30.9 C
Kuala Lumpur
Saturday, May 9, 2026

Kolaborasi dengan Giant Malaysia, Shiha Zikir hidupkan nostalgia Aidilfitri menerusi lagu Raya ‘Memori Raya’

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Penyanyi popular Shiha Zikir kembali memeriahkan sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini dengan pelancaran lagu raya terbaharu berjudul Memori Raya yang membawa nuansa nostalgia dan kenangan manis bersama keluarga.

Lagu itu adalah hasil kolaborasi antara Shiha Zikir Empire dan Giant Malaysia, sekali gus meneruskan kerjasama mereka selepas kejayaan lagu Tum Tum Raya yang dilancarkan pada tahun lalu.

Melalui karya baharu ini, Shiha cuba membawa pendengar mengimbau kembali memori lama yang sering dikaitkan dengan suasana Aidilfitri.

Menurut Shiha, walaupun lagu ini tampil dengan melodi yang ceria dan mudah diingati, liriknya sebenarnya sarat emosi kerana mengangkat kenangan indah ketika menyambut Hari Raya bersama insan tersayang.

“Lagu ini membawa pendengar kembali kepada kenangan lama ketika menyambut Hari Raya.

“Apabila saya memperdengarkan lagu ini kepada keluarga, ramai yang tersentuh walaupun melodinya rancak. Mungkin kerana liriknya membuatkan kita teringat kembali memori lama,” katanya.

Lagu “Memori Raya” dihasilkan bersama komposer Iqie Hugh dan John Jeeves yang berjaya menyiapkan karya terbabit dalam tempoh yang agak singkat mengikut konsep yang diinginkan oleh Shiha.

Penyanyi berusia 37 tahun itu berkata, sebelum ini dia sudah banyak menghasilkan lagu raya berentak tradisional dan joget, namun kali ini dia mahu tampil dengan pendekatan yang lebih segar dan moden tanpa menghilangkan elemen nostalgia yang menjadi jiwa sambutan Aidilfitri.

Mengulas mengenai mesej yang ingin disampaikan, Shiha berkata, ia berkisar tentang kenangan pulang ke kampung halaman, bertemu ibu bapa serta meluangkan masa bersama keluarga ketika membuat persiapan menyambut Syawal.

Walaupun tema berkenaan sering dikaitkan dengan lagu raya, beliau percaya kenangan seperti itu tetap dekat dengan hati masyarakat.

“Walaupun kedengaran agak klise, lagu ini sebenarnya tentang bagaimana kita semua akan teringat kenangan di kampung, bertemu keluarga dan saudara-mara apabila tibanya musim perayaan,” katanya.

Menariknya, idea menghasilkan lagu ini tercetus secara spontan ketika bulan Ramadan dan keseluruhan proses pembikinannya dilakukan dalam tempoh yang agak singkat.

Walaupun begitu, Shiha tetap memastikan setiap aspek penghasilan berjalan lancar.

“Saya gembira dapat bekerjasama dengan Giant Malaysia dalam menjayakan projek ini walaupun semuanya dirancang dalam masa yang singkat,” katanya.

Selain lagu, pembikinan video muzik “Memori Raya” turut memberikan pengalaman unik apabila Shiha mengajak beberapa individu yang tidak dikenali melalui media sosial untuk turut serta dalam penggambaran lagu itu.

“Saya memilih beberapa orang melalui media sosial untuk datang dan merasai sendiri pengalaman berada di set penggambaran video muzik.

“Saya juga mahu berkenalan dengan orang baharu. Mereka semua sangat teruja walaupun penggambaran mengambil masa agak panjang,” katanya.

Menurut Shiha, pengalaman itu sangat bermakna kerana mereka bersama-sama mencipta kenangan baharu yang selari dengan konsep lagu tersebut iaitu mencipta “Memori Raya”.

Sementara itu, pihak Giant Malaysia menyifatkan kerjasama dengan Shiha sebagai satu kolaborasi yang bermakna selepas kejayaan yang diraih pada tahun lalu.

Ketua Pemasaran Giant Malaysia, Andre Lim berkata personaliti ceria dan bertenaga yang dimiliki Shiha menjadikannya figura yang dekat dengan masyarakat daripada pelbagai lapisan, sekali gus selari dengan profil pelanggan rangkaian pasar raya terbabit.

Menurutnya, lagu “Memori Raya” membawa pendekatan yang sedikit berbeza berbanding lagu raya mereka sebelum ini dengan menampilkan elemen nostalgia serta susunan muzik moden yang lebih catchy.

“Kami mahu apabila pelanggan mendengar lagu ini di radio atau di cawangan Giant, mereka akan berasa lebih teruja membuat persiapan raya bersama keluarga,” katanya.

Dalam masa sama, Giant Malaysia turut memperkenalkan kempen Aidilfitri bertemakan “Jimat Berganda, Raya Bergaya” yang menawarkan pelbagai ganjaran menarik kepada pelanggan.

Menerusi peraduan “Beli & Menang” yang berlangsung dari 26 Februari hingga 15 April 2026, pelanggan yang berbelanja minimum RM60 dalam satu resit di mana-mana cawangan Giant berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik termasuk bar emas.

Antara hadiah yang ditawarkan ialah bar emas seberat 10 gram sebagai hadiah utama, bar emas 5 gram sebagai hadiah kedua serta 15 hadiah berupa bar emas seberat 1 gram.

Selain itu, pelanggan juga berpeluang memenangi baucar tunai Giant bernilai RM100 sebagai hadiah mingguan.

Kempen terbabit turut disokong beberapa rakan jenama strategik seperti Uncle Jack, F&N, Kimball, Crunchitos dan Golden Bites bagi memastikan pelanggan menikmati pelbagai pilihan produk dengan harga promosi yang lebih kompetitif.

Dengan gabungan lagu raya yang sarat nostalgia serta kempen menarik daripada Giant Malaysia, kolaborasi ini diharap mampu memeriahkan lagi sambutan Aidilfitri tahun ini selain mencipta kenangan manis buat rakyat Malaysia.

https://www.youtube.com/watch?v=7
ARTIKEL BERKAITAN

Popular