29 C
Kuala Lumpur
Thursday, June 11, 2026

Tragedi Gerik terus dalam ingatan, lebih 3,000 warga UPSI sertai majlis Yasin dan Tahlil

editormaxinfo@gmail.com

TANJONG MALIM Lebih 3,000 warga Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bersama masyarakat setempat berhimpun dalam suasana penuh hiba dan keinsafan menerusi Majlis Bacaan Yasin dan Tahlil khas yang diadakan bagi memperingati tragedi kemalangan bas di Gerik yang mengorbankan 15 penuntut universiti itu, setahun lalu.

Majlis yang berlangsung di Masjid Al-Mursyidin, Kampus Sultan Azlan Shah UPSI itu turut disiarkan secara langsung menerusi platform dalam talian bagi membolehkan penyertaan warga universiti dari pelbagai lokasi, sekali gus mencerminkan semangat kebersamaan dan solidariti yang terus utuh dalam kalangan komuniti UPSI.

Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr. Md Amin Md Taff berkata, penganjuran majlis terbabit bukan sekadar untuk mengenang tragedi yang meragut nyawa pelajar universiti berkenaan, malah sebagai wadah untuk terus mendoakan kesejahteraan roh mangsa serta memberi sokongan moral kepada keluarga yang masih merasai kehilangan insan tersayang.

Menurut beliau, walaupun masa terus berlalu, kesan tragedi berkenaan masih dirasai oleh seluruh warga universiti yang menganggap para pelajar tersebut sebagai sebahagian daripada keluarga besar UPSI.

“Walaupun masa terus berlalu, kehilangan anak-anak UPSI ini tetap dirasai seluruh warga universiti.

“Kehadiran ribuan peserta pada malam ini mencerminkan semangat kekeluargaan yang utuh dalam kalangan warga UPSI.

“Kita berhimpun bukan sekadar untuk mengenang, tetapi untuk terus mendoakan agar roh mereka dicucuri rahmat serta keluarga yang ditinggalkan diberikan kekuatan dalam menghadapi ujian ini,” katanya ketika ditemui selepas majlis berkenaan.

Beliau berkata, UPSI akan terus komited memastikan kebajikan keluarga mangsa sentiasa diberi perhatian selain menyediakan sokongan emosi dan psikologi secara berterusan kepada warga universiti yang masih terkesan dengan tragedi terbabit.

Majlis bacaan Yasin, tahlil dan doa selamat itu dipimpin oleh Imam Masjid Al-Mursyidin yang juga mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Tahfiz Al-Quran dan Qiraat UPSI, Muhammad Irfan Mohd Amir.

Suasana sayu menyelubungi majlis apabila sebahagian hadirin, khususnya pelajar, dilihat tidak dapat menahan sebak ketika doa dan bacaan tahlil diperdengarkan.

Kenangan terhadap rakan-rakan yang terkorban dalam nahas berkenaan masih segar dalam ingatan mereka, sekali gus menjadikan majlis tersebut sebagai simbol penghormatan dan tanda kasih yang berterusan.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPSI, Prof Dr. Norkhalid Salimin; Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UPSI, Prof Dr. Raja Nor Safinas Raja Harun; Pendaftar UPSI, Helmi Zaifura Abdul Rahman; Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat UPSI, Prof Dr. Mohd Izwan Shahril serta barisan pengurusan universiti.

Tragedi yang meruntun hati seluruh rakyat Malaysia itu berlaku pada awal pagi 9 Jun 2025 apabila sebuah bas sewa khas yang membawa penuntut UPSI dari Jertih, Terengganu menuju ke kampus utama universiti di Tanjong Malim terbabit dalam kemalangan selepas melanggar sebuah Perodua Alza sebelum terbalik di Gerik, Perak.

Nahas terbabit mengorbankan 15 penuntut UPSI dan menjadi antara tragedi kemalangan jalan raya paling menyayat hati dalam sejarah institusi pendidikan tinggi negara.

Setahun selepas kejadian itu, kehilangan mereka terus dikenang, manakala doa dan penghargaan daripada warga universiti serta masyarakat tidak pernah terhenti.

Penganjuran Majlis Bacaan Yasin dan Tahlil itu sekali lagi membuktikan bahawa semangat kekeluargaan dalam komuniti UPSI kekal utuh, selain menjadi simbol penghormatan berterusan terhadap jasa dan kenangan pelajar yang telah pergi meninggalkan legasi tersendiri dalam sejarah universiti berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Popular