket lebih awal bagi mengelakkan kekecewaan.

Buat generasi yang membesar bersama irama nasyid, nama Nada Murni bukanlah sesuatu yang asing. Ditubuhkan sekitar tahun 1987, kumpulan ini pernah menggegarkan pentas nasyid negara dengan lagu-lagu seperti “Bila Nur Melimpah Di Hati” dan “Nun Di Sana”.

Uniknya, mereka memulakan perjalanan seni dengan merakam lagu dalam saluran air (gelung) di Kampung Sungai Penchala, memandangkan ketika itu mereka belum memiliki studio atau peralatan muzik yang lengkap.

Lagu-lagu mereka hanya disampaikan melalui satu nada namun tetap mampu menyentuh hati pendengar.

Pada tahun 1994, kumpulan ini berpecah, dengan anggotanya membawa haluan baharu dan menubuhkan kumpulan Rabbani dan Hijjaz, dua nama yang kemudiannya mencipta sejarah tersendiri dalam dunia muzik nasyid tanah air.

Kini, setelah sekian lama penyatuan semula mereka dalam Konsert Lagenda Nada Murni pastinya menjadi detik bersejarah buat industri nasyid dan peminat muzik Islamik di Malaysia.

Jam pintar HUAWEI baharu kini boleh pra-tempah, hadiah percuma bernilai sehingga RM1,305

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Huawei Consumer Business Group (CBG) Malaysia mengumumkan dua peranti boleh pakai terbaharunya, HUAWEI WATCH GT 6 Series dan HUAWEI WATCH Ultimate 2, bakal dilancarkan secara rasmi di pasaran Malaysia pada 29 September 2025.

Menerusi pengenalan global di Paris baru-baru ini, kedua-dua jam pintar ini menampilkan inovasi terkini yang menggabungkan ketahanan bateri luar biasa, ciri kecergasan canggih dan rekaan premium yang memenuhi keperluan pengguna harian serta pengembara lasak.

Mengambil inspirasi daripada semangat “Ride the Wind”, siri HUAWEI WATCH GT 6 direka dengan gabungan ketahanan dan keanggunan.

Model GT 6 Pro dan GT 6 46mm mampu bertahan sehingga 21 hari, manakala GT 6 41mm pula menawarkan ketahanan bateri sehingga 14 hari, menjadikannya antara jam pintar paling tahan lama dalam pasaran.

Sistem Sunflower Positioning yang dipertingkatkan juga diperkenalkan untuk ketepatan penjejakan lokasi yang lebih tinggi.

Bagi pengguna yang mengutamakan aktiviti luar, WATCH GT 6 Pro menawarkan mod sukan lanjutan seperti lari denai, golf, selam bebas sehingga 40 meter, dan sukan musim sejuk seperti ski.

Huawei turut memperkenalkan teknologi baharu cycling virtual power, yang membolehkan penunggang basikal mengukur intensiti kayuhan secara tepat dan saintifik ciri yang biasanya hanya terdapat pada alat pengukur kuasa khusus. Kini, semua itu boleh dipantau terus di pergelangan tangan.

Sistem TruSense baharu dalam siri ini juga menawarkan pengesanan emosi pelbagai dimensi, pemantauan kesihatan menyeluruh serta kawalan kesihatan kardiovaskular yang berterusan, menjadikan ia alat pemantauan kesihatan harian yang komprehensif.

Bermula hari ini, pengguna boleh membuat pra-tempahan siri HUAWEI WATCH GT 6 dengan hanya RM50 deposit dan berpeluang menerima hadiah percuma bernilai sehingga RM446, termasuk HUAWEI FreeBuds 6i dan keahlian 3 bulan HUAWEI Health+.

Tawaran ini boleh didapati di semua HUAWEI Experience Stores, laman web rasmi HUAWEI, serta platform e-dagang rasmi seperti Shopee, Lazada dan TikTok Shop.

Sementara itu, HUAWEI WATCH Ultimate 2 pula tampil sebagai jam pintar pertama di dunia yang menerima pensijilan menyelam sehingga kedalaman 150 meter, menjadikannya pilihan utama pengembara maritim.

Ciri komunikasi bawah air berasaskan sonar membolehkan pengguna menghantar isyarat kepada rakan menyelam sehingga 30 meter, tanpa memerlukan peralatan tambahan.

Ia turut dilengkapi fungsi SOS bawah air yang menyokong jarak sehingga 60 meter, mempertingkatkan aspek keselamatan ketika menyelam.

Dari segi rekaan, WATCH Ultimate 2 menggunakan logam cecair berasaskan zirkonium, dilengkapi bezel seramik dwi-warna nanokristal dan kaca nilam, menjadikannya tahan lasak namun bergaya.

Mod Ekspedisi pula menyokong lebih 17,000 peta padang golf global, lengkap dengan fungsi zum, pelarasan jarak cerun dan ulangan trajektori, di samping sokongan peta luar talian dan navigasi pulang.

WATCH Ultimate 2 juga menampilkan teknologi gap antenna dan sistem penjejakan Sunflower untuk kestabilan sambungan walaupun di lokasi terpencil.

Ciri keselamatan lain termasuk pengesan jatuh, SOS kecemasan dan pemantauan altitud tinggi. Fungsi baharu X-TAP Fingertip Sensing bekerjasama dengan sistem TruSense dan Health Glance untuk menyediakan pemantauan kesihatan menyeluruh seperti ECG, tahap oksigen dalam darah dan banyak lagi.

Ketahanan bateri sehingga 11 hari memastikan pengguna kekal bersambung, selamat dan dimaklumkan walau di mana jua.

Pra-tempahan untuk HUAWEI WATCH Ultimate 2 juga dibuka dengan deposit hanya RM50, disertakan hadiah eksklusif bernilai sehingga RM1,305, termasuk HUAWEI FreeClip, perlindungan HUAWEI Care+ selama 2 tahun dan keahlian 3 bulan HUAWEI Health+.

Konsert Elite Live ’25, imbau kenangan awal kemunculan Elite

editormaxinfo@gmail.com

Foto Icon Entertainment

KUALA LUMPUR – Tampil menghidupkan semula pentas muzik tempatan menerusi konsert istimewa mereka, Elite Live ’25, Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) menjadi saksi kepada malam penuh kenangan apabila kumpulan wanita  Elite beraksi dipentas.

Disokong oleh penganjur Icon Entertainment, konsert ini bukan sekadar hiburan ia adalah perayaan terhadap bakat, perjuangan dan dedikasi sekumpulan artis wanita yang pernah menggegarkan industri muzik Malaysia sejak era kegemilangan KRU.

Membuka tirai dengan rangkaian tiga lagu yang menyentuh hati, suasana bertukar hening seolah-olah setiap bait lirik dan melodi membawa penonton kembali ke zaman kemuncak Elite.

Sorakan peminat, khususnya kepada penyanyi Abby, membuktikan bahawa kumpulan ini masih mempunyai tempat yang istimewa dalam hati peminat muzik tanah air.

Konsert ini tidak hadir tanpa cabaran. Selama hampir tiga bulan, anggota Elite bertungkus-lumus menjalani latihan intensif demi memastikan persembahan yang diberikan bukan sekadar memenuhi jangkaan, malah melebihi harapan.

Mereka sanggup mengorbankan masa rehat dan tidur demi mencipta momen yang benar-benar berkesan buat peminat yang telah setia menyokong sejak awal.

Sebagai kumpulan pertama yang dilahirkan di bawah label tersohor KRU Records, Elite telah melalui pembentukan artistik dan vokal secara sistematik sejak awal kemunculan.

Walaupun tidak semua pengasas KRU dapat hadir dengan Yusry terbabit dalam penggambaran dan Edry berada di Manchester, kehadiran Datuk Norman Abdul Halim memberikan sokongan moral yang besar dan memperlihatkan nilai kekeluargaan yang masih kukuh antara mereka.

Konsert dibahagikan kepada tiga segmen utama yang mempersembahkan rangkaian lagu seperti Ladiva, Merbahaya, Mengerti, Aku Siapa Kau Siapa dan Sesuatu Dalam Dirimu.

Segmen kedua memberi ruang kepada kolaborasi dinamik bersama kumpulan Alpha, termasuk duet menyentuh jiwa menerusi lagu Di Pintu Syurga, diikuti persembahan solo Alpha seperti Monalisa dan penghormatan istimewa kepada seniman legenda tanah air menerusi medley P. Ramlee & Saloma.

Kemuncak malam hadir dalam segmen ketiga yang membangkitkan semangat nostalgia, menampilkan medley rancak seperti Catwalk, Dirinya Dirimu Diriku dan Susah Jadi Senang.

Gabungan mantap Elite bersama kumpulan X Factor menerusi lagu Bertuah dan 7251364 menambah variasi serta tenaga kepada konsert ini.

Lagu-lagu penutup seperti Alhamdulillah, Trauma, GIG dan dua encore istimewa Tamparan Wanita dan Manisnya Senyuman Mu disampaikan penuh emosi dan semangat daripada Elite serta ribuan penonton yang hadir.

Di sebalik tirai persembahan, nama-nama besar turut menjayakan konsert ini dari belakang tabir. Johan John sebagai pengarah muzik mengetuai pasukan pemuzik hebat yang terdiri daripada Eddie Slam (keyboard), Reezal & Wan Gigi (gitar), Anep (bass), Daniel Saha (dram) serta Fareez sebagai programmer.

Vokal sokongan pula dikuatkan oleh Yuaz dan Eja, menjadikan keseluruhan produksi malam itu tampil padu, profesional dan menyentuh emosi.

Konsert Elite Live ’25 bukan sekadar pengembalian semula ke pentas ia adalah simbol kebangkitan semangat dan pengukuhan legasi kumpulan wanita yang pernah menjadi ikon generasi terdahulu.

Di tengah-tengah perubahan industri muzik, Elite membuktikan bahawa dengan kerja keras, keikhlasan dan cinta kepada seni, sebuah kumpulan lama masih mampu memberi impak besar dan terus mengukir kenangan baharu dalam sejarah muzik Malaysia.

Selangor sasar RM20 bilion dari ekonomi kreatif menjelang 2035

editormaxinfo@gmail.com

SHAH ALAM – Kerajaan Negeri Selangor terus memperkukuhkan peranannya sebagai peneraju dalam sektor ekonomi kreatif negara menerusi penganjuran Ekspo Ekonomi Kreatif Selangor 2025 (SCEE25).

Majlis yang berlangsung selama dua hari itu bukan sahaja menjadi platform penghargaan kepada pemain industri kreatif di negeri ini, tetapi juga ruang strategik bagi sesi libat urus bersama agensi, syarikat, serta penggiat industri kreatif dari pelbagai bidang termasuk animasi, permainan digital, seni persembahan, warisan budaya dan kraf tempatan.

EXCO Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor merangkap Pengerusi Jawatankuasa Tetap Ekonomi Kreatif Negeri Selangor; Mohd Najwan Halimi berkata, program dimulakan dengan sesi town hall, pelancaran dan lawatan rasmi DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Hajah Norashikin ke reruai pameran.

Pada hari kedua, keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor turut dijadualkan bagi menyerikan lagi majlis dan menyantuni usahawan kreatif yang hadir.

“Majlis ini menjadi pentas penting untuk memperkenalkan pelbagai pihak yang sebelum ini kurang mendapat pendedahan, khususnya perusahaan kecil dalam sektor kreatif di peringkat akar umbi.

“Penganjuran ini turut merangkumi sesi pitching, forum, serta perbincangan mendalam tentang hala tuju ekonomi kreatif negeri,” katanya selepas pelancaran program, hari ini.

Lebih signifikan, program ini menjadi medan awal kepada pelancaran rasmi Pelan Tindakan Strategik Ekonomi Kreatif Selangor yang dijadual berlangsung pada November 2025 bersempena dengan sidang Dewan Negeri Selangor.

Pelan ini digarap hasil kerjasama antara Unit Perancang Negeri (UPEN) dan Selangor Youth Community (SAY), serta membabitkan pelbagai agensi seperti pihak berkuasa tempatan (PBT), Jabatan Daerah dan Tanah, serta agensi peringkat persekutuan termasuk MDEC, MyCreative Ventures dan SAIDEC.

“Perancangan ini telah melalui proses yang rapi selama hampir dua tahun termasuk sesi perbincangan fokus bersama pemain industri.

“Kita mahu pastikan dasar ini benar-benar mencerminkan keperluan sebenar penggiat ekonomi kreatif di Selangor,” katanya.

Beliau berkata, pelan ini akan memfokuskan kepada tiga teras utama iaitu Multimedia dan Digital, Seni dan Budaya dan Warisan Budaya.

Ketiga-tiga segmen ini akan diteliti secara menyeluruh agar dapat memberi impak secara langsung kepada pembangunan ekonomi kreatif di peringkat komuniti, daerah dan negeri.

Kerajaan Negeri turut menyasarkan agar sektor ekonomi kreatif dapat menyumbang sehingga RM20 bilion kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Negeri Selangor menjelang tahun 2035, menjadikannya antara pemacu utama pertumbuhan ekonomi negeri dalam dekad akan datang.

Sebagai langkah permulaan, Kerajaan Negeri telah meluluskan dana awal sebanyak RM80,000 untuk menyokong penggiat kreatif yang terpilih dalam sesi pitching.

Di samping itu, beberapa program latihan dan pemberdayaan keusahawanan akan dilaksanakan bermula tahun hadapan, bagi meningkatkan kefahaman berkaitan pembangunan perniagaan serta strategi pasaran global.

“Fokus kita adalah untuk mendidik penggiat industri kreatif tentang realiti pasaran dan membantu mereka membawa produk tempatan ke pasaran eksport,” katanya.

Dana tambahan yang lebih signifikan dijangka diumumkan oleh Menteri Besar Selangor semasa pelancaran rasmi pelan tindakan ekonomi kreatif negeri pada bulan November nanti.

Kerajaan Negeri menyatakan sokongan penuh terhadap inisiatif Kerajaan Persekutuan dalam menjadikan ekonomi jingga sebagai salah satu pemacu ekonomi negara.

Pelan tindakan yang bakal dilancarkan ini turut mengambil rujukan daripada Dasar Ekonomi Kreatif Kebangsaan, namun disesuaikan dengan keperluan dan kekuatan setempat Negeri Selangor.

“Ini bukan dasar jangka pendek. Ini adalah pelan 10 tahun. Kita mahu ekonomi kreatif menjadi antara pemacu utama pembangunan Selangor dan seterusnya menyumbang kepada kemajuan negara secara keseluruhan,” katanya.

Muaz Emporium lancar Muaz Exclusive, raikan fesyen mewah mampu milik tempatan

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Dalam usaha mengukuhkan lagi kedudukan sebagai peneraju fesyen tempatan, Muaz Emporium melancarkan jenama terbaharunya, Muaz Exclusive, menerusi sebuah majlis gilang-gemilang yang berlangsung di Hotel Grand Hyatt, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Penubuhan Muaz Exclusive adalah satu langkah strategik dalam memperluaskan segmen pasaran jenama terbabit dengan menampilkan koleksi fesyen premium yang mampu dimiliki oleh rakyat Malaysia.

Majlis pelancaran turut diserikan dengan kehadiran dua ikon terkenal tanah air, Dato’ Aaron Aziz dan Siti Saleha, yang diumumkan sebagai duta rasmi jenama baharu ini.

Menurut wakil Muaz Emporium, pengenalan Muaz Exclusive adalah tanda penghargaan kepada pelanggan setia yang selama ini menyokong perjalanan jenama itu sejak ditubuhkan pada tahun 1993.

Dengan lebih 100 koleksi pakaian berkualiti tinggi yang bakal diperkenalkan tidak lama lagi, Muaz Exclusive menyasarkan untuk menawarkan gaya hidup fesyen mewah yang inklusif dan mampu diakses oleh semua lapisan masyarakat.

“Muaz Exclusive bukan untuk bersaing, tetapi untuk meraikan industri fesyen tempatan.

“Kami mahu rakyat Malaysia menikmati fesyen premium pada harga mampu milik,” kata wakil Muaz Emporium semasa pelancaran.

Jenama baharu ini bukan sahaja melambangkan evolusi Muaz dalam dunia fesyen, malah memperkukuh komitmen syarikat dalam menyokong pembangunan industri fesyen tempatan.

Dengan menjadikan dua selebriti terkenal sebagai wajah jenama, Muaz Emporium turut berhasrat memperluaskan pengaruh Muaz Exclusive ke pasaran lebih luas, termasuk pelanggan generasi muda yang mengutamakan gaya, kualiti dan nilai.

Sejak tiga dekad lalu, Muaz Emporium telah menjadi antara nama paling dipercayai dalam dunia fesyen tempatan, dengan menawarkan pelbagai rekaan moden dan tradisional yang sesuai untuk seisi keluarga.

Pelancaran Muaz Exclusive menandakan satu lagi pencapaian penting dalam misi syarikat untuk terus berkembang seiring dengan cita rasa pengguna masa kini yang semakin menuntut gaya elegan pada harga berpatutan.

Dengan pelancaran ini, Muaz Emporium sekali lagi membuktikan bahawa jenama tempatan mampu bersaing di peringkat lebih tinggi tanpa mengorbankan nilai, kualiti dan jati diri.

Muaz Exclusive kini bersedia untuk menjadi pilihan utama dalam landskap fesyen negara.

Ekspo Ekonomi Kreatif Selangor 2025 tawar peluang baharu untuk usahawan

editormaxinfo@gmail.com

PETALING JAYA – Selangor sekali lagi membuktikan komitmennya dalam mendepani masa depan ekonomi berasaskan kreativiti menerusi penganjuran Ekspo Ekonomi Kreatif Selangor 2025 (SCEE25) yang akan berlangsung esok, 23 hingga 24 September 2025 di Pusat Konvensyen MBSA, Shah Alam.

Majlis perasmian ekspo ini akan disempurnakan oleh DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Hajah Norashikin, sekaligus menandakan detik bersejarah dalam inisiatif Kerajaan Negeri memperkukuh ekosistem ekonomi kreatif yang mampan dan inklusif.

Ekspo bertemakan “Re:Imagine Selangor – Creativity is the New Economy” ini dianjurkan oleh Jawatankuasa Tetap Belia, Sukan dan Keusahawanan di bawah pimpinan YB Mohd Najwan Halimi, dengan kerjasama Selangor Youth Community (SAY) sebagai agensi pelaksana.

Ia selari dengan pelaksanaan Pelan Tindakan Ekonomi Kreatif Selangor 2025–2035, yang menyasarkan untuk menjadikan kreativiti sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi negeri.

Berbeza daripada pameran konvensional, SCEE25 tampil sebagai gerakan strategik untuk membina jaringan rentas sektor yang membabitkan kerajaan, pemain industri, pelabur, akademia, NGO dan golongan kreatif.

Najwan Halimi berkata, ekonomi kreatif tidak lagi sekadar nilai tambah, sebaliknya menjadi teras baharu dalam menjana peluang pekerjaan, pembangunan usahawan dan pertumbuhan ekonomi.

“Ekspo ini bukan sekadar acara ianya adalah komitmen untuk membayangkan semula masa depan Selangor.

“Kami menjemput orang ramai untuk hadir, meneroka pameran, menyertai forum, menyaksikan persembahan secara langsung dan menjadi sebahagian daripada gerakan yang meletakkan kreativiti di teras ekonomi kita,” katanya.

Ekspo ini akan berpusat sekitar empat teras utama di bawah konsep CRE8, yang dirangka untuk memperkasa industri kreatif Selangor iaitu;

1-CRE8Policy – Pentas diskusi dasar melalui sesi townhall, forum dan dialog berkaitan pembiayaan, pelesenan harta intelek (IP), dan pembangunan hab komuniti kreatif.

2-CRE8Fund – Pelancaran Dana Mikro Kreatif Selangor berjumlah RM80,000 sebagai suntikan pembiayaan awal kepada usahawan kreatif tempatan.

3-CRE8Stage – Pentas persembahan seni, sesi pitching, pameran dan pertunjukan yang menggabungkan elemen budaya dan nilai komersial.

4-CRE8Biz Xchange – Platform pemadanan perniagaan secara langsung antara usahawan, pelabur, agensi kerajaan dan jenama utama.

Industri ekonomi kreatif Selangor merangkumi tiga cabang utama iaitu seni budaya, seni multimedia dan seni warisan budaya.

Dengan perkembangan global yang menunjukkan ekonomi kreatif sebagai penyumbang besar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), ekspo ini menjadi landasan penting dalam menyokong visi negeri untuk menjana RM20 bilion output ekonomi kreatif menjelang 2035.

Antara matlamat utama penganjuran SCEE25 termasuklah:

-Mewujudkan peluang pelesenan, kerjasama jenama dan perniagaan baharu.

-Menyediakan akses kepada pelaburan dan pasaran kepada usahawan kreatif.

-Meningkatkan kesedaran masyarakat tentang potensi kreativiti sebagai alat penyatuan sosial, pembangunan ekonomi dan identiti negeri.

Orang ramai daripada pelbagai latar belakang termasuk pelajar, belia, usahawan dan pelabur dijemput hadir memeriahkan ekspo dua hari ini.

