28.5 C
Kuala Lumpur
Thursday, July 2, 2026

Siti Nurhaliza, Firdhaus cipta sejarah dengan duet Mandarin ‘Be Like Water’

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Biduanita Negara, Dato’ Sri Siti Nurhaliza, sekali lagi mencipta sejarah dalam industri muzik tanah air apabila tampil dengan lagu penuh berbahasa Mandarin buat pertama kali sepanjang lebih tiga dekad perjalanan seninya menerusi single berjudul “像水一樣” (Be Like Water).

Lagu istimewa itu adalah hasil kolaborasi sulung beliau bersama penyanyi dan pencipta lagu tiga bahasa yang sedang mencipta nama di persada antarabangsa, 菲道尔 (Firdhaus).

Kolaborasi bersejarah itu bukan sekadar menyatukan dua generasi pemuzik yang berbeza latar belakang, malah membawa mesej kemanusiaan yang mendalam menerusi karya yang sarat dengan nilai kasih sayang, harapan dan keprihatinan.

Siti Nurhaliza yang juga Duta CUCKOO Malaysia, bergandingan dengan Firdhaus yang baharu dilantik sebagai Sahabat CSR CUCKOO (CUCKOO CSR Friend) bagi menjayakan lagu tema rasmi untuk inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat berkenaan.

Lagu “Be Like Water” diterbitkan hasil ilham CUCKOO International (MAL) Berhad (CUCKOO Malaysia) yang mahu menghasilkan sebuah karya muzik bagi menyokong pelaksanaan Projek CUCKOO Loves, Cares.

Firdhaus diberi tanggungjawab untuk menterjemahkan semangat kasih sayang dan keprihatinan yang menjadi teras projek berkenaan sebelum menemui inspirasi daripada falsafah terkenal mendiang legenda seni mempertahankan diri, Bruce Lee, iaitu “Be water, my friend”.

Mengangkat falsafah air sebagai simbol ketabahan, kelembutan dan keupayaan menyesuaikan diri dengan pelbagai cabaran kehidupan, lagu ini menyampaikan mesej bahawa kasih sayang dan keprihatinan tidak semestinya dizahirkan melalui tindakan yang besar atau lantang.

Sebaliknya, ia boleh hadir dalam bentuk sokongan yang tulus, kehadiran yang berterusan serta keikhlasan membantu insan lain tanpa mengharapkan balasan.

Keindahan lirik ciptaan Firdhaus turut memperkukuhkan mesej tersebut apabila menggunakan metafora air sebagai lambang kesucian kasih sayang dan kesetiaan dalam menemani seseorang mengharungi kehidupan.

Antara bait yang mencuri perhatian ialah “我们不是火焰,却能温暖心田” yang membawa maksud “kita bukanlah api, namun masih mampu menghangatkan jiwa”, selain “在裂缝里流动,无声地改变” atau “mengalir di setiap rekahan, membawa perubahan dalam diam”.

Lirik ini menggambarkan bahawa kekuatan sebenar hadir melalui kelembutan, manakala perubahan yang paling bermakna sering berlaku secara senyap tetapi memberi impak yang besar kepada kehidupan.

Seiring dengan mesej sosial yang dibawa, “Be Like Water” telah diangkat sebagai lagu tema rasmi CSR CUCKOO Malaysia, sekali gus menjadi medium untuk menyebarkan nilai kasih sayang, empati dan harapan kepada masyarakat.

Bagi Dato’ Sri Siti Nurhaliza, projek ini turut menjadi satu pencapaian penting dalam perjalanan seninya apabila buat pertama kali merakamkan lagu penuh dalam bahasa Mandarin sepanjang lebih 30 tahun bergelar anak seni.

Lagu berkenaan diterbitkan menerusi syarikat produksinya sendiri, SN Legacy Sdn. Bhd.

Menurut beliau, hasrat untuk bekerjasama dengan Firdhaus telah lama terpendam berikutan kekaguman terhadap bakat luar biasa penyanyi muda itu sebagai pencipta lagu.

Pilihan itu akhirnya direalisasikan menerusi projek yang disifatkan sebagai cukup bermakna dan meninggalkan kenangan tersendiri.

Bagi Firdhaus pula, peluang bekerjasama dengan Biduanita Negara adalah satu penghormatan besar dalam kerjayanya.

Walaupun mengakui berasa gementar pada peringkat awal, perasaan itu segera bertukar menjadi rasa bangga dan teruja sepanjang proses rakaman berlangsung.

Beliau turut memainkan peranan sebagai pembimbing bahasa dengan membantu Siti Nurhaliza memperhalusi sebutan bahasa Mandarin secara teliti bagi memastikan setiap bait lagu disampaikan dengan sempurna.

Lebih daripada sekadar sebuah lagu duet, “Be Like Water” turut melambangkan penyatuan dua generasi pemuzik yang saling melengkapi.

Keserasian vokal kedua-dua artis menghasilkan sebuah karya yang lembut tetapi penuh tenaga emosi, sekali gus memberikan pengalaman pendengaran yang menyentuh hati.

Bagi memperkayakan lagi susunan muzik, projek ini merealisasikan impian Firdhaus untuk menghasilkan gubahan orkestra berskala besar.

Lagu itu dirakam bersama Budapest Scoring Orchestra dan Dandelion Choir, manakala sentuhan penerbit serta pengubah lagu tersohor, Aubrey Suwito, berjaya menyuntik dimensi sinematik yang lebih megah kepada keseluruhan karya.

Keindahan lagu itu turut diterjemahkan menerusi video muzik arahan Jasmine Wong yang menjalani penggambaran di Dewan Filharmonik PETRONAS (DFP).

Lokasi ikonik yang terkenal dengan kehebatan akustiknya itu menjadi latar sempurna bagi mengetengahkan persembahan orkestra secara langsung bersama Selangor and Kuala Lumpur Orchestra & Choir (SKOC), selain diperkaya dengan keharmonian vokal Yoke Nam Choir.

Berbeza daripada konsep video muzik konvensional, karya visual ini menampilkan persembahan yang lebih intim dengan penggunaan pencahayaan lembut, palet warna elegan dan rona emas champagne yang menyerlahkan lagi emosi lagu, sekali gus menjadikan kedua-dua penyanyi sebagai teras utama sebuah persembahan simfoni yang memukau.

Sebagai penghargaan kepada usaha itu, “Be Like Water” dipersembahkan secara langsung buat pertama kali ketika majlis pelancaran rasmi program CSR CUCKOO Malaysia.

Persembahan eksklusif itu memberi peluang kepada para tetamu menyaksikan sendiri gabungan artistik bersejarah antara Dato’ Sri Siti Nurhaliza dan Firdhaus.

Single “像水一樣” (Be Like Water) bersama video muzik rasminya kini boleh distrim di semua platform penstriman digital utama termasuk Spotify, Apple Music, YouTube Music, JOOX, KKBOX serta pelbagai platform muzik digital lain.

ARTIKEL BERKAITAN

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Popular