27.9 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 23, 2026

Buakaw vs Gaofeng gegar Titiwangsa, pertarungan epik T-Fight All Star 2026 jadi tumpuan

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Stadium Titiwangsa dijangka bergema dengan sorakan peminat apabila kejohanan T-Fight All Star 2026 menghimpunkan barisan petarung elit Muay Thai dari seluruh dunia dalam aksi penuh adrenalin pada esok, 24 April.

Kejohanan berprestij itu bakal menyaksikan penyertaan atlet dari pelbagai negara termasuk Malaysia, Thailand, China, Indonesia, Kemboja, Uganda dan Maghribi, sekali gus menjadikannya antara pentas pertarungan Muay Thai paling dinanti-nantikan di rantau ini.

Tumpuan utama sudah pasti terarah kepada kemunculan legenda Muay Thai dunia, Buakaw Banchamek yang akan beraksi dalam perlawanan utama kategori 70 kilogram.

Lebih mencuri perhatian, beliau dijadualkan berdepan pencabar muda dari China, Meng Gaofeng dalam pertarungan yang dijangka berlangsung sengit dan berintensiti tinggi.

Gaofeng, 28, hadir dengan rekod menggerunkan apabila mencatat 33 kemenangan daripada 45 pertarungan profesional, termasuk sembilan kemenangan secara knockout.

Pertembungan ini bukan sahaja mempertemukan dua gaya bertarung berbeza, malah dilihat sebagai ujian terbesar buat Gaofeng untuk menumbangkan legenda yang telah lama mendominasi arena Muay Thai dunia.

Pegawai Pemasaran T Fight, Mohd Khairul Hafiz Hassan berkata, persiapan kejohanan kini berada pada tahap hampir sempurna menjelang hari pertarungan.

Menurut beliau, setakat ini persiapan telah mencapai kira-kira 80 peratus dengan semua proses berjalan lancar termasuk sesi timbang berat yang disaksikan bersama Persatuan Muaythai Malaysia.

Tambahnya, pihak penganjur kini giat melakukan persiapan akhir termasuk raptai penuh bagi memastikan kelancaran acara pada malam kejohanan.

Sambutan terhadap T-Fight All Star 2026 juga amat memberangsangkan apabila jualan meja telah habis, manakala tiket yang berbaki dianggarkan sekitar 300 keping sahaja.

“Harga tiket bermula dari RM185 hingga RM285 dan kami turut menyediakan siaran langsung berbayar pada harga RM19 bagi peminat yang tidak dapat hadir ke stadium,” katanya.

Dalam masa sama, beliau berkata, penganjuran kejohanan ini bukan sekadar hiburan semata-mata, sebaliknya menjadi platform penting dalam usaha mengangkat sukan Muay Thai ke tahap lebih tinggi di Malaysia, selain merangsang industri pelancongan sukan dan ekonomi tempatan.

Sementara itu, Buakaw mengakui teruja untuk beraksi di Malaysia buat kali pertama dalam perlawanan rasmi, sambil menyifatkan peluang berkenaan sebagai ruang untuk menghiburkan peminat tempatan.

Katanya, beliau akan memberikan persembahan terbaik bagi memastikan penonton menikmati aksi pertarungan yang berkualiti tinggi.

Legenda dari Thailand itu berkata, setiap pertarungan memerlukan persiapan rapi dan beliau kini berada dalam keadaan terbaik untuk menghadapi cabaran getir daripada lawannya.

Dalam pada itu, Gaofeng pula tidak gentar dengan reputasi besar lawannya, sebaliknya tampil penuh keyakinan untuk mencipta kejutan.

Beliau telah membuat persiapan lebih sebulan dan kini berada pada tahap terbaik menjelang pertarungan berkenaan.

Meskipun menyedari statusnya sebagai ‘underdog’, Gaofeng percaya sokongan daripada pasukan dan keluarga menjadi pembakar semangat untuk membuktikan keupayaannya di pentas antarabangsa, sekali gus berazam untuk memberikan saingan sengit kepada legenda Muay Thai itu.

Pertarungan ini dijangka menjadi antara aksi paling dinanti dalam kalendar sukan tempatan, dengan peminat berpeluang menyaksikan pertembungan dua generasi dan gaya bertarung yang berbeza dalam satu malam penuh debaran di ibu negara.

ARTIKEL BERKAITAN

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Popular