editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Haos Bhd, syarikat pengeluar minuman jenama tempatan Haos Ek?, kini sedang mengembangkan sayap ke pasaran eksport dan berhasrat untuk disenaraikan di Bursa Malaysia pada tahun 2028.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Haos Ek?, Anis Permin berkata, pihaknya yakin terhadap perancangan berkenaan, berikutan sokongan berterusan daripada kerajaan kepada usahawan bumiputera, tidak kira dalam sektor industri kecil dan sederhana (IKS) mahupun syarikat besar.
“Kerajaan sentiasa memberikan sokongan penuh kepada kami, termasuk agensi kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri Johor yang memainkan peranan penting.
“Kami amat berterima kasih kepada agensi seperti Perbadanan Nasional Bhd, Tekun Nasional, SME Corp, SME Bank, Bank Rakyat, dan Amanah Ikhtiar Malaysia, serta Perbadanan Usahawan Johor dan Jabatan Pertanian Johor yang memastikan kami layak menerima pelbagai bantuan dan program sesuai dengan industri makanan dan minuman,” katanya dalam satu kenyataan.
Kenyataan itu dikeluarkan semasa sesi temu bual ‘Brewing Success’ di Festival Francais Antarabangsa Perbadanan Nasional Bhd 2025, baru-baru ini.
Anis berkata, sokongan ini turut meliputi bantuan berbentuk geran, pembiayaan, latihan, pembangunan perniagaan, dan peluang bimbingan usahawan yang telah membantu meningkatkan keupayaan syarikat, membuka pasaran baru dan mengatasi pelbagai cabaran dengan lebih yakin.
“Haos Ek? telah menikmati banyak inisiatif yang diberikan oleh kerajaan sepanjang empat tahun operasi kami.
“Kami menyeru lebih ramai usahawan PMKS untuk merebut peluang yang tersedia ini,” katanya.
Sebagai syarikat PMKS yang berkomitmen untuk mencipta peluang pekerjaan, memberi sumbangan kepada ekonomi tempatan, dan mendorong inovasi, Haos Ek? berbangga menjadi sebahagian daripada keluarga agensi kerajaan berkenaan.
Anis berkata, syarikatnya akan terus membantu mempromosikan inisiatif-inisiatif agensi kerajaan agar lebih ramai usahawan PMKS berpotensi dapat memanfaatkannya.
Untuk maklumat lanjut mengenai Haos Ek? dan perjalanan mereka sebagai usahawan PMKS, layari www.haos.my.
Haos Ek? adalah syarikat minuman tempatan yang sedang berkembang pesat, fokus pada pembuatan dan pengedaran produk minuman yang mencerminkan identiti Malaysia.

