27.9 C
Kuala Lumpur
Monday, April 20, 2026

Ringgit terbaik Asia dua tahun berturut-turut, ekonomi Malaysia terus kukuh – Anwar Ibrahim

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Ringgit Malaysia terus mengukuhkan kedudukannya di peringkat serantau apabila diiktiraf sebagai mata wang berprestasi terbaik di Asia selama dua tahun berturut-turut.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pencapaian itu mencerminkan asas ekonomi negara yang semakin kukuh dengan pertumbuhan yang mampan, disokong oleh peningkatan pelaburan serta keyakinan berterusan daripada pasaran global terhadap Malaysia.

Menurutnya, dalam tempoh 10 bulan kebelakangan ini, negara turut mencatatkan aliran masuk dana global yang memberangsangkan apabila pelabur antarabangsa membeli bon Malaysia bernilai kira-kira AS$2 bilion (RM9.5 bilion), sekali gus menjadi antara rekod aliran masuk tertinggi.

Anwar berkata, ketidaktentuan geopolitik termasuk konflik di Asia Barat memberi kesan kepada pasaran global, khususnya dari segi kenaikan harga tenaga serta aliran keluar modal dari beberapa negara.

Namun begitu, Malaysia dilihat mampu mengekalkan daya tarikannya apabila dalam beberapa minggu kebelakangan ini, pelabur global kembali meningkatkan pegangan dalam bon tempatan.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2026 yang berlangsung di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) yang turut dihadiri Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, ekonomi Malaysia mencatat pertumbuhan sebanyak 5.2 peratus pada tahun lalu dengan nilai pelaburan tertinggi pernah direkodkan, didorong oleh sektor utama seperti pembuatan, semikonduktor dan aeroangkasa.

Katanya, kejayaan itu adalah hasil komitmen berterusan kerajaan dalam melaksanakan reformasi dasar serta memperkukuh penglibatan dengan syarikat dan pengurus dana antarabangsa.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut menekankan keupayaan industri tempatan dalam sektor pertahanan yang semakin berkembang, khususnya dalam bidang aeroangkasa dan semikonduktor yang memainkan peranan penting dalam pengujian serta pembungkusan cip bagi sistem keselamatan moden.

Menurutnya, beberapa syarikat tempatan kini berjaya mencapai status pembekal Tier 1 kepada pengeluar enjin aero global terkemuka, sekali gus membuktikan keupayaan Malaysia dalam menghasilkan komponen berteknologi tinggi.

Pencapaian ini mencerminkan budaya ketepatan dan akauntabiliti tinggi dalam kalangan industri tempatan yang turut diterapkan dalam sektor aeroangkasa pertahanan negara.

ARTIKEL BERKAITAN

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Popular