26.8 C
Kuala Lumpur
Sunday, May 10, 2026

Izzue Islam, Dehaniff bangkitkan nostalgia Aidilfitri menerusi lagu Raya ‘Dulu Kini Raya’

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri, industri muzik tempatan kembali meriah dengan kehadiran pelbagai karya baharu daripada penyanyi tanah air.

Antara yang mencuri perhatian ialah kolaborasi dua penyanyi, Izzue Islam dan Dehaniff yang tampil dengan lagu duet raya berjudul Dulu Kini Raya.

Lagu itu membawa nuansa nostalgia yang mengimbau kenangan sambutan Aidilfitri pada zaman dahulu, namun disuntik dengan elemen muzik moden yang lebih segar.

Bagi Izzue atau nama sebenarnya Muhammad Izzul Islam Mazlan, 36, karya itu cukup dekat di hatinya kerana mengingatkan pengalaman beraya ketika zaman kanak-kanak dan remaja.

Menurutnya, gabungan elemen klasik dan kontemporari dalam lagu tersebut menjadikannya lebih mudah diterima oleh pendengar daripada pelbagai generasi.

Katanya, aura lagu raya tradisional masih dikekalkan, namun diberikan sentuhan moden agar generasi masa kini turut dapat menikmatinya.

“Lagu ini ada aura klasik raya yang kita semua rindu. Dalam masa sama, ada sentuhan moden supaya generasi sekarang pun boleh menikmatinya.

“Elemen nostalgia itu memang terasa, seperti kenangan kita beraya dulu-dulu, cuma bunyinya lebih segar dan itu yang menjadikan lagu ini ada identiti tersendiri,” katanya.

Mengulas mengenai kemunculan banyak lagu raya baharu setiap kali menjelang Aidilfitri, Izzue melihat situasi itu sebagai sesuatu yang positif kepada industri muzik tempatan.

Izzue berkata, semakin banyak lagu raya diterbitkan, semakin meriah sambutan perayaan itu.

Beliau tidak melihat fenomena itu sebagai persaingan semata-mata, sebaliknya sebagai usaha bersama dalam kalangan artis untuk memeriahkan sambutan Aidilfitri.

“Setiap lagu mempunyai peminat tersendiri dan beliau berharap “Dulu Kini Raya” mampu menjadi antara lagu yang sering dimainkan orang ramai, sama ada ketika pulang ke kampung mahupun ketika berkumpul bersama keluarga,” katanya.

Dalam masa sama, Izzue turut berkongsi pengalaman bekerjasama dengan Dehaniff yang menurutnya berlaku secara semula jadi kerana keserasian yang baik sepanjang proses rakaman.

Beliau menyifatkan tenaga serta gaya vokal Dehaniff sangat sesuai dengan konsep lagu terbabit, sekali gus menjadikan gabungan suara mereka lebih menyerlah.

“Dehaniff ada tenaga yang sepadan dengan lagu ini. Apabila kami bekerjasama, chemistry itu datang dengan sendiri.

“Sebab itu apabila idea untuk menghasilkan lagu raya ini timbul, saya yakin gabungan kami boleh menjadikan lagu ini lebih hidup,” katanya.

Selain lagu, pembikinan video muzik “Dulu Kini Raya” turut menjadi antara aspek menarik projek berkenaan.

Proses penggambaran yang dilakukan dengan konsep luar daripada kebiasaan menampilkan beberapa elemen unik yang jarang digunakan dalam video muzik raya.

Pembikinan video muzik itu menelan kos yang agak tinggi dengan penggunaan beberapa prop istimewa, termasuk seekor lembu yang dibawa khas dari Melaka serta penggunaan kren skylift bagi menghasilkan visual yang lebih dramatik.

Menurut Izzue, idea-idea luar biasa itu sengaja direalisasikan bagi memberikan pengalaman visual yang berbeza kepada penonton.

Walaupun berdepan cabaran serta kos produksi yang tinggi, mereka tetap berusaha memastikan video muzik itu tampil dengan kelainan yang mudah diingati.

“Memang ada unsur ‘gila’ dalam pembikinan video muzik ini, tetapi bagi kami, kalau mahu buat sesuatu, biarlah dibuat dengan bersungguh-sungguh. Kami mahu penonton melihat sesuatu yang lain daