editormaxinfo@gmail.com
NILAI – TV AlHijrah terus memperkukuh kedudukannya sebagai peneraju media Islam negara menerusi pelancaran rasmi Akademi Seni Media Islam (ASMI), sebuah inisiatif strategik yang diwujudkan bagi melahirkan generasi baharu pemain industri media berteraskan nilai Islam serta berdaya saing dalam era digital.
Majlis pelancaran yang berlangsung di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai itu telah disempurnakan oleh Senator Dr. Zulkifli Hasan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).
Turut hadir ialah Yang Amat Mulia Tunku Zain Al-’Abidin ibni Tuanku Muhriz, Pro-Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), selain barisan kepimpinan TV AlHijrah, wakil institusi pengajian tinggi, pemain industri kreatif dan rakan strategik.
Pelancaran ASMI dilihat sebagai satu langkah signifikan dalam memperkukuh agenda pembangunan modal insan negara khususnya dalam sektor seni, media dan komunikasi Islam yang progresif, moden serta relevan dengan keperluan semasa industri penyiaran dan digital.

Sebagai stesen televisyen Islam pertama negara, TV AlHijrah terus konsisten memainkan peranan penting dalam memimpin naratif kandungan berteraskan ilmu, hikmah dan pembangunan masyarakat.
Penubuhan ASMI sekali gus mengukuhkan lagi peranan TV AlHijrah bukan sahaja sebagai penyedia kandungan berkualiti, malah sebagai institusi yang aktif mencorakkan masa depan ekosistem kreatif Muslim melalui pendidikan, latihan dan inovasi industri media.
ASMI dibangunkan sebagai platform latihan strategik yang memberi fokus kepada pembangunan bakat media dalam kalangan asatizah, pelajar institusi pengajian tinggi, golongan belia serta bakat baharu yang berpotensi menjadi pemain industri media dan komunikasi Islam pada masa hadapan.

Melalui akademi ini, peserta akan diberikan pendedahan menyeluruh merangkumi latihan komunikasi Islam, penerbitan kandungan, pengacaraan televisyen, media digital, strategi dakwah, pembinaan personaliti penyiaran serta kemahiran penyampaian berkesan yang selari dengan kehendak landskap media moden masa kini.
Dalam masa sama, penubuhan ASMI turut mencerminkan sinergi strategik antara TV AlHijrah dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dalam menggabungkan kekuatan industri dan kepakaran akademia bagi melahirkan tenaga kerja yang kompeten, berintegriti serta bersedia mendepani cabaran dunia media digital yang semakin berkembang pesat.
Peserta program juga bakal didedahkan kepada ekosistem pembelajaran holistik yang bukan sahaja menekankan aspek teknikal dan kreatif, malah melibatkan pembangunan pemikiran strategik, nilai kepimpinan dan kefahaman mendalam terhadap peranan dakwah dalam penyiaran moden.

Inisiatif itu sekali gus membuka peluang lebih luas kepada bakat-bakat baharu untuk tampil sebagai pencipta kandungan, personaliti media dan penyampai mesej Islam yang mampu memberikan impak positif merentasi platform televisyen dan digital.
Pelancaran ASMI turut selari dengan aspirasi TV AlHijrah untuk terus menerajui pembangunan kandungan Islam berimpak tinggi serta memperluaskan fungsi institusi media sebagai agen pembinaan ummah, penyatuan masyarakat dan pencetus perubahan positif negara.
TV AlHijrah juga komited menjadikan ASMI sebagai institusi rujukan utama dalam pembangunan bakat media Islam di Malaysia dan rantau ini, sekali gus mengangkat Malaysia sebagai hab media Islam progresif serantau yang disegani di peringkat antarabangsa.

