29 C
Kuala Lumpur
Thursday, June 18, 2026

Hisyam Hamid akui Lukman ‘Red Flag’, tegas curang adalah kesalahan terbesar

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Drama bersiri Ikatan Terlarang terus menjadi bualan penonton apabila konflik rumah tangga yang dipaparkan semakin memuncak, sekali gus mencetuskan pelbagai reaksi emosi dalam kalangan peminat.

Antara yang paling mencuri perhatian adalah watak Lukman lakonan Hisyam Hamid yang kini dianggap sebagai antara karakter paling dibenci penonton susulan tindakannya berlaku curang terhadap isterinya, Azura, lakonan Erysha Emira.

Dalam episod terbaharu, penonton menyaksikan bagaimana Lukman tanpa rasa bersalah menjalinkan hubungan terlarang dengan Anabella atau Bella yang dilakonkan Mawar Rashid, individu yang bukan sahaja kakak iparnya tetapi juga sahabat baik kepada isterinya sendiri.

Keberkesanan lakonan Hisyam sebagai suami curang menerima pujian ramai kerana berjaya menghidupkan watak yang penuh manipulasi dan pengkhianatan.

Namun di sebalik watak yang dibawanya, aktor kelahiran Singapura itu menegaskan perbuatan curang adalah sesuatu yang tidak boleh diterima dalam sesebuah hubungan.

Menurut Hisyam, seseorang yang sudah berkahwin tidak sepatutnya memberi ruang kepada dirinya untuk jatuh cinta kepada orang lain.

“Tidak ada istilah jatuh cinta lagi. Dalam hal ini apabila sudah ada isteri jangan mengada-ngada nak jatuh cinta dengan orang lain.

“Nombor satu punya kesalahan yang tidak boleh dibuat dan tidak boleh berlaku bila seseorang itu ada isteri, ‘the biggest no-no ever’,” katanya.

Hisyam turut menolak tanggapan bahawa seseorang boleh mengelakkan status curang hanya dengan berterus terang kepada pasangan selepas mula menyukai orang lain.

Tegasnya, kesetiaan adalah asas penting dalam sesebuah hubungan dan pengkhianatan adalah perkara yang sukar diterima atau dimaafkan.

“Saya secara peribadi pun apabila berada dalam sesuatu perhubungan, tidak akan buat perkara itu. Ya, kita mungkin ada buat kesilapan dan kesalahan, tetapi adalah satu yang tidak boleh diterima atau dimaafkan apabila curang,” katanya.

Sementara itu, satu lagi babak yang mencetuskan perhatian ramai adalah adegan Azura menampar Lukman di dalam kereta selepas mula mengesyaki suaminya berlaku curang.

Babak penuh emosi itu mendapat reaksi positif daripada penonton yang mengakui berasa puas melihat Azura akhirnya meluahkan kemarahan terhadap suaminya, meskipun ketika itu identiti wanita yang menjadi orang ketiga masih belum terbongkar sepenuhnya.

Mengulas mengenai penggambaran babak itu, Erysha Emira mendedahkan tangannya mengalami lebam kerana perlu mengulangi adegan tamparan beberapa kali bagi mendapatkan sudut kamera dan syot terbaik.

Menurutnya, dia berusaha memberikan emosi yang realistik dengan meletakkan dirinya dalam situasi Azura yang dikhianati oleh insan paling dipercayai dalam hidupnya.

“Sebenarnya tangan saya lebam selepas melakukan babak tampar banyak kali untuk mendapatkan beberapa syot berlainan.

“Tapi saya cuba lakukan yang terbaik bukan hanya dalam babak itu sahaja, tetapi meletakkan diri sebagai Azura yang telah dikhianati dan dicurangi hampir seluruh hidupnya,” katanya.

Sejak mula ditayangkan, Ikatan Terlarang semakin mendapat perhatian penonton menerusi jalan cerita yang sarat dengan konflik emosi, pengkhianatan dan rahsia keluarga yang mencengkam.

Diterbitkan oleh I Fabulous Art Media & Event Sdn. Bhd. menerusi penerbit Noorazam Shah Senin dan diarahkan oleh Riza Baharudin, drama 28 episod itu turut mendapat sentuhan penulis terkenal Indonesia, Oka Aurora, yang sebelum ini mencipta fenomena menerusi karya popular seperti Layang-Layang Perkahwinan, Curang Tanpa Niat, Bahagia Yang Tertangguh dan filem Ipar Adalah Maut.

Menampilkan gandingan pertama antara Hisyam Hamid dan Erysha Emira sebagai teraju utama, Ikatan Terlarang mengisahkan kehidupan Azura, seorang usahawan berjaya yang memiliki syarikat kecantikan Azura Beauty dan dilihat memiliki kehidupan sempurna bersama suaminya, Lukman, serta anak perempuan mereka, Adira.

Namun kebahagiaan itu mula runtuh apabila Azura mengetahui dirinya dikhianati oleh suami sendiri bersama sahabat baik yang paling dipercayainya.

Situasi menjadi semakin rumit apabila pelbagai rahsia keluarga mula terbongkar, termasuk skandal yang mengancam perniagaan serta hubungan antara kedua-dua keluarga.

Dalam usaha mempertahankan maruah, keluarga dan masa depan anaknya, Azura berdepan dilema besar sama ada memilih jalan membalas dendam atau memutuskan kitaran kebencian yang telah menghancurkan kehidupannya.

Menurut pihak produksi, kekuatan utama Ikatan Terlarang terletak pada penceritaannya yang dekat dengan realiti masyarakat hari ini, khususnya mengenai isu kepercayaan, pengkhianatan, tekanan keluarga dan perjuangan seorang wanita untuk bangkit semula selepas diuji dengan pelbagai dugaan.

Selain Hisyam Hamid dan Erysha Emira, drama ini turut dibintangi barisan pelakon seperti Adrianna Adnan, Raja Azura, Arash Mohamad, Alif Hadi, Mawar Rashid, Didie Astillah, Syazwan Razak, Puteri Rayyqa, Zarina Zainuddin, Yaya Maembong, Jay Iskandar dan Esma Danial.

Ikatan Terlarang bersiaran setiap Isnin hingga Khamis, jam 10 malam menerusi Slot Megadrama Astro Ria dan platform Sooka.

ARTIKEL BERKAITAN

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Popular