27.5 C
Kuala Lumpur
Sunday, May 31, 2026

Aplikasi Helo Subang Jaya promosi pelancongan pintar, sempena Tahun Melawat Selangor 2025 & Tahun Melawat Malaysia 2026

editormaxinfo@gmail.com

SUBANG JAYA – Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) memperkenalkan aplikasi Helo Subang Jaya yang bakal menjadi pemacu utama dalam mempromosikan pelancongan pintar menjelang Tahun Melawat Selangor 2025 dan Tahun Melawat Malaysia 2026.

Aplikasi ini direka untuk memudahkan pengunjung dan komuniti setempat merancang perjalanan mereka dengan lebih efisien dan interaktif.

MBSJ dalam satu kenyataan berkata, aplikasi Helo Subang Jaya boleh dimuat turun melalui aplikasi induk Gemilang MBSJ yang boleh didapati di Google PlayStore dan Apple AppStore.

Aplikasi ini memberikan panduan digital pelancongan yang merangkumi destinasi menarik, acara utama, promosi, dan pelbagai informasi berkaitan bandar raya Subang Jaya.

Salah satu ciri menarik aplikasi ini adalah Modul MyTrip, yang membolehkan pengguna merancang perjalanan mereka dengan mudah, termasuk menyediakan jadual perjalanan, tempahan penginapan, makanan, dan pengangkutan secara dalam talian.

Tidak hanya itu, platform ini juga menawarkan kemudahan membeli-belah dalam talian, memudahkan pengguna untuk berbelanja dengan lebih praktikal.

“Inisiatif ini diharap dapat meningkatkan kesedaran dan penglibatan komuniti setempat, sekaligus memperkukuhkan Subang Jaya sebagai destinasi pelancongan pintar yang inovatif dan berterusan,” kata kenyataan itu.

Pelancaran aplikasi Helo Subang Jaya disempurnakan oleh Datuk Bandar Subang Jaya, Datuk Amirul Azizan Abd Rahim, yang turut dihadiri oleh Ahli Parlimen Subang, Wong Chen; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Subang Jaya, Michelle Ng Mei Sze; dan ADUN Seri Kembangan, Wong Siew Ki.

Majlis pelancaran yang berlangsung di Hotel Sunway Resort, Bandar Sunway itu juga turut menyaksikan penganugerahan Anugerah Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) MBSJ 2024.

Turut hadir pada majlis berkenaan adalah ADUN Seri Sedang, Abbas Salimmi Che Adzmi, dan ADUN Batu Tiga, Danial Al-Rashid Haron.

Dengan pelancaran aplikasi ini, MBSJ berharap untuk menarik lebih ramai pelancong dan mengukuhkan Subang Jaya sebagai destinasi pelancongan pintar yang menyokong kelestarian dan inovasi dalam sektor pelancongan.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular