editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Filem aksi tempatan yang dinanti-nantikan, TARUNG: Unforgiven, melangkah ke fasa promosi seterusnya dengan pelancaran treler rasmi yang menjanjikan gabungan aksi berintensiti tinggi dan emosi mendalam menjelang tayangan di pawagam seluruh negara bermula 7 Mei ini.
Selepas ‘first look’ yang mencetuskan perbualan hangat di media sosial, treler berdurasi satu minit 45 saat itu memberikan gambaran lebih jelas tentang dunia MARGA, sebuah organisasi elit yang menjadi latar utama penceritaan filem ini.
Treler berkenaan dibuka dengan konflik perebutan kuasa dalam organisasi itu sebelum membawa penonton menyaksikan babak pertarungan sengit antara watak Hatta lakonan Mierul Aiman dan Isa yang dibawakan oleh Aedy Ashraf.
Visual yang realistik, koreografi aksi yang mantap serta konflik emosi yang tegang menjadikan filem ini bukan sekadar hiburan aksi, tetapi turut sarat dengan tema penebusan dan harga sebuah kesilapan.
Filem arahan Razaisyam Rashid ini turut menampilkan barisan pelakon terkenal seperti Zul Ariffin, Bront Palarae, Amir Ahnaf, Azira Shafinaz, Sharifah Sakinah, Aeril Zafrel serta beberapa lagi nama besar industri perfileman tempatan.

Menurut Razaisyam, treler yang dilancarkan hanyalah sebahagian kecil daripada keseluruhan pengalaman sinematik yang dibina dalam filem terbabit, dengan banyak elemen sengaja tidak didedahkan bagi memberi impak lebih mendalam kepada penonton di layar perak.
Sementara itu, Aedy Ashraf yang turut bertindak sebagai penerbit dan penerbit eksekutif menyifatkan penglibatannya dalam keseluruhan proses penerbitan sebagai pengalaman yang sangat bermakna.
Beliau turut merakamkan penghargaan terhadap sokongan penonton selepas teaser filem itu mencatat lebih sejuta tontonan dalam tempoh singkat.
Treler rasmi ini dilancarkan dalam Majlis Rumah Terbuka Hari Raya filem berkenaan yang berlangsung di Banglo 289, Kuala Lumpur dengan kehadiran barisan pelakon, penerbit, pengarah serta wakil media dan pemamer.
Dalam usaha memperkukuh promosi, pihak penerbit Alpha47 dengan kerjasama Icon Pictures dan Astro Shaw turut merancang beberapa inisiatif pemasaran termasuk tayangan awal bermula 6 Mei serta siri jelajah bersama barisan pelakon di beberapa lokasi terpilih di seluruh negara.
Selain itu, kolaborasi strategik turut dijalinkan bersama pelbagai rakan jenama bagi mendekatkan pengalaman filem kepada peminat.

Antaranya termasuk kerjasama dengan platform tiket digital Wetix yang menawarkan pakej eksklusif serta merchandise edisi terhad, selain kolaborasi bersama Kunafa Aiwahhh yang memperkenalkan menu khas diinspirasikan daripada filem ini.
Dari aspek muzik, TARUNG: Unforgiven menampilkan dua runut bunyi utama iaitu lagu ‘Test’ nyanyian kumpulan Distorted serta lagu ‘Terbang’ yang dibawakan oleh Noh Salleh, yang mengangkat tema persaudaraan, pengorbanan dan kemaafan.
Filem ini mengisahkan perjalanan seorang bekas juara silat yang diburu masa silam akibat satu tragedi hitam, sehingga memaksanya bertarung dalam gelanggang haram demi menyelamatkan kakaknya.
Namun, konflik memuncak apabila lawan yang dihadapinya adalah individu yang pernah rapat dengannya suatu ketika dahulu.
Dengan gabungan aksi mendebarkan dan jalan cerita yang penuh emosi, TARUNG: Unforgiven dijangka menjadi antara naskhah tempatan terbesar tahun ini serta mampu menarik perhatian penonton di pawagam seluruh negara.

