32.3 C
Kuala Lumpur
Wednesday, May 20, 2026

Ikano Centres, Welton lancar projek kediaman RM600 juta di Tebrau

editormaxinfo@gmail.com

JOHOR BAHRU – Ikano Centres mengumumkan kerjasama strategik bersama Welton Group of Companies bagi membangunkan projek kediaman bersepadu baharu dikenali sebagai Habitation Plus+ di destinasi IKEA Tebrau dan Toppen Shopping Centre.

Pembangunan baharu di kawasan Tebrau itu dilihat sebagai langkah penting dalam evolusi Ikano Centres yang kini memperluaskan fokus daripada sektor peruncitan kepada pembangunan bersepadu berorientasikan komuniti dan gaya hidup moden.

Projek berkenaan adalah kesinambungan strategi pengaktifan tanah jangka panjang Ikano Centres di Tebrau sejak syarikat itu memperoleh tapak berkenaan pada tahun 2008.

Fasa awal pembangunan menyaksikan pembukaan IKEA Tebrau pada tahun 2017 sebelum diikuti Toppen Shopping Centre pada tahun 2019 yang kini menjadi antara destinasi gaya hidup utama di selatan tanah air.

Dengan kapasiti pembangunan yang masih tersedia di kawasan Toppen Shopping Centre, Ikano Centres kini melangkah ke fasa seterusnya menerusi pembangunan komponen kediaman bersepadu yang bertujuan memperkukuh lagi ekosistem komuniti di kawasan terbabit.

Kerjasama strategik itu juga mencerminkan visi Ikano Centres untuk meningkatkan kualiti kehidupan harian menerusi pembangunan yang menggabungkan elemen kediaman, peruncitan dan rekreasi dalam satu ekosistem yang saling berhubung.

Permintaan yang semakin meningkat terhadap kediaman mampu milik dan pertengahan dengan akses strategik serta kemudahan lengkap di Johor Bahru turut menjadi antara faktor utama pembangunan projek berkenaan.

Habitation Plus+ dianggarkan mempunyai nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM600 juta dan bakal merangkumi dua menara kediaman yang menawarkan kira-kira 1,230 unit kediaman moden.

Pembangunan itu direka khas untuk memenuhi keperluan kehidupan moden dan pelbagai generasi dengan menampilkan susun atur praktikal serta penggunaan ruang pintar yang fleksibel mengikut perubahan gaya hidup semasa.

Diinspirasikan daripada falsafah reka bentuk fungsional IKEA, setiap unit kediaman dibangunkan dengan penekanan terhadap keselesaan, kepraktisan dan kebolehsuaian untuk jangka panjang.

Pengarah Urusan Ikano Centres, Adrian Mirea berkata, visi syarikat terhadap Tebrau sentiasa tertumpu kepada pembangunan sebuah destinasi yang melangkaui konsep peruncitan semata-mata.

Menurut beliau, sejak pembukaan IKEA Tebrau dan Toppen Shopping Centre, pihaknya terus melaksanakan pelbagai inisiatif pembangunan termasuk penambahan ruang runcit seluas 100,000 kaki persegi, peningkatan keluasan kawasan pembangunan serta penambahbaikan kemudahan akses seperti pembinaan parkir bertingkat.

“Pelaburan ini mencerminkan komitmen jangka panjang kami dalam memperkukuh destinasi ini sebagai sebuah persekitaran yang meriah di mana orang ramai boleh tinggal, beriadah dan berhubung.

“Habitation Plus+ mewakili fasa seterusnya dalam perjalanan ini dengan melengkapkan ekosistem sedia ada menerusi pembangunan kediaman yang disepadukan secara lancar dalam kehidupan harian,” katanya.

Beliau berkata, kerjasama dengan Welton Group of Companies yang terkenal dengan pendekatan pembangunan berteraskan inovasi dan teknologi akan membolehkan kedua-dua pihak menggabungkan kekuatan dalam pembangunan komuniti dan kepakaran kediaman bagi membentuk ekosistem yang benar-benar memberi pengalaman kehidupan moden kepada penduduk.

Sementara itu, Pengasas Bersama dan Pengarah Welton Group of Companies, Thomas Ling berkata, pihaknya teruja dapat bekerjasama dengan Ikano Centres dalam membentuk penanda aras baharu bagi kehidupan bandar di Johor Bahru.

Menurut beliau, projek Habitation Plus+ mencerminkan komitmen syarikat untuk menyediakan kediaman berkualiti tinggi yang mengutamakan fungsi, keselesaan dan kebolehdiaman.

“Diilhamkan oleh falsafah IKEA yang praktikal dan lestari, pembangunan pelbagai guna ini disepadukan secara lancar dengan Toppen Shopping Centre dan IKEA Tebrau.

“Ia menawarkan tahap kemudahan dan kualiti hidup yang unik di Johor Bahru sambil meningkatkan lagi persekitaran bandar di sekitarnya,” katanya.

Terletak bersebelahan IKEA Tebrau dan Toppen Shopping Centre, pembangunan itu bakal menjadi sebahagian daripada hab gaya hidup sedia ada yang menawarkan akses mudah ke laluan utama serta pelbagai kemudahan persekitaran.

Penduduk juga dijangka menikmati rangkaian ruang komuniti yang direka khas bagi menggalakkan interaksi sosial dan keseimbangan gaya hidup menerusi kemudahan seperti pusat kesejahteraan, ruang sosial dan zon kerja bersama.

Habitation Plus+ turut dirancang sebagai sebuah kawasan yang saling berhubung di mana elemen kehidupan, rekreasi dan peruncitan digabungkan dalam satu pembangunan moden dan dinamik.

Selain itu, lokasi strategik pembangunan di sepanjang laluan utama Tebrau dijangka memudahkan akses pejalan kaki dan kenderaan sekali gus mengukuhkan lagi peranannya sebagai sebahagian daripada ekosistem pembangunan bandar moden Johor Bahru.

Ikano Centres ketika ini mengendalikan beberapa destinasi utama di Malaysia dan Thailand termasuk IPC Shopping Centre, MyTOWN Shopping Centre, Toppen Shopping Centre, Klippa di Batu Kawan serta Megabangna di Bangkok.

Sementara itu, Welton Group of Companies pula dikenali menerusi pelbagai pembangunan hartanah berprofil tinggi termasuk Green Haven dan Orion Residence yang mengukuhkan reputasi syarikat sebagai antara pemaju hartanah dipercayai di Malaysia.

Kedua-dua pihak turut menegaskan komitmen mereka terhadap prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dalam memastikan pembangunan mampan yang mampu memberi manfaat jangka panjang kepada komuniti dan persekitaran bandar.

ARTIKEL BERKAITAN

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Popular