31.3 C
Kuala Lumpur
Friday, April 17, 2026

JABAT ERAT 2026: Festival seni indie antarabangsa gegar ODEON KL

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Penganjuran JABAT ERAT (Festival Kesenian Fringe) yang dijadual berlangsung pada Jun ini dijangka mencetuskan gelombang baharu dalam industri seni tanah air apabila ia tampil bukan sekadar sebagai festival, sebaliknya sebagai sebuah gerakan budaya yang meraikan ekspresi seni sepanjang tahun.

Dianjurkan oleh Rockstation Event & Entertainment Sdn. Bhd., JABAT ERAT membawa pendekatan unik berteraskan semangat “Do-It-Yourself” (D.I.Y) yang mengangkat kebebasan berkarya dalam kalangan penggiat seni.

Festival ini merangkumi pelbagai aspek termasuk pengeluaran rekod seperti vinil, kaset dan CD, penghasilan merchandise, siri jelajah band serta keseluruhan ekosistem pengurusan seni yang diusahakan secara independen.

Pengarah Urusan Rockstation Event & Entertainment Sdn. Bhd., Mozylir Mokhtarudin berkata, JABAT ERAT diwujudkan sebagai hab rangkaian yang menyatukan komuniti seni dari Malaysia, Asia Tenggara dan peringkat global.

Menurut beliau, festival ini menghimpunkan pelbagai pihak dalam industri termasuk penganjur bebas, pemilik venue, peminat muzik, kumpulan band, label rakaman serta artis baharu dan veteran dalam pelbagai genre muzik rock and roll.

“Acara ini akan berlangsung di ODEON KL kerana matlamat kami adalah untuk menjadikan lokasi ini sebagai pusat budaya Fringe Arts yang inklusif, selamat dan berteraskan komuniti, khususnya dalam kalangan belia, namun tetap mengekalkan elemen ‘raw’ yang autentik,” katanya.

Tambah beliau, JABAT ERAT juga berperanan sebagai platform untuk menghidupkan semula semangat peminat muzik dan budaya, selain membuka ruang kepada bakat tempatan untuk diketengahkan ke peringkat antarabangsa.

Lebih 20 artis tempatan dan antarabangsa dijangka memeriahkan festival ini, antaranya Yellow Fang dari Thailand, Dom 65 dari Indonesia, Megumi Acorda dari Filipina serta Coaltar of the Deepers dari Jepun.

Turut serta ialah barisan artis tempatan seperti Faye Faire, Bayangan, Hawa, Tripping Haze Ceremony, Quarter Life, Dogtooth, The Garrison, The World Ends With You, Speedwitches, Swindle, Playburst, Man Dead Set, Soft, Pogowolves, Viona, The Impatient Sisters, Amrita Soon, Women & Children, Leaism dan Straw Lim yang mewakili pelbagai genre termasuk rock, punk, shoegaze, metal dan indie.

Mozylir berkata, festival ini bukan sahaja memberi hiburan, tetapi juga berfungsi sebagai platform perkongsian ilmu antara penggiat seni tempatan dan antarabangsa, khususnya dalam konteks realiti kehidupan band indie yang menjelajah dari satu lokasi ke lokasi lain.

Katanya lagi, JABAT ERAT membuka ruang kepada perniagaan tempatan dan perusahaan independen untuk turut serta, sekali gus merancakkan ekonomi kreatif di peringkat akar umbi.

Festival JABAT ERAT akan berlangsung selama tiga hari bermula Jumaat, 5 Jun hingga Ahad, 7 Jun 2026 di ODEON KL.

Tiket pra-jualan ditawarkan pada harga RM118, RM178 dan RM218, manakala jualan umum bermula pada RM138 hingga RM238.

Dalam perkembangan berkaitan, penganjuran festival ini turut menyaksikan kerjasama strategik antara ODEON KL dan LOKÉT MY sebagai rakan rasmi tiket.

LOKÉT, yang juga platform pengurusan acara dan penyedia tiket terkemuka, akan memainkan peranan penting dalam memperkukuhkan infrastruktur hiburan serta meningkatkan pengalaman pengunjung.

Sementara itu, Pengarah ODEON KL, Zarimah Mohamed berkata, kerjasama ini bertujuan membangunkan ekosistem industri kreatif yang lebih mampan melalui integrasi teknologi, sokongan kepada penganjur serta penambahbaikan pengalaman penonton.

Menurut beliau, sinergi antara kedua-dua pihak bukan sahaja tertumpu kepada jualan tiket, malah merangkumi usaha jangka panjang untuk memperkasa industri kreatif melalui penggunaan teknologi pengurusan acara yang canggih serta analitik data bagi memahami keperluan dan kehendak penonton dengan lebih mendalam.

“Melalui kolaborasi ini, kami komited untuk memastikan setiap acara yang dianjurkan mampu memberikan pengalaman yang lancar, efisien dan bermakna kepada semua pihak, termasuk pengunjung dan penggiat industri,” katanya.

Orang ramai yang berminat boleh mendapatkan tiket secara dalam talian menerusi laman rasmi festival www.jabaterat.com.my.

ARTIKEL BERKAITAN

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Popular