editormaxinfo@gmail.com
LONDON – Sebanyak kira-kira 200 tapak kaki dinosaur bersaiz gergasi yang hidup sekitar 166 juta tahun lalu telah ditemui di sebuah kuari di Oxfordshire, menjadikannya tapak jejak dinosaur terbesar yang pernah ditemui di United Kingdom (UK), lapor Agensi Anadolu (AA).
Penyelidik dari Universiti Oxford dan Universiti Birmingham telah menemui kawasan luas di lantai kuari yang dipenuhi dengan ratusan kesan tapak kaki dinosaur pelbagai jenis, membentuk beberapa laluan trek besar. Penemuan ini diumumkan oleh Universiti Oxford pada Khamis.
Kesan tapak kaki yang ditemui berasal dari zaman ‘Middle Jurassic Period’, sekitar 166 juta tahun lalu, dan membentuk sebahagian daripada apa yang digambarkan sebagai ‘lebuh raya dinosaur’.
Antara tapak kaki yang ditemui adalah jejak pemangsa Megalosaurus yang berukuran sembilan meter panjang, serta dinosaur herbivor yang lebih besar, dua kali ganda saiz itu.
Kenyataan daripada universiti terbabit menyebut bahawa penggalian yang dijalankan di Dewars Farm Quarry, Oxfordshire, menemukan lima laluan utama, dengan lebih banyak lagi kesan tapak kaki dijumpai di kawasan sekitar.
Empat daripada laluan itu dipercayai berasal dari dinosaur herbivor berleher panjang yang dikenali sebagai ‘sauropod’, yang kemungkinan besar adalah ‘Cetiosaurus’.
Sementara itu, laluan kelima pula dipercayai dihasilkan oleh dinosaur karnivor theropod, ‘Megalosaurus’, yang terkenal dengan kaki tiga berukuran besar dan cakar yang tajam.
“Saintis telah lama mengetahui tentang Megalosaurus dan telah mengkaji spesies ini lebih lama daripada dinosaur lain di Bumi.
Namun, penemuan terkini ini membuktikan bahawa masih banyak bukti baru mengenai haiwan ini yang menanti untuk ditemukan,” kata Emma Nicholls, ahli paleontologi vertebrata dari Muzium Sejarah Semulajadi Universiti Oxford.
Kesan tapak kaki ini tertimbus di bawah lapisan lumpur, namun mula kelihatan selepas seorang pekerja kuari, Gary Johnson, menyedari ‘benjolan luar biasa’ ketika membersihkan tanah liat menggunakan kenderaannya untuk mendedahkan lantai kuari.
Pakar kemudian dipanggil untuk melakukan penyelidikan lebih lanjut dan Universiti Oxford serta Universiti Birmingham mengetuai penggalian selama seminggu yang membabitkan lebih 100 orang ahli pasukan pada Jun 2024. -Agensi

