editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) menggesa Kerajaan Malaysia khususnya Kementerian Dalam Negeri (KDN) agar mempertimbangkan pengeluaran Kad Pengenalan Pemastautin Sementara (MyKas) kepada individu berstatus stateless sebagai langkah penyelesaian kemanusiaan yang telah lama tertangguh.
Setiausaha Agung MHO, Dato’ Hishamuddin Hashim berkata, organisasi yang ditubuhkan sejak tahun 2016 itu kekal komited dalam memperjuangkan hak asasi manusia melalui pelbagai inisiatif bantuan kemanusiaan dan khidmat guaman, termasuk memberi perhatian serius terhadap isu stateless yang semakin mendapat perhatian masyarakat.
Menurut beliau, kewujudan individu tanpa kewarganegaraan di Malaysia bukan lagi perkara baharu, malah sering dibangkitkan di media sosial dan sidang akhbar, sekali gus menjadikan isu terbabit sebagai antara cabaran sosial yang memerlukan penyelesaian segera.
Lebih membimbangkan, terdapat sebilangan individu stateless yang menetap di dalam negara tanpa sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.
“Situasi ini bukan sahaja menimbulkan persoalan dari sudut kebajikan dan hak asasi individu, tetapi turut memberi implikasi kepada aspek pentadbiran serta keselamatan negara.
“Ketiadaan identiti yang sah menyukarkan kehidupan golongan ini, di samping menyukarkan pihak berkuasa dalam proses pemantauan dan penguatkuasaan,” katanya dalam satu sidang media, hari ini.
Sehubungan itu, MHO memohon agar KDN mengambil langkah lebih menyeluruh dan berkesan bagi menangani isu berkenaan, termasuk mempertimbangkan penambahbaikan terhadap mekanisme sedia ada di bawah Jabatan Pendaftaran Negara Malaysia.
Cadangan itu membabitkan kelonggaran syarat bagi permohonan MyKas yang dikeluarkan di bawah Peraturan 5(3), Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990.
Namun begitu, MHO berkata, pelaksanaan cadangan itu perlu disertakan dengan kawalan ketat seperti saringan keselamatan menyeluruh, pengambilan data biometrik serta pemantauan berkala oleh agensi penguatkuasaan.
Menurut MHO, langkah ini bukan bertujuan memberikan kewarganegaraan secara automatik, sebaliknya sebagai mekanisme pentadbiran untuk memastikan setiap individu mempunyai identiti yang boleh direkod dan dikesan.
Dalam pada itu, MHO turut mencadangkan agar pelaksanaan inisiatif ini membabitkan kerjasama strategik antara agensi utama seperti Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Imigresen Malaysia dan Polis Diraja Malaysia bagi memastikan keberkesanan sistem serta mengelakkan sebarang penyalahgunaan.
Mengulas lanjut, MHO berpandangan bahawa ketiadaan dokumen pengenalan diri dalam kalangan individu stateless berpotensi membuka ruang kepada aktiviti jenayah termasuk jenayah rentas sempadan, selain menyukarkan proses pengesanan sekiranya berlaku sebarang kesalahan.
Oleh itu, sistem pengenalpastian yang lebih tersusun dan inklusif dilihat mampu mengurangkan risiko terbabit secara signifikan.
MHO turut menyifatkan cadangan ini sebagai penyelesaian jangka sederhana yang praktikal dan seimbang, sementara kerajaan meneliti pendekatan jangka panjang bagi menangani isu stateless secara menyeluruh.

Pendekatan ini juga dilihat selari dengan prinsip kemanusiaan, di samping memperkukuh keselamatan serta kedaulatan undang-undang negara.
Mengimbas usaha terdahulu, MHO memaklumkan bahawa cadangan berkaitan pengeluaran dokumen pengenalan kepada golongan stateless pernah diketengahkan sekitar Februari dan Jun 2022 oleh beberapa pemimpin negara termasuk bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Jeffrey Kitingan serta bekas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.
Cadangan itu membabitkan pengenalan kad warga asing bagi individu yang telah lama menetap di Malaysia tanpa kewarganegaraan, namun masih belum mencapai penyelesaian yang diharapkan.
Dalam perkembangan berkaitan, MHO turut mengambil maklum sokongan yang diberikan oleh ADUN Kuamut Sabah, Datuk Masiung Banah terhadap cadangan memperkenalkan MyKas kepada golongan stateless dan pendatang tanpa izin (PTI) di Sabah.
Beliau berpendapat langkah itu bukan sahaja membolehkan mereka bekerja secara sah dan menyumbang kepada ekonomi negeri, malah mampu mengurangkan aktiviti pekerjaan tanpa dokumen serta menurunkan kadar jenayah yang berpunca daripada tekanan ekonomi.
Selain itu, kehadiran golongan ini juga dilihat telah lama mengisi kekosongan tenaga kerja dalam sektor perladangan dan pembuatan yang kurang mendapat sambutan dalam kalangan pekerja tempatan.
Dalam masa sama, cadangan supaya mereka menyumbang kepada hasil negeri melalui sistem percukaian turut dilihat sebagai langkah yang mampu memberi manfaat kepada ekonomi negara.
Menurut MHO, sekiranya cadangan terdahulu tidak dapat dilaksanakan sepenuhnya, kerajaan masih boleh memanfaatkan sistem sedia ada dengan memperkukuh usaha pengumpulan serta pengesahan data individu stateless melalui sistem pendaftaran yang lebih tersusun dan bersepadu.
Pendekatan sedemikian bukan sahaja membantu dalam aspek pemantauan dan kawalan oleh pihak berkuasa, malah memberi peluang kepada golongan stateless untuk mendapatkan perlindungan asas yang sewajarnya, selaras dengan prinsip kemanusiaan yang menekankan hak setiap individu untuk diiktiraf dan dilindungi.
Sehubungan itu, MHO menyeru agar Kerajaan Malaysia, khususnya Kementerian Dalam Negeri, meneliti cadangan yang dikemukakan secara serius dan berhemah.
Isu stateless, bukan sekadar isu kemanusiaan semata-mata, tetapi turut membabitkan aspek keselamatan, kestabilan sosial serta kedaulatan undang-undang negara.
MHO dalam masa sama menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan kerajaan dan agensi berkaitan dalam mencari penyelesaian terbaik yang bersifat inklusif, proaktif dan berimbang demi kepentingan negara serta kesejahteraan semua pihak.

