editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza tidak peduli dengan tuduhan yang dilemparkan individu dan menuduh kononnya beliau menggunakan air mata bagi meraih simpati.
Siti berkata, beliau tidak faham niat sebenar pihak berkenaan kerana terus mencari salah tanpa sebab.
Katanya, air mata yang jatuh setiap kali berkongsi kisah penderitaan penduduk Gaza ialah kerana mendapat maklumat harian mengenai apa yang dilalui oleh mereka.
“Bila saya lihat gambar dan video yang dikongsi wakil kami di sana saya memang sebak dan susah hati melihat perjuangan mereka setiap hari untuk meneruskan hidup.
“Sebagai seorang ibu, bila tengok kanak-kanak menderita dan berdepan ancaman saya tersentuh kerana terkenangkan Aafiyah dan Afwa.
“Bayangkan anak-anak seusia mereka dan kalau anak-anak saya sendiri di sana memang satu perkara yang sangat sukar,” katanya.
Baru-baru ini menerusi ruangan X ada dakwaan secara sinikal menuduh Siti Nurhaliza terpaksa menangis untuk meriah simpati bagi mendapatkan sumbangan orang ramai dalam misi kebajikan penyanyi itu.
Enggan melayan perkara remeh seperti itu, Siti Nurhaliza memilih untuk memberi fokus kepada rutin harian yang lebih penting termasuk urusan kerjayanya.
Siti ditemui pada Majlis Iftar Nurjiwa Prihatin anjuran Yayasan Nurjiwa dan kolaborasi dengan Yayasan Prihatin Nasional yang menyantuni lebih 100 penerima sumbangan barangan keperluan berserta duit raya.
Mengulas sekeping foto dirinya yang ditularkan kononnya ditahan polis, Siti ketawa dan tidak sangka dirinya turut menjadi mangsa seperti rakan selebriti lain.
“Macam-macam mereka ini, tak ada kerja. Saya pun baru tahu. Tak perlulah hal-hal seperti ini,” katanya.

Dalam pada itu, berkongsi keadaan terkini wakil Yayasan Nurjiwa di Gaza, Siti melahirkan rasa syukur kerana Allah terus melindungi Dr Mohanad dari sebarang ancaman bahaya.
“Setiap malam saya dan suami, Datuk Khalid akan berdebar menanti kemaskini dari Dr Mohanad dan kami bersyukur dia masih selamat dan dapat terus menyalurkan sumbangan kepada rakyat di sana.
“Saya sangat terharu kerana bantuan yang disalurkan dapat membantu kira-kira 10,000 penduduk di sana termasuk untuk kelengkapan dan makanan.
“Paling bersyukur kami dimaklumkan mereka juga sudah berjaya menyimpan stok makanan selama sebulan sepanjang Ramadan ini.
“Tidak ada ayam, ikan atau daging, tetapi Alhamdulillah ada beberapa jenis kekacang yang digunakan untuk menyediakan juadah mengisi perut waktu berbuka dan sahur.
“Kelengkapan pakaian dan selimut juga dapat disediakan memandangkan musim sejuk di sana,” katanya.
Siti Nurhaliza melahirkan penghargaan kepada semua penyumbang dan rakyat Malaysia yang perihatin sehingga membantu Yayasan Nurjiwa meneruskan bantuan kepada saudara di sana.
Katanya, usaha itu tidak dapat dilakukan sendiri oleh Yayasan Nurjiwa tanpa sokongan dan sumbangan daripada semua pihak.

