28.5 C
Kuala Lumpur
Sunday, April 19, 2026

Anwar Ibrahim tekad hentikan amalan bina kekayaan guna kuasa politik

editormaxinfo@gmail.com

SEBERANG PERAI – Tekad untuk menghentikan amalan mana-mana pihak membina kekayaan dengan menggunakan kuasa politik dan kedudukan di negara ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau akan membuktikan segala usaha dan mandatnya itu dalam memerangi kepincangan individu-individu berkuasa termasuk dalam kalangan pegawai kerajaan yang sedang berada dalam perkhidmatan.

Sejak November 2022, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menyiasat lebih daripada 50 kes berprofil tinggi termasuk membabitkan bekas perdana menteri dan pegawai tinggi yang sedang berkhidmat, tanpa campur tangan Perdana Menteri.

“Insya-Allah dalam beberapa tahun Allah izinkan saya tentukan supaya dasar negara kita ini menghentikan orang politik atau pegawai ataupun orang-orang besar yang asal dengan kuasa dia boleh bina kekayaan,” katanya ketika berucap merasmikan Ekspo Halal Antarabangsa Pulau Pinang 2024 (PIHEX 2024), hari ini.

Anwar menjelaskan, individu yang menguruskan negara perlu bersih dan telus serta menggunakan kuasa yang ada padanya untuk mempertahankan prinsip membela rakyat berbanding mempertahankan golongan maha kaya.

“Sebab itu, bila ada sesuatu kes itu kita kena siasat, berani tegur, bukannya mempertahankan orang yang mengambil rasuah,” katanya.

Turut hadir pada majlis itu Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

PIHEX 2024 adalah ekspo anjuran kerajaan negeri Pulau Pinang yang berlangsung dari 5 hingga 8 Disember bagi mempromosi produk dan perkhidmatan halal yang boleh dimanfaatkan pengguna termasuk bukan Islam.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular