30.7 C
Kuala Lumpur
Monday, May 25, 2026

KRU kembali menyerlah dengan persembahan vokal hebat dalam lagu “One More Time”

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – KRU, kumpulan muzik legenda tanah air, terus mengukuhkan legasi mereka dalam industri muzik tempatan dengan pelancaran single kedua dari album “Kaset” berjudul “One More Time”.

Lagu ini menunjukkan kematangan vokal trio KRU iaitu Norman, Yusry, dan Edry dengan penyampaian penuh emosi yang menonjolkan kedalaman pengalaman hidup mereka.

Lagu “One More Time” adalah hasil ciptaan sepenuhnya oleh Norman, Yusry, dan Edry, yang masih mengekalkan DNA muzik R&B ikonik era 90-an KRU, yang kekal relevan hingga kini.

Lagu ini mengisahkan kekecewaan seorang individu yang sekali lagi gagal dalam percintaan, hanya mampu menyaksikan bekas kekasihnya hidup bahagia dengan orang lain, walaupun dalam kesedihan.

Selain mempersembahkan lagu yang menyentuh hati, KRU turut memanfaatkan teknologi terkini dengan menggunakan kembar digital (Digital Twin) dalam video muzik “One More Time”.

Melalui inovasi ini, peminat berpeluang menyaksikan transformasi wajah KRU dari masa lalu, kini, dan masa depan, memberikan pengalaman visual dan emosi yang unik.

Pengarah Urusan Sony Music Entertainment Sdn Bhd, Kenny Ong berkata, beliau menghargai kebolehan KRU dalam pelbagai aspek seni.

“KRU sememangnya artis serba boleh, bukan sahaja dalam nyanyian, penciptaan, dan penerbitan lagu, tetapi juga dalam penggunaan teknologi terkini untuk penceritaan lagu melalui video muzik.

“Kami percaya video muzik ‘One More Time’ akan memberi impak mendalam kepada penonton dan lagu ini bakal menjadi salah satu lagu klasik KRU yang relevan untuk puluhan tahun akan datang,” kata Kenny.

Sebelum ini, KRU telah melancarkan single pertama dari album “Kaset”, “Voodoo”, yang mendapat sambutan luar biasa bukan sahaja di Malaysia, tetapi juga di negara-negara seperti Singapura, Brunei, Indonesia, United Kingdom, dan Amerika Syarikat.

Muzik video “Voodoo” di YouTube telah meraih lebih 1.2 juta tontonan dalam tempoh yang singkat dan berjaya menarik perhatian pengikut baru, terutama daripada generasi Alpha.

Mewakili KRU, Norman berkata, ini adalah tradisi KRU untuk mengeluarkan lagu balada selepas single pertama yang lebih rancak.

“Ramai peminat kami sudah menantikan lagu ‘One More Time’, dan kami berharap lagu ini akan mendapat sambutan yang baik, sekaligus mengekalkan momentum pemasaran album ‘Kaset’ yang akan dikeluarkan tidak lama lagi,” katanya.

Lagu “One More Time” kini boleh didengari di semua platform penstriman digital seperti Apple Music, Deezer, KKBox, Spotify, dan YouTube Music bermula hari ini, 17 Januari 2025.

Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, ikuti akaun rasmi KRU di YouTube, Instagram, TikTok, dan Facebook.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular