27.9 C
Kuala Lumpur
Wednesday, November 12, 2025

RIM imbas tahun 2024: Pencapaian gemilang dan inisiatif membanggakan bagi industri muzik tempatan

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) meluahkan kebanggaan terhadap pencapaian luar biasa yang diraih oleh industri muzik tempatan sepanjang tahun 2024.

Di sebalik cabaran dari pengaruh muzik yang dijana kecerdasan buatan (AI), RIM tetap teguh dalam komitmennya untuk menggalakkan pertumbuhan pasaran muzik, memperkasa hak cipta, serta menyokong semua penggiat industri muzik tempatan.

Pendapatan Industri Muzik Tempatan Pecah Rekod

Tahun 2024 menyaksikan pendapatan industri muzik tempatan mencatatkan rekod tertinggi dalam sejarah, dengan peningkatan sebanyak 11.5 peratus iaitu RM339 juta berbanding RM304 juta pada tahun sebelumnya.

Pencapaian ini melangkaui rekod pendapatan tertinggi yang pernah dicatatkan pada tahun 1996 sebanyak RM315 juta.

Peningkatan luar biasa ini disumbangkan oleh 14 peratus kenaikan hasil pendapatan digital serta 7.6 peratus peningkatan kutipan royalti daripada tiga Organisasi Pengurusan Kolektif (CMO) utama negara.

Menerajui Pembangunan Industri Muzik Tempatan

RIM terus aktif memperkasa industri muzik tempatan sepanjang tahun 2024. Antara langkah yang diambil termasuklah memperkenalkan Carta RIM, program mingguan yang memaparkan lagu-lagu paling banyak distrim di Malaysia dalam tiga bahasa utama melalui stesen radio Astro Radio – ERA, Hitz, dan MY.

Program ini berjaya menarik purata pendengar yang amat besar, dengan ERA mencatatkan 4.8 juta pendengar, HITZ 2.2 juta, dan MY 2.3 juta setiap minggu.

Kejayaan Lagu dan Artis Paling Popular

Antara pencapaian membanggakan dalam industri muzik tempatan pada tahun 2024 adalah:

-Lagu Tempatan Paling Tinggi Distrim: Masing Masing oleh Ernie Zakri dan Ade Govinda

-Lagu Antarabangsa Paling Tinggi Distrim: Die With A Smile oleh Lady Gaga dan Bruno Mars

-Lagu Cina Tempatan Paling Tinggi Distrim: 在加納共和國離婚 oleh DIOR dan Firdhaus

-Artis Tempatan Paling Tinggi Distrim: Insomniacks

-Artis Antarabangsa Paling Tinggi Distrim: Taylor Swift

-Artis Cina Tempatan Paling Tinggi Distrim: Firdhaus

Penyanyi Malaysia Mengharumkan Nama Negara di Luar Negara

Beberapa penyanyi Malaysia berjaya mencipta kejayaan di peringkat antarabangsa. Ernie Zakri memenangi Anugerah OST Paling Ngetop di Anugerah SCTV Indonesia, manakala Hael Husaini meraih Anugerah Lagu Tema Terbaik di Asia Academy Creative Awards 2024.

Selain itu, Shila Amzah terus mengukir nama di China dengan penyertaan dalam program ‘Singing with Legends’, dan Dolla terpilih mewakili Malaysia dalam ‘Show It All’.

Penyanyi Firdhaus Farmizi pula berjaya mencatat lebih 17 juta aliran di Spotify dengan duet Divorce in Ghana bersama DIOR, manakala Azora Chin mencipta sejarah sebagai pemenang paling muda dalam program ‘Call Me by Fire’ di China.

Kerjasama Rapat dengan Kerajaan dalam Melindungi Hak Cipta

RIM terus berusaha memperkukuh hak cipta industri muzik dengan melakukan perubahan undang-undang bagi melanjutkan perlindungan hak cipta daripada 50 tahun kepada 70 tahun – mengikut piawaian antarabangsa.

Selain itu, RIM turut berkerjasama dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) untuk menggubal undang-undang bagi mengawal penggunaan AI dalam menghasilkan lagu-lagu berhak cipta.

Tindakan Anti-Cetak Rompak dan Perlindungan Hak Ahli

RIM juga komited dalam memerangi cetak rompak dengan menguatkuasakan undang-undang hak cipta, termasuk penyingkiran penjual yang melanggar hak cipta di platform e-dagang serta serbuan terhadap premis yang memperdagangkan muzik tanpa lesen.

Bantuan untuk Pengamal Industri Muzik

RIM terus memberi sokongan kepada pengamal industri muzik melalui program amal ‘Sumbangan Rahmah Industri Muzik (SRIM)’, yang telah memberi bantuan kepada 48 pengamal industri muzik yang memerlukan. Inisiatif ini, yang dilancarkan oleh Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali pada April 2024, menyediakan bantuan kewangan kepada mereka yang terjejas akibat pandemik dan cabaran lain.

Pengerusi RIM, Rosmin Hashim berkata, inovasi dan pelaburan dalam industri muzik tempatan akan terus diperjuangkan.

“Kami yakin usaha-usaha RIM untuk membangunkan industri muzik tempatan akan terus membuahkan hasil dengan kejayaan yang lebih gemilang pada masa depan.

“Kami mengajak semua pihak untuk terus menyokong industri ini,” katanya.

Dengan pencapaian cemerlang dan pelbagai inisiatif yang dilaksanakan, RIM akan terus menjadi peneraju dalam membangunkan industri muzik Malaysia, sambil melindungi hak cipta dan memperkasa pengamal industri muzik tempatan.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular