editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Malaysia bakal mencipta sejarah tersendiri dalam dunia hiburan dan seni persembahan apabila menjadi tuan rumah buat julung kalinya bagi “Disney’s The Lion King Live in Concert”, sebuah persembahan bertaraf antarabangsa yang menggabungkan tayangan filem ikonik Disney bersama iringan muzik secara langsung oleh orkestra penuh 72 pemuzik.
Persembahan istimewa itu akan berlangsung pada 13 Jun 2026 di Dewan Plenari KLCC menerusi kerjasama antara Istana Budaya dan Orkestra Simfoni Kebangsaan Malaysia (NSO) sempena kempen Visit Malaysia 2026.
Acara yang dibawakan oleh Milestone Production itu bakal menghidupkan semula mahakarya animasi Disney tahun 1994 dalam format “film-to-live concert” yang menawarkan pengalaman sinematik imersif kepada penonton.
Pengumuman rasmi mengenai konsert berprestij itu turut menampilkan persembahan yang bakal dipimpin Konduktor Residen NSO, Eric Lee yang telah diiktiraf serta diluluskan oleh Disney Concerts kerana kecemerlangan teknikal dan keupayaannya memenuhi standard persembahan antarabangsa.

Menerusi persembahan berkenaan, penonton akan menyaksikan keseluruhan filem The Lion King dipaparkan di skrin gergasi sambil diiringi skor muzik secara langsung yang dimainkan seiring oleh orkestra penuh, sekali gus memberikan pengalaman audio visual yang lebih mendalam dan emosional.
Konsert ini turut menghidupkan karya ikonik daripada barisan komposer dan penulis lagu terkenal dunia termasuk Hans Zimmer, Elton John, Tim Rice serta Lebo M yang menjadi antara elemen penting dalam kejayaan runut bunyi filem berkenaan.
Menurut Eric Lee, persembahan secara langsung bersama orkestra memberikan pengalaman yang jauh berbeza berbanding sekadar mendengar rakaman biasa kerana penonton dapat merasai sendiri tenaga, emosi dan keindahan bunyi muzik secara langsung di pentas.
“Dengan skor ikonik karya Hans Zimmer, penonton dapat menghayati kekayaan orkestrasi serta keharmonian muzik yang menjadikan runut bunyi The Lion King antara yang paling diingati sepanjang zaman,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Bahagian Produksi Istana Budaya, Hanida berkata, penglibatan Istana Budaya dalam persembahan itu selari dengan komitmen institusi itu dalam memperkukuh pembangunan seni persembahan negara ke peringkat lebih tinggi.
Menurut beliau, kerjasama bertaraf antarabangsa seperti ini penting dalam memastikan ekosistem budaya dan seni Malaysia terus berkembang secara mampan.

Sejak ditayangkan buat pertama kali oleh Walt Disney Animation Studios pada tahun 1994, The Lion King terus menjadi antara filem animasi paling berpengaruh di dunia menerusi kisah penuh emosi mengenai keberanian, kasih sayang dan takdir kehidupan.
Lagu-lagu ikonik seperti Circle of Life, Hakuna Matata dan Can You Feel the Love Tonight dijangka menjadi antara momen paling dinantikan penonton sepanjang persembahan berlangsung.
Pengarah Urusan Milestone Production, Dato’ Grace Lee berkata, penganjuran konsert berkenaan bertepatan dengan usaha mempromosikan Malaysia sebagai destinasi hiburan keluarga bertaraf antarabangsa sempena Visit Malaysia 2026.

Beliau berkata, promosi persembahan itu turut diperluaskan ke beberapa negara jiran termasuk Singapura, Thailand, Vietnam dan Indonesia bagi menarik lebih ramai pelancong serantau hadir ke Malaysia.
Tiket bagi “Disney’s The Lion King Live in Concert” kini mula dijual dengan harga bermula RM168, manakala pemegang kad UOB turut menikmati diskaun sehingga 20 peratus tertakluk kepada terma dan syarat.
Konsert terbabit akan berlangsung pada 13 Jun 2026 dengan dua sesi persembahan iaitu jam 2.30 petang dan 8 malam di Dewan Plenari KLCC.
Maklumat lanjut dan pembelian tiket boleh dibuat menerusi Milestone Entertainment.

