27.9 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 16, 2026

Empat helikopter AW189 bakal pertingkat pengoperasian udara Maritim Malaysia

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Kesiapsiagaan keselamatan perairan negara bakal dipertingkatkan dengan termaktubnya Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kementerian Dalam Negeri (KDN) bersama Galaxy Aerospace (Malaysia) Sdn Bhd bagi perolehan empat helikopter jenis Augusta Westland AW189 medium lift

untuk Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) sempena Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (Natsec) Asia 2024 di sini, hari ini.

Pemangku Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim berkata, perolehan helikopter AW189 ini adalah untuk memenuhi keperluan pihak Maritim Malaysia bagi mempertingkatkan pemantauan udara dengan lebih meluas serta melaksanakan operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) untuk jarak dan durasi yang panjang.

“Tugasan ini kini dilakukan oleh enam pesawat milik Agensi ini yang terdiri dua buah helikopter jenis AW139, tiga helikopter jenis AS365 N3 Dauphin dan sebuah pesawat udara Bombardier CL-415 MP,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika hadir menyaksikan majlis MoU berkenaan yang ditandatangani oleh Ketua Setiausaha KDN, Datuk Ruji Ubi bersama wakil Pengarah Urusan Galaxy Aerospace, Shamsul Kamar Samsuddin.

Turut hadir menyaksikan majlis, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah, serta Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) KDN, Dr. Abdul Gapar Abu Bakar.

Saiful Lizan berkata, helikopter yang keseluruhan bernilai hampir RM530 juta ini dibangunkan oleh syarikat Leonardo Helicopters turut dipilih kerana pesawat ini mempunyai keupayaan transmisi utama untuk beroperasi tanpa minyak selama 50 minit dan Unit Kuasa Tambahan yang tersedia.

“AW189 telah menjadi helikopter kategori super-medium yang paling berjaya di dunia dari segi saiz pasaran, bilangan pengendali selain mampu melaksanakan pelbagai tugas termasuk CARILAMAT, bantuan bencana, pemadaman kebakaran, penguatkuasaan undang-undang dan sokongan tenaga,” katanya lagi.

Terdahulu Saiful Lizan memaklumkan Maritim Malaysia menjangkakan pesawat berkenaan bakal siap sepenuhnya dan diserahkan kepada pihak Agensi ini sekitar tahun 2025 / 2026 dan akan ditempatkan di Sandakan, Sabah.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular