editormaxinfo@gmail.com
IPOH – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegur keras pihak yang mempertikaikan usaha kerajaan dalam membantu pembangunan semula Gaza, Palestin.
Anwar kecewa dengan sindiran seorang bekas menteri kabinet yang menyatakan Malaysia seharusnya fokus pada masalah negara terlebih dahulu sebelum membantu negara lain.
“Ini satu usaha yang mulia. Namun, ada golongan yang mengkritik, mengatakan bahawa kita belum selesai menangani masalah di sekolah dan kampung sendiri, jadi kenapa perlu membantu orang lain?.
“Dalam Islam, kita diajar untuk sentiasa membantu, tidak kira apa masalah kita,” kata Anwar.
Walaupun tidak menyebut secara langsung nama bekas menteri terbabit, Anwar menyifatkan kritikan itu sebagai tidak wajar, apatah lagi ketika Gaza dan Palestin sedang melalui penderitaan yang luar biasa akibat konflik yang berpanjangan sejak Perang Dunia Kedua.
Sebelum itu, Anwar mengumumkan Malaysia akan bekerjasama dengan sektor swasta untuk membina sekolah, hospital, dan masjid sebagai usaha membantu membangunkan semula Gaza.
Usaha ini turut mendapat sokongan Perdana Menteri Jepun, Shigeru Ishiba, yang berkomitmen untuk meneruskan inisiatif pembangunan semula Gaza melalui Kerjasama antara Asia Timur untuk Pembangunan Palestin (CEAPAD).

Kritikan terhadap inisiatif ini bermula apabila seorang bekas menteri dilaporkan berkata pemimpin Malaysia perlu mengutamakan keperluan rakyat terlebih dahulu sebelum membabitkan diri dalam usaha membangunkan semula Gaza yang musnah akibat serangan rejim Zionis.
Meskipun menghargai niat murni berkenaan, bekas menteri itu berpendapat pembangunan semula Gaza mungkin sia-sia selagi hak milik tanah terbabit belum diputuskan secara jelas oleh badan antarabangsa.
“Meskipun usaha ini wajar dipuji, kita perlu memberi perhatian kepada masalah yang berlaku di negara kita, terutamanya di kawasan luar bandar, termasuk isu sekolah, hospital kerajaan, dan tempat beribadat yang memerlukan pembaikan segera,” tambah beliau.
Namun, Anwar tetap berpendirian bahawa usaha untuk membantu rakyat Palestin adalah langkah yang seharusnya dilakukan, tanpa mengabaikan keperluan domestik.

