29 C
Kuala Lumpur
Wednesday, April 15, 2026
Home Blog Page 259

Kedamaian Tasik Agro Darau gamit pengunjung bertandang

KEDAMAIAN alam semula jadi di Tasik Agro Darau, Hulu Besut dengan berlatarbelakangkan pemandangan indah jajaran Banjaran Titiwangsa mampu memukau mata sesiapa sahaja yang melihatnya.

Menyedari keindahan panorama alam itu mampu memikat jiwa pengunjung, apabila memijakkan kaki ke Taman Rekreasi Agro Darau bernilai RM15 juta diwujudkan sebagai salah satu lokasi ekopelancongan terbaharu di daerah Besut, Terengganu.

Terletak kira-kira 103 kilometer (km) dari Kuala Terengganu dan 8.8 km dari bandar Jertih menjadi salah satu destinasi terbaik pilihan pengunjung

Taman  berkeluasan 4.2 hektar itu mula dibina pada 2017 dan berjaya disiapkan pada November 2021 sebelum dibuka secara rasmi pada Jun lalu.

Memiliki kemudahan menara tinjau, taman permainan dan gimnasium luar, selain turut menempatkan gelanggang petanque serta jeti.

Lebih menarik, ia juga mempunyai agro bazar dengan menampilkan 18 gerai menjual pelbagai jenis produk, restoran terapung menyediakan hidangan ala Thai serta dua restoran menawarkan sajian makanan berlainan iaitu ‘shellout’ serta makanan tempatan.

Pengurusnya, Shaaban Imran Mohd Salleh, berkata taman rekreasi milik Majlis Daerah Besut (MDB) itu disewakan secara pajakan dalam tempoh 12 tahun kepada Koperasi Keluarga Haji Mustafa Sulong Besut Berhad (Kohafas) untuk diuruskan.

“Selain kemudahan sedia ada, kami turut menambah beberapa aktiviti sukan air seperti

menelusuri tasik dengan menaiki rumah bot Kohafas Cruise yang bergerak menggunakan enjin bot serta 50 biji tong untuk terapung.

“Antara sukan air lain ditawarkan seperti paddle boat, water bike dengan kadar sewa berpatutan antara RM15 hingga RM35 mengikut tempoh masa ditetapkan.

“Setiap pengunjung yang melakukan aktiviti air diwajibkan memakai jaket keselamatan,” katanya.

Beberapa aktiviti lain turut diadakan seperti permainan ‘supa dupa’, perkhidmatan kereta mainan elektrik, ebike, kereta mainan elektrik, petting zoo, selain sewaan bilik seminar dan bilik mesyuarat.

“Setakat ini, kami menjalankan usahasama dengan Institut Koperasi Malaysia (IKMa) yang akan mengadakan pelbagai kursus koperasi di sini bermula November ini.

“Ia juga dijadikan lokasi penganjuran Jelajah Genta Belia peringkat Daerah Besut dengan menawarkan pelbagai aktiviti termasuk peluang kerjaya,” katanya.

Pelbagai perancangan jangka panjang akan dilakukan untuk memajukan kawasan itu.

“Kami dalam perancangan menjenamakan semula Taman Rekreasi Agro Darau kepada Taman Kohafas Agro Darau secara berperingkat.

“Antara beberapa perancangan terdekat akan membina resort terapung berkonsepkan satu rakit mempunyai dua buah chalet, kedai terapung bagi memudahkan pengunjung melakukan aktiviti air membeli ketika berada atas air,” katanya.

Juga memajukan sebuah pulau dikenali Pulau Semangat berada di tengah tasik dulu pernah dijadikan lokasi Kem Bina Semangat sebelum terbengkalai sejak tahun 2000.

“Laluan melalui jalan tasik dan darat akan disediakan kepada pengunjung ingin memancing di kolam pancing ikan masin Kohafas bersebelahan tasik.

“Kawasan kolam pancing itu akan dijadikan kawasan tapak kem bagi aktiviti sukan lasak termasuk menunggang ATV dalam hutan,” katanya.

Pihaknya berharap Taman Rekreasi Agro Darau akan menjadi antara pilihan utama pelancong ke Hulu Besut selain Hutan Lipur Lata Tembakah, Lata Kolam Air Deru Ecopark serta Taman.

Justeru, Hulu Besut berpotensi menjadi kawasan pelancongan berantai dengan keunikan flora fauna, keindahan air terjun serta menjadi tumpuan penggemar durian.

Pengunjung, Syariatul Syafira Mohd Dera, 32, bersama suami Ahmad Syariefuddin Hashim, 30, sanggup datang dari Batu Rakit, Kuala Terengganu untuk merasai pengalaman menaiki Kohafas Cruise.

“Saya tahu mengenai tempat ini melalui Facebook kebetulan ada urusan di kawasan ini jadi saya bawa keluarga bersiar-siar di sini.

“Pengalaman menaiki Kohafas Cruise amat menyeronokkan, kami disajikan dengan pemandangan alam semula jadi yang indah, bersantai bersama keluarga dapat menghilangkan tekanan kerja,” katanya.

Pengunjung, Efarini Yaakob, 40, dari Kampung Lubuk Kawah, berkata, dia mengambil peluang menaiki paddle boat.

“Seronok selain boleh meluangkan masa bersama anak-anak saya boleh melakukan aktiviti bersukan dalam air,” katanya. -Berita Harian

Kerajaan tidak benarkan rumah kos rendah di Pulau Pinang disewa

GEORGE TOWN – Pulau Pinang tidak membenarkan Rumah Mampu Milik (RMM) kos rendah dan sederhana (RMMA dan RMMB) disewakan sama ada kepada warga asing atau tempatan.

Pengerusi Perumahan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Seri S.Sundarajoo berkata, ia diputuskan baru-baru ini memandangkan terdapat keperluan untuk mengawal ketat rumah kos rendah dan sederhana yang telah mendapat subsidi kerajaan daripada disalahgunakan termasuk disewakan atau dijadikan asrama pekerja.

“Penting kepada pihak berkuasa untuk lebih ketat dalam mengawal unit-unit bersubsidi tinggi seperti rumah RMMA dan RMMB daripada disalah guna termasuk disewakan, malah dijadikan asrama pekerja.

“Saya sedang menyiapkan kertas kerja untuk dibentangkan dalam mesyuarat Exco kerajaan negeri mengenai tindakan penguatkuasaan sewajarnya yang perlu diambil.

“Ia sangat mudah, adakah kita akan membenarkan begitu ramai warga asing atau pekerja asing tinggal dalam kalangan kita? Itu tidak sihat.

“Ini juga termasuk unit yang disewakan kepada penduduk tempatan dan kita akan menghalang pemilik rumah kos rendah dan sederhana ini daripada menyewakan unit mereka kerana mereka mendapat subsidi yang besar,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Simposium Perumahan Negeri-negeri 2023, yang berlangsung dua hari  di George Town, Pulau Pinang, bermula hari ini.

Sundarajoo berkata, langkah pemulihan atau pemutihan perlu dilakukan terhadap unit yang telah lama dijadikan asrama pekerja agar lebih teratur dan terkawal selain pada masa sama isu legasi seperti semakan silang pemilikan hartanah antara negeri juga perlu diwujudkan untuk saringan yang lebih luas.

Katanya, ada dalam kalangan pemilik rumah kos rendah dan sederhana menyewakan rumah atau unit kediaman mereka kepada kilang dengan kadar RM1,000 sebulan dan mencari tempat tinggal lain dengan bayaran RM500 sebulan.

“Itu bukan tujuan kami membina unit kos rendah dan sederhana, malah sebenarnya kita juga boleh mengambil semula unit ini dan memberikannya kepada mereka yang lebih layak,” katanya.

Sementara itu, Sundarajoo berkata, pemaju yang memaksa pembeli skim RMM kerajaan negeri untuk mendaftar bagi ‘pakej pengubahsuaian’ pemaju untuk menaikkan harga, akan berdepan tindakan senarai hitam.

Katanya, beliau menyedari terdapat kes sedemikian dan turut menerima aduan bahawa pemaju meminta pembeli mengambil pakej pengubahsuaian terbabit, namun sebenarnya pembeli mempunyai hak untuk menolaknya.

“Pemaju tidak sepatutnya melakukan perkara ini iaitu memaksa pembeli kerana mereka harus berpegang pada harga yang diberikan kerajaan negeri.

“Kami tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap pemaju sedemikian, termasuk menyenaraihitamkan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Naib Pengerusi Parti Rakyat Malaysia (PRM) Pulau Pinang, Ravinder Singh yang dilaporkan berkata pihaknya menerima aduan terdapat pemaju enggan menjual pada harga tawaran dan memaksa pembeli mengambil ‘pakej pengubahsuaian’ yang lebih mahal.

Mahu beri sokongan dan ruang, AC Gas minta Suria FM bawa bakat baharu

KUALA LUMPUR – Mahu memberi peluang dan sokongan kepada bakat baharu industri muzik tempatan antara faktor utama mereka menjadi pilihan untuk beraksi dalam konsert yang dianjurkan.

Perkara itu dinyatakan oleh orang kuat syarikat pengeluar LPG, AC Gas yang menjadi penaja konsert SuriaVolusi pada bulan ini.

Ketua Pegawai Eksekutif AC Gas Nik Mohd Fareez Nik Ahmad Azman berkata, mereka membuat permintaan itu kepada stesen radio Suria FM kerana faham susah payahnya bagi orang baharu memulakan langkah sebelum berjaya.

“Kami pernah melalui fasa mencabar ketika masih baharu memulukan perniagaan sekitar 2016 termasuk berdepan dengan pandemik Covid-19.

“Saya tahu, sebagai orang baharu juga ramai yang belum percaya dengan kebolehan kita dan tidak tahu apa yang kita mampu lakukan,” katanya dalam sidang media sempena konsert SuriaVolusi anjuran Suria FM baru-baru ini.

Lantaran itu, Nik Mohd Fareez berkata pihaknya meminta Suria FM supaya memilih bakat baharu di samping bintang otai dalam konsert yang bakal diadakan di dua lokasi iaitu Petaling Jaya dan Kota Bharu.

Baginya, anak muda yang mahu memulakan tapak dalam industri muzik perlu diberikan sokongan dan ruang supaya mereka lebih menyerlah.

“Seperti AC Gas juga ketika mahu memulakan tapak ada yang sangsi dengan kami namun setelah diberikan kepercayaan kami semakin dikenali dan menjadi pilihan pengguna.

“Alhamdulillah kami sudah mempunyai 65 wakil sah berdaftar di seluruh Malaysia dan menggeluarkan 90,000 tong gas baharu sebulan melalui kilang kami di Meru,” katanya.

Pengurus Besar Suria FM DJ Lin turut menyambut baik permintaan AC Gas itu dan mengakui stesen radio berkenaan turut mempunyai pendirian yang sama.

Dia berkata, Suria FM sentiasa memberikan peluang kepada artis baharu meskipun mereka belum menempa nama sehinggalah sudah dikenali.

“Di Suria FM kami tidak pernah pilih bulu. Semua penyanyi kami layan sama rata dan menyediakan peluang untuk mengetengahkan karya mereka.

“Ini termasuk dalam setiap acara dan konsert kami seperti siri jelajah sebelum ini yang sentiasa membabitkan bakat baharu, artis muda dan senior,” katanya.

SuriaVolusi yang dipersembahkan oleh Suria FM dan AC Gas, bakal berlangsung pada 21 dan 28 Oktober ini masing-masing di The Curve, Petaling Jaya serta di KB Mall, Kota Bharu Kelantan.

Antara barisan artis popular  yang terlibat ialah seperti Azlan and The Typewriter, Khai Bahar, Adira, Aris Ariwatan, Baby Shima, Floor 88, Kristal X, Aju Success, Halim Yazid & Dikir Barat dan Renggo Arrow.

Manakala barisan bakat baharu yang turut menjadi pilihan ialah Alyssa Dezek, Xone, Chaca Tisha, Aidilia Hilda, Killa Driz, Siqma X Razzuan, Shafiq Abdillah dan Asraf Nasir

Mengulas lanjut, Nik Mohd Fareez berkata, AC Gas berminat untuk menaja konsert SuriaVolusi kerana kesan positif selepas beberapa kali menyertai program anjuran Suria FM.

Akuinya, stesen radio itu membantu jenama syarikatnya AC Gas dikenali termasuk membabitkan peningkatan dari segi jualan.

“Kami sudah bersama Suria FM dalam banyak program sebelum ini dan terbukti memberikan impak yang baik kepada AC Gas dan kami percaya dengan kemampuan mereka membantu meluaskan perniagaan kami.

“Lebih menarik, kami juga bakal muncul dengan satu projek mega bersama Suria FM bagi tahun 2024 yang belum pernah dilakukan sebelum ini,” katanya.

AC Gas juga bakal berkongsi rezeki dengan pengunjung di dua lokasi konsert SuriaVolusi membabitkan hadiah bernilai RM50,000 termasuk wang tunai.

Kota Bharu juga menjadi pilihan kerana ia menjadi lokasi penubuhan syarikat itu dan AC Gas mula menapak.

Perayaan Peranakan tonjol keunikan budaya masyarakat

KUALA LUMPUR – Persatuan Modern Baba Nyonya menganjurkan Perayaan Peranakan bagi memberi peluang orang ramai merasai keunikan budaya masyarakat tersebut yang akan berlangsung pada 21 dan 22 Oktober ini.

Acara yang berlangsung di Summit USJ, Subang itu bertujuan untuk mempamerkan ciri khas kaum Peranakan melalui hidangan dan pakaian tradisional.

Penasihat kepada penganjur Perayaan Peranakan 2023 yang juga Presiden Persatuan Peragawati dan Peragawan Fesyen Malaysia (MFMPA), Dr Jason Hee, berkata Perayaan Peranakan berperanan sebagai perayaan yang meningkatkan semangat terhadap warisan budaya negara ini.

“Ia adalah saat istimewa yang mana kita, sebagai komuniti dan negara, bersatu untuk menghargai dan memberi penghormatan kepada budaya kaum Peranakan ini sebagai sebahagian daripada identiti Malaysia kita.

“Festival ini adalah satu peringatan yang indah mengenai perpaduan harmoni tradisi dan adat yang menentukan kepelbagaian dan daya tarikan negara kita,” katanya dalam satu kenyataan.

Perayaan Peranakan Festival biasanya diraikan di beberapa negeri di seluruh negara, termasuk Pulau Pinang, Melaka dan Terengganu, selain turut disambut secara meluas di Thailand dan Singapura.

Istilah peranakan merangkumi komuniti Cina yang dilahirkan di Selat di Singapura dan Malaysia, yang terdiri daripada individu yang lahir di kawasan bekas Penempatan Selat (Singapura, Pulau Pinang dan Melaka) atau bekas British Malaya (kini Semenanjung Malaysia).

Komuniti minoriti Cina ini sering dikenali sebagai ‘Cina Selat’, secara utamanya dikenali dengan komponen yang paling besar dan berpengaruh, iaitu ‘Cina Peranakan’.

Menerusi festival dua hari yang bermula dari jam 10 pagi hingga 10 malam itu, pengunjung akan disajikan dengan pelbagai aktiviti, antaranya demonstrasi hidangan Peranakan secara langsung, pameran galeri, persembahan dan pelbagai aktiviti menarik yang mampu menghimpunkan masyarakat pelbagai bangsa.

Pengunjung boleh menjelajah pelbagai aktiviti menarik di festival berkenaan termasuk gerai jualan yang menampilkan barangan Peranakan yang dihasilkan dengan teliti. 

Shell batal rancangan tutup 34 stesen minyak di Sabah

KOTA KINABALU – Shell membatalkan rancangannya untuk menutup 34 stesen minyak di Sabah menjelang Januari tahun depan. Ia susulan siri perbincangan dengan kerajaan negeri itu.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kerajaan negeri mengalu-alukan berita baik itu.
“Kami telah bawa isu ini ke perhatian kerajaan Persekutuan, kami hargai cakna dan keprihatinan kerajaan Persekutuan terhadap situasi di Sabah,” katanya dalam satu kenyataan.
Kenyataan itu dikeluarkan susulan daripada pengumuman Shell mengenai rancangan penutupan stesen itu pada Jun lalu.

Berikutan itu, Hajiji telah bertemu dengan Pengerusi Shell Malaysia, Siti Hurrairah Sulaiman untuk membincangkan perkara berkenaan.

