editormaxinfo@gmail.com
KUANTAN- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Pahang berjaya menahan sebuah bot nelayan asing (BNA) pada jarak lebih kurang 35 batu nautika di timur laut perairan Pulau Tioman pada petang Khamis lalu.
Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Mazlan Mat Rejab berkata, pihaknya sedang menjalankan rondaan penerbangan dari pasukan udara yang dijalankan sekitar perairan Pahang telah mengesan sebuah bot nelayan yang sedang bergerak dalam keadaan mencurigakan seterusnya aset kapal Maritim Malaysia yang terbabit dalam rondaan Op Makmur dan Op Tiris diarahkan untuk memeriksa bot terbabit.
“Menyedari kehadiran kapal maritim, bot berkenaan cuba untuk bertindak melarikan diri kerana enggan memberikan kerjasama.
“Selepas berlaku situasi kejar-mengejar lebih 1 jam, bot nelayan terbabit berjaya dipintas seterusnya di tahan sebelum dibawa ke Jeti Pernepa Kuantan Slipway untuk tindakan lanjut.
“Hasil penggeledahan mendapati enam kru termasuk tekong berumur dalam lingkungan 19 hingga 37 tahun berada di atas bot yang kesemuanya adalah lelaki warganegara Vietnam,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan lanjut mendapati kesemua kru yang ditahan tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri serta mengemukakan lesen bot yang meragukan selain tidak mempunyai kebenaran untuk melakukan aktiviti penangkapan ikan di perairan negara daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.
“Kesemua mereka ditahan termasuk bot beserta 250 kilogram hasil tangkapan laut disita untuk tindakan lanjut.
“Kesemua hasil rampasan termasuk bot dianggarkan bernilai lebih RM1.7 juta. Kes akan disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM6 juta bagi tekong dan RM600 ribu bagi setiap kru sekiranya disabit bersalah,” katanya.

Maritim Malaysia menyeru kepada komuniti maritim supaya terus menyalurkan maklumat serta menjadi mata dan telinga terhadap pasukan penguat kuasa bagi mengekang dan memerangi salah laku jenayah laut khususnya membabitkan pencerobohan bot-bot nelayan asing di perairan negara.
Sebarang maklumat berkaitan kegiatan jenayah atau kejadian kecemasan di laut boleh terus menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Pahang di talian 09- 5717345 atau melalui talian bantuan kecemasan MERS 999.