Kemasukan adalah percuma dan pendaftaran boleh dibuat secara dalam talian di laman rasmi selangorcreative.com.

Melalui SCEE25, Selangor mengorak langkah lebih jauh dalam membina sebuah negeri yang bukan sahaja berdaya saing dari segi ekonomi, tetapi juga kaya dengan nilai seni, budaya dan inovasi.

Ekspo ini bukan sahaja bakal memacu perubahan landskap industri kreatif tempatan, malah mengangkat Selangor sebagai peneraju ekonomi kreatif di rantau ini.

RIM perjelas isu anugerah ‘Lagu Paling Tinggi Distrim’ AIM24 dan kepentingan pendaftaran ISRC yang betul

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) tampil memberi penjelasan berhubung kategori ‘Lagu Paling Tinggi Distrim’ dalam Anugerah Industri Muzik ke-24 (AIM24) susulan kekeliruan orang ramai mengenai kriteria pemilihan pemenang, khususnya membabitkan lagu popular “Old Love” nyanyian Yuji dan Putri Dahlia.

Menurut kenyataan rasmi yang dikeluarkan RIM, pemenang bagi kategori ini ditentukan sepenuhnya berdasarkan data penstriman rasmi yang diterima daripada penyedia data pihak ketiga.

“Proses ini dikendalikan secara automatik, tanpa campur tangan manual, bagi memastikan ketelusan dan ketepatan data.

“Namun begitu, lagu “Old Love” yang mencatat jumlah strim luar biasa tidak tersenarai dalam Carta Domestik RIM carta mingguan rasmi yang menyenaraikan lagu-lagu tempatan paling tinggi distrim di Malaysia,” kata kenyataan itu.

Menurut RIM, ketiadaan lagu terbabit dalam carta bukan disebabkan oleh kekurangan jumlah strim, tetapi berpunca daripada isu teknikal berkaitan pendaftaran kod ISRC lagu berkenaan.

“Kod ISRC atau International Standard Recording Code ialah identifikasi unik dan kekal untuk setiap rakaman bunyi atau video muzik yang diterbitkan.

“Ia berfungsi sebagai “cap jari digital” yang membolehkan sistem menjejak jumlah penstriman, jualan dan pengiraan royalti secara tepat di semua platform digital global.

“Untuk lagu diklasifikasikan sebagai rakaman tempatan Malaysia dalam Carta Domestik RIM, kod ISRC bagi lagu terbabit mestilah didaftarkan dengan awalan negara “MY”,” kata kenyataan itu lagi.

Kod ini membolehkan sistem RIM mengenal pasti rakaman itu sebagai keluaran tempatan, sekali gus diambil kira dalam semua penilaian rasmi termasuk anugerah industri.

Dalam kes “Old Love”, lagu itu telah didaftarkan dengan tiga kod ISRC berlainan yang bermula dengan awalan luar negara seperti SE (Sweden), TL (Timor Leste) dan QZ (kod antarabangsa).

Oleh kerana tiada kod ISRC dengan awalan “MY” didaftarkan untuk lagu ini, sistem automatik gagal mengklasifikasikannya sebagai rakaman tempatan, menyebabkan ia tidak dimasukkan dalam Carta Domestik RIM dan tidak layak dipertimbangkan untuk kategori ‘Lagu Paling Tinggi Distrim’ AIM24.

RIM menegaskan isu ini bukan disebabkan kecuaian mana-mana pihak, tetapi lebih kepada ketidaktentuan teknikal yang berlaku semasa proses pendaftaran ISRC.

Dalam hal ini, RIM ingin mengingatkan bahawa pendaftaran ISRC dengan betul khususnya melalui RIM adalah amat penting bagi memastikan pengiktirafan kepada artis dan penerbit muzik tempatan dapat diberikan dengan adil dan tepat.

RIM turut menyeru semua pihak dalam industri muzik termasuk label, pengedar digital dan artis bebas agar lebih proaktif bekerjasama dengan RIM dalam proses pendaftaran kod ISRC, terutamanya bagi rakaman yang diterbitkan di Malaysia.

Langkah ini bukan sahaja menjamin kelayakan penyertaan dalam carta dan anugerah rasmi, tetapi juga memberi impak besar dalam mempromosikan dan mengangkat martabat muzik tempatan di peringkat nasional dan antarabangsa.

Dengan penjelasan ini, RIM berharap semua pihak memahami kepentingan proses pengurusan data dalam industri muzik moden yang semakin bergantung kepada teknologi digital.

Ketelusan, ketepatan data dan pendaftaran yang sah adalah asas kepada sebuah ekosistem muzik yang adil, mampan dan berdaya saing.

Canon perkenal PIXMA TR160: pencetak tanpa wayar kompak untuk usahawan dan freelancer

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Canon Marketing Malaysia (Canon) terus memperkukuh kedudukannya dalam pasaran pencetakan mudah alih dengan pelancaran model terbaharu, PIXMA TR160, sebuah pencetak tanpa wayar yang direka khas untuk profesional moden, usahawan dan golongan pekerja bebas yang sentiasa bergerak.

Meneruskan komitmen Canon dalam menggabungkan teknologi dengan gaya hidup masa kini, PIXMA TR160 menawarkan gabungan mobiliti, kemudahan penggunaan dan kualiti cetakan bertaraf profesional sekaligus menjadikannya alat penting untuk individu yang bekerja dari luar pejabat.

Reka Bentuk Kompak untuk Gaya Hidup Dinamik

PIXMA TR160 tampil dengan reka bentuk padat dan ringan, dengan berat kurang daripada 2 kilogram serta dimensi yang membolehkan ia disimpan dengan mudah dalam beg bimbit atau beg kabin.

Ini menjadikan pencetak ini ideal untuk mereka yang sering bertugas di luar pejabat, berpindah dari satu lokasi ke lokasi lain, atau mengamalkan gaya kerja fleksibel.

Ia turut dilengkapi dengan paparan OLED bersaiz 1.44 inci, membolehkan pengguna menyemak status sambungan Wi-Fi, tahap bateri dan menetapkan arahan cetakan dengan lebih mudah dan pantas walau di mana sahaja mereka berada.

Prestasi Tinggi dan Ciri Pintar untuk Produktiviti Maksimum

PIXMA TR160 bukan sekadar pencetak mudah alih biasa. Ia hadir dengan storan memori terbina yang mampu menyimpan sehingga lima templat dokumen kerap digunakan.

Fungsi ini membolehkan cetakan dokumen seperti borang, helaian data atau invois dilakukan secara langsung tanpa perlu disambungkan kepada peranti pintar atau komputer riba.

Lebih menarik, sistem dakwat hibrid 5 warna yang digunakan gabungan dakwat pigmen dan pewarna menjamin hasil cetakan teks yang jelas dan grafik yang terang.

Pengguna boleh mencetak bahan pembentangan atau helaian muka depan bersaiz A4 dengan kualiti yang konsisten dan profesional.

Sokongan Dwi Pengecasan dan Hayat Bateri Cekap

Menepati keperluan mobiliti masa kini, PIXMA TR160 menyokong pengecasan melalui penyesuai AC dan port USB-C.

Dengan hanya 10 minit pengecasan menggunakan penyesuai AC, pengguna boleh mencetak sehingga 36 muka surat, menjadikan pencetak ini rakan kerja yang sentiasa bersedia walau di mana anda berada dari mesyuarat ke mesyuarat atau ketika dalam perjalanan antara bandar.

Cetakan Selamat & Sambungan Fleksibel

Isu keselamatan data dalam persekitaran kerja moden turut diberi perhatian. PIXMA TR160 menyokong sambungan Wi-Fi dwi-jalur (2.4GHz dan 5GHz) serta penyulitan TLS 1.3 untuk memastikan keselamatan data semasa pencetakan tanpa wayar.

Selain itu, pengguna juga boleh mencetak terus dari peranti mudah alih melalui aplikasi Canon PRINT atau menggunakan platform awan tanpa memerlukan sambungan kepada penghala (router) atau komputer.

Harga dan Ketersediaan

Canon PIXMA TR160 akan ditawarkan pada harga RM1,590 dan boleh didapati tidak lama lagi menerusi semua pengedar sah Canon di seluruh negara serta di gedung rasmi Canon Malaysia.

Dengan ciri-ciri inovatif yang mengutamakan kemudahan, keselamatan dan kualiti cetakan, PIXMA TR160 dijangka menjadi pelengkap utama kepada tenaga kerja digital dan mudah alih di Malaysia.

Khadam: filem seram Malaysia-Indonesia papar keibuan, warisan dan saka

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Sebuah filem seram baharu yang menjanjikan pengalaman sinematik penuh ketegangan bakal menggamit pawagam tanah air dan rantau ini.

Diberi judul Khadam, karya ini adalah kolaborasi strategik antara dua syarikat produksi terkemuka Malaysia, Red Communications dan Komet Productions, yang berganding bahu untuk mempersembahkan sebuah naskhah berlatarkan Malaysia era 1950-an.

Khadam menampilkan barisan pelakon utama bertaraf bintang aktor prolifik Datuk Remy Ishak, pelakon muda berbakat besar Siti Khadijah Halim, serta pelakon tersohor Indonesia, Aghniny Haque, yang dikenali ramai menerusi filem seram popular seperti KKN Desa Penari dan Pemandi Jenazah.

Dengan reputasi sebagai “Ratu Seram Indonesia”, kemunculan Aghniny dalam Khadam dijangka menjadi tarikan utama di peringkat serantau.

Filem ini menandakan langkah berani Red Communications dalam menerokai genre seram selepas kejayaan mereka dalam naskhah ikonik seperti Istanbul Aku Datang, Kami The Movie, dan Songlap.

Manakala Komet Productions pula terus mengukuhkan kedudukannya sebagai penerbit kandungan serantau yang dipercayai, dengan pengalaman sebagai penerbit eksekutif untuk projek besar seperti Ejen Ali The Movie 2, Blood Brothers Bara Naga dan Siksa Kubur.

Mendapat sokongan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), projek ini turut menarik perhatian pelabur antarabangsa seperti Sil Metropole dari Hong Kong dan Applause Entertainment dari India satu petanda jelas terhadap minat global terhadap filem Asia Tenggara yang mengangkat unsur budaya tempatan.

Khadam diarahkan oleh Shamyl Othman, yang sebelum ini mengarahkan filem seram pecah panggung Rahsia, dan ditulis oleh Fariza Azlina Isahak, penulis skrip disegani yang terkenal dengan karya-karya pemenang anugerah seperti Songlap dan Kami The Movie.

Gabungan ini dijangka menghasilkan sebuah naskhah yang bukan sahaja menyeramkan, tetapi turut menyentuh sisi emosi dan kemanusiaan.

Kisah filem ini berkisar tentang Melor, seorang wanita yang selepas kematian ibunya, terpaksa mewarisi saka keluarga suatu pusaka ghaib yang penuh dengan misteri dan kekuatan gelap.

Dalam usahanya untuk membebaskan diri, Melor mendapati dirinya terperangkap dalam pertarungan antara warisan lama dan masa depan anak perempuannya yang kini berisiko mewarisi entiti terbabit.

Pertarungan ini bukan sahaja fizikal, malah batin, kerana Melor berdepan dilema antara naluri keibuan dan takdir turun-temurun yang menghantui keluarganya.

Namun, Khadam bukan sekadar kisah hantu atau seram semata-mata. Ia mengangkat tema berat seperti pengorbanan seorang ibu, tekanan sosial terhadap wanita, serta warisan budaya yang sering menjadi beban generasi baharu.

Ia menyentuh persoalan besar sejauh mana seorang ibu sanggup berjuang untuk melindungi anaknya walaupun daripada ‘darah daging’ sendiri.

Turut membintangi filem ini ialah pelakon berpengalaman Jun Lojong serta dua pelakon kanak-kanak berbakat, adik-beradik Zarra Zhaff dan Karl’El.

Dengan penggambaran dijadualkan bermula pertengahan September 2025, Khadam dijangka menemui penonton di pawagam seluruh negara serta beberapa pasaran serantau pada tahun 2026.

Projek ini tidak hanya memperlihatkan kerjasama rentas produksi, tetapi juga menjadi contoh bagaimana industri kreatif tempatan mampu menghasilkan karya berimpak tinggi dengan nilai komersial dan kebudayaan yang seimbang.

Penampilan pelakon Indonesia dalam sebuah produksi Malaysia juga membuka peluang perluasan pasaran ke negara jiran serta pengukuhan hubungan sinematik antara dua negara.

Dengan gabungan kekuatan cerita, barisan pelakon ternama dan elemen seram yang bersandarkan warisan budaya tempatan, Khadam dijangka mencipta fenomena baharu dalam sinema seram Asia Tenggara.