Sebelum ini, dilaporkan 35 stesen minyak di Sabah dan Labuan di bawah Shell Timur Sdn Bhd akan ditutup menjelang Januari tahun depan.

Pelajar cipta aiskrim daripada plastik kitar semula

CHICAGO – Seorang pelajar di United Kingdom (UK) mendakwa menjadi individu pertama membuat aiskrim perisa vanila daripada plastik kitar semula.

Oddity Central melaporkan, rasa aiskrim itu dikatakan seperti aiskrim berperisa vanila biasa.

Pembuatan aiskrim itu sebahagian daripada projek tahun akhir seorang pelajar Central Saint Martins Design School, sekolah seni dan rekaan, di London. 

Pelajar itu, Eleonora Ortolani mahu melakukan sesuatu yang tidak pernah dilakukan oleh individu lain sebelum ini.

Projek bertajuk Guilty Flavours itu diilhamkan oleh kekecewaan pereka muda itu mengenai plastik kitar semula.

Lazimnya, ia dijadikan produk yang tidak boleh dikitar semula lagi, kerana dicampur dengan resin atau bahan lain, yang hanya memburukkan lagi masalah sampah plastik.

Selepas mengetahui spesies cacing yang boleh mencerna beg plastik, Ortolani mula tertanya-tanya sama ada ada cara manusia boleh makan plastik dan mengurai serta menghapuskannya untuk selamanya.

“Saya tidak pernah membayangkan saya sebenarnya boleh membuat makanan daripada plastik.

“Sukar bagi saya untuk mencari seorang saintis yang benar-benar berminat untuk bekerja dengan saya mengenai idea ini,” kata Ortolani kepada Majalah Dezeen.

Akhirnya, Ortolani menemui saintis makanan dan penyelidik dari Universiti Metropolitan London, Joanna Sadler yang membantunya mensintesis vanillin sintetik daripada plastik.

Vanillin adalah perasa makanan biasa dijual di pasar raya dan digunakan sebagai alternatif yang lebih murah kepada vanila.

Ia dihasilkan daripada bahan mentah yang sama seperti plastik minyak mentah.

Apa yang mereka perlukan hanyalah enzim untuk memecahkan ikatan kuat antara molekul dalam struktur plastik, dan satu lagi untuk mensintesis molekul ini menjadi vanillin.

Ketika enzim pertama memecahkan rantaian molekul itu, ia bukan lagi plastik atau polimer. -Agensi

MIE mahu lahirkan lebih ramai pendidik profesional

PUTRAJAYA – Sedar akan ramainya pendidik di Malaysia yang kadang kala dipandang sepi, Anugerah Pendidik Paling Berpengaruh Malaysia 2023 (MIE) mengambil inisiatif memberi pengiktirafan kepada mereka.

Anugerah yang dianjurkan oleh Majlis Tindakan Pengguna Negara (MTPN) itu telahpun mengiktiraf sebanyak 585 pendidik daripada pelbagai kategori sejak tahun 2022.

Pengerusi MIE, Tiffany Tan Tian Yee berkata, MIE ditubuhkan dengan tujuan memberi penghargaan terhadap individu yang cemerlang dalam bidang pendidikan malah ada yang telah mencapai kejayaan luar biasa.

Katanya, setiap penerima anugerah dinilai berdasarkan kepada kecekapan, kebijaksanaan, bakat serta memperlihatkan pengetahuan dan kemahiran yang tinggi dalam bidang pendidikan masing-masing.

“Ini adalah MIE yang kali kelima diadakan dan untuk penerima anugerah 2022/2023, sebuah buku biografi bakal diterbitkan untuk semua pendidik yang dinominasi berjudul ‘Biografi Pendidik Berpengaruh Malaysia 2022/2023.

“Biografi ini akan dikeluarkan selewatnya akhir tahun ini. Menerusi biografi ini kita akan memperkenalkan kepada masyarakat barisan pendidik yang cemerlang dalam kategori masing-masing,” katanya pada majlis penyampaian MIE yang diadakan di sebuah hotel di Putrajaya, baru-baru ini.

Hadir sama Ketua Penolong Setiausaha Kanan, Bahagian Perancangan Strategik dan Hubungan Antarabangsa, Kementerian Pendidikan Malaysia, Heizrul Ali dan Presiden Majlis Tindakan Pengguna Negara, Datuk Paduka Dr Kevy KY Yeo.

Dalam pada itu, Tan berkata, dengan adanya MIE diharap dapat melahirkan lebih ramai lagi pendidik profesional yang mampu memberi sumbagan kepada masyarakat.

“Tidak sekadar memberi ilmu kami yakin tugas mereka sebagai pendidik yang kaya dengan pengalaman mampu mendorong dan memberi inspirasi kepada pelajar untuk merancang haluan kerjaya serta berkongsi cabaran sebenar dunia pekerjaan.

“Kami juga yakin pendidik atau mentor ini turut memainkan peranan yang penting sebagai panduan dalam membentuk laluan kerjaya pelajar,” katanya.

Tan berkata, diharapkan keprihatian guru tidak hanya terhenti pada pembangunan kerjaya sahaya tetapi membabitkan kesihatan mental, kepuasan kerjaya dan sokongan emosi pelajar.

“MIE bukan sekadar mengiktiraf pendidik berpengalaman, mereka yang baru menceburkan diri dalam dunia pendidikan juga berpeluang menjadi salah seorang penerima anugerah ini.

“Tiada had untuk pendidik dalam menerima anugerah ini, tidak kira baru atau sudah lama mereka layak selagi masih bergelar pendidik.

“MIE adalah platform untuk semua golongan pendidik mengetengahkan bakat dan sumbangan mereka kepada masyarakat.

“Semua pendidik termasuklah guru silat, kebudayaan, pusat bahasa dan sesiapa sahaja berkenaan dijemput untuk menyertai dan diiktiraf oleh MIE,” katanya lagi. 

Hameediyah Bukit Bintang perkenal konsep ‘bistro premium’

KUALA LUMPUR – Terkenal dengan menu nasi kandar kuah banjir, restoran Hameediyah yang cukup popular di Pulau Pinang terus menaik taraf kualiti restoran dan makanan mereka.

Dengan pembukaan cawangan terbaharu di Bukit Bintang, Kuala Lumpur, daripada konsep klasik kali ini ia dinaik taraf kepada konsep bistro yang lebih elegan dan menarik.

Pembukaan cawangan kelima itu dilihat lebih premium dan dekorasi setiap tingkat juga berbeza.

Pemilik restoran Hameediyah, Muhammad Riyaaz Syed Ibrahim berkata, konsep ini dibawa bersesuaian dengan lokasinya yang terletak di tengah bandar dan dipenuhi dengan orang ramai terutamanya pelancong.

“Di sini, kami menawarkan pelbagai kelainan kepada pengunjung kerana kebanyakan mereka yang datang adalah dalam kalangan pelancong.

“Kita mahu pelancong lihat sendiri bagaimana cara orang dulu berniaga nasi kandar. Dengan penampilan pekerja memakai kain pelikat dan baju-T pagoda serta bertali pinggang hijau ‘umrah’, ini adalah pakaian orang lama yang cuba kami bawakan di restoran ini.

“Ia sebagai mengimbau kenangan restoran ini di awal pembukaannya dahulu,” katanya ketika ditemui pada majlis pengenalan restoran berkenaan kepada media, baru-baru ini.

Hadir sama pada majlis itu, Datuk Seri Vida yang juga pelanggan setia restoran berkenaan.

Muhammad Riyaaz adalah Pengarah Hameediyah Sdn Bhd yang juga adalah generasi ketujuh dari pelopor restoran ini.

Restoran empat tingkat itu memberi pelanggan pilihan untuk duduk di mana-mana sahaja sama ada bistro di tingkat 1 dengan suasana mamak atau galeri yang berada di tingkat 2.

“Jika berada di galeri, terasa seperti sedang makan dalam muzium kerana kami ada meletakkan koleksi barangan asal datuk dan nenek saya dulu berniaga.

“Kami pamerkan di ruang ini untuk dilihat oleh pelanggan sambil menikmati hidangan mereka.

“Selain itu, dinding-dinding juga kami hias cantik dengan lukisan kenangan mereka ketika berniaga dulu.

“Sambil makan sambil dapat tahu sejarah asal Hameediyah,” katanya.

Beliau berkata, dua lagi tingkat restoran ini akan beroperasi tidak lama lagi dengan berkonsepkan ’fine dining’ dan juga roof top. 

“Nasi kandar atau beriani, semuanya masih sama, cuma dalam suasana berbeza. Anda kena cuba sendiri datang dan makan di sini,” katanya.

Katanya, menu-menu di sini masih mengekalkan keaslian dari negeri Pulau Mutiara namun ada beberapa menu baharu diperkenalkan sebagai signature baharu buat Hameediyah.

Antaranya rendang ayam, kari itik, lamb shank dan ayam turki (piru). Tidak ketinggalan menu sotong viral, ayam bawang, ketam serta mi goreng antara menu yang sering mendapat perhatian ramai.

Restoran Hameediyah Multi Concept Bukit Bintang turut dibuka untuk sebarang acara atau majlis keramaian.

Beroperasi setiap hari dari jam 10 pagi hingga 10 malam dan 11 malam untuk Sabtu dan Ahad, restoran ini juga sangat dekat dengan stesen MRT Bukit Bintang.

DXN angkat herba tempatan ke pasaran antarabangsa

CYBERJAYA – Pengeluar produk makanan kesihatan DXN menggunakan herba tradisonal tempatan dalam penghasilan produk keluarannya sehingga mendapat tempat ke pasaran antarabangsa.

Boleh dikatakan, semua produk DXN 90 peratus adalah dirumus daripada herba dan tumbuhan tempatan.

Pengasasnya, Datuk Lim Siow Jin berkata, sebagai contoh ialah herba yang dikenali sebagai hempedu bumi dan nama saintifiknya Andrographis.

Katanya, herba itu terkenal dalam kalangan pengamal perubatan tradisional Cina, Ayurveda dan Greek.

“Andrographis paniculata amat dikenali dan digunakan secara meluas dalam perubatan traditional.

“Oleh itu, ia dipilih untuk dirumus sebagai salah satu suplemen kesihatan dan pemakanan DXN,” katanya ketika ditemui pada sesi temubual bersama media baru-baru ini.

Beliau berkata, antara khasiat hempedu bumi ialah herba itu mengandungi komponen bioaktif (seperti andrographolide dan neoandrographolide) yang boleh membantu melegakan haba badan dan menggalakkan kesihatan respiratori.

“Sebagai contoh produk DXN Andro G digunakan untuk melegakan kepanasan dalam badan seperti produk indikasi yang diluluskan oleh NPRA (MAL 19973096T) dan mendapat keluluskan MAB (Lembaga Iklan Ubat).

Lim berkata, DXN juga menjalankan pelbagai kajian dan penyelidikan sebelum menghasilkan sesuatu produk bagi memastikan kualitinya.

Menerusi R&D yang dijalankan, khasiat herba berkenaan diteliti dan diperiksa bagi tujuan ramuan sebelum digunakan dalam produk DXN.

Lebih menarik lagi, herba-herba berkenaan diperoleh menerusi DXN Pharmaceutical Sdn Bhd sendiri yang mempunyai ladang di Kedah.

Lim berkata, rasa herba yang pahit seperti hempedu bumi itu mungkin menyukarkan orang ramai untuk mengamalkannya.

Justeru, DXN Andro G adalah suplemen kesihatan dan pemakanan dihasilkan dalam bentuk kapsul di mana serbuk Andro G yang dikapsulkan telah mengurangkan rasa pahit semasa pengambilannya.

“Pengguna boleh menikmati produk kami dalam bentuk kapsul yang kurang pahit pada bila-bila masa.

“Buat masa ini Andro G adalah produk kami yang mendapat sambutan begitu menggalakkan terutamanya daripada pengguna Melayu,” katanya.

Andro G antara produk kesihatan yang mendapat sambutan apabila penjualannya menyumbang 4.04 peratus daripada 1 bilion jumlah jualan keseluruhan produk DXN sejak Julai 2022 sehingga Jun 2023.

Andro G sudahpun berada dipasaran sejak 26 tahun yang lalu mendapat sambutan memberangsangkan berikutan kesedaran pengguna mengenai rahsia dan khasiatnya.