32.7 C
Kuala Lumpur
Tuesday, May 19, 2026

Laluan baharu pelajar Tahfiz ke IPTA perkasa pendidikan tinggi

editormaxinfo@gmail.com

SEPANG – Keputusan kerajaan membuka laluan kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) kepada pelajar tahfiz yang tidak memiliki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sepenuhnya disifatkan sebagai langkah progresif dalam memperluaskan akses pendidikan tinggi negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia, Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran berkata, inisiatif berkenaan membolehkan pelajar tahfiz memohon kemasukan ke IPTA dengan syarat lulus mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah selain memenuhi syarat tambahan yang ditetapkan mengikut kursus serta institusi yang dipohon.

Menurut beliau, langkah itu membuka peluang lebih luas kepada pelajar tahfiz untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi sekali gus meningkatkan prospek kerjaya mereka pada masa depan.

Katanya, sebelum ini ramai pelajar tahfiz berdepan kekangan untuk menyambung pengajian ke universiti awam kerana tidak memiliki kelayakan SPM sepenuhnya.

“Keputusan kerajaan ini memberikan sinar baharu kepada ribuan pelajar tahfiz di seluruh negara yang sebelum ini tidak mempunyai ruang untuk menyambung pengajian ke IPTA.

“Ini adalah satu peluang keemasan yang perlu dimanfaatkan sebaik mungkin oleh pelajar tahfiz kerana kerajaan sudah membuka ruang yang besar kepada mereka untuk membina masa depan lebih baik melalui pendidikan tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas pengumuman kerajaan berhubung kelonggaran syarat kemasukan ke universiti awam bagi pelajar tahfiz yang diumumkan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof Datuk Dr Azlinda Azman, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Mohammad Shatar berkata universiti awam disaran mengenal pasti beberapa program dan kursus yang bersesuaian dengan latar belakang pelajar tahfiz bagi memastikan mereka dapat mengikuti pengajian dengan baik serta memenuhi keperluan pasaran pekerjaan semasa.

Menurut beliau, langkah itu bukan sahaja memberi manfaat kepada pelajar, malah mampu melahirkan lebih ramai graduan tahfiz yang mempunyai keseimbangan antara ilmu akademik dan pendidikan agama.

“Apabila lebih ramai pelajar tahfiz berjaya memasuki universiti, secara langsung ia membantu memperkukuh pembangunan modal insan negara yang mempunyai nilai, akhlak dan kompetensi profesional.

“Peluang ini juga mampu meningkatkan kebolehpasaran graduan tahfiz serta membuka lebih banyak ruang pekerjaan kepada mereka pada masa akan datang,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berharap pusat tahfiz di seluruh negara dapat memainkan peranan lebih aktif dengan menggalakkan pelajar masing-masing merebut peluang yang disediakan kerajaan.

Katanya, pihak pengurusan institusi tahfiz perlu memberi pendedahan awal kepada pelajar mengenai syarat kemasukan dan laluan pengajian yang tersedia supaya mereka lebih bersedia untuk melanjutkan pelajaran ke IPTA.

“Diharap lebih ramai pelajar tahfiz akan tampil memohon kemasukan ke universiti dan mematuhi syarat yang telah ditetapkan.

“Peluang seperti ini tidak harus disia-siakan kerana mampu mengubah masa depan pelajar tahfiz serta memberikan impak positif kepada pembangunan pendidikan negara secara keseluruhannya,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Popular