27.9 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 16, 2026

Buli pegawai kadet ALK UPNM, suspek kes akan didakwa di mahkamah esok

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Suspek kes dera dan buli ke atas seorang pegawai kadet Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) akan dituduh di mahkamah, esok.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa, berkata pertuduhan akan dijalankan di Mahkamah Kuala Lumpur pada jam 8 pagi.

“Kes pertuduhan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan melibatkan kes buli pelajar UPNM,” katanya dalam satu kenyataan ringkas, hari ini.

Beliau berkata, pertuduhan membabitkan seorang pelajar senior UPNM berusia 22 tahun yang sebelum ini dilaporkan dirakam keterangan oleh polis bagi membantu siasatan.

Pelajar itu adalah antara 16 individu yang dirakam keterangan oleh polis dalam siasatan kes itu.

Dalam kejadian jam 11.45 malam pada 22 Oktober lalu, mangsa mendakwa didatangi pegawai senior yang juga suspek sebelum mangsa diminta menggosok baju miliknya.

Pelajar senior berusia 22 tahun itu didakwa secara tiba-tiba mengambil seterika yang dipegang pengadu sebelum menekap bahagian dada sebelah kanan sebanyak satu kali.

Akibat daripada kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan melecur dan menjerit kesakitan.

Mangsa membuat laporan polis pada malam Jumaat lalu (1 November) dan keterangan daripadanya juga sudah direkodkan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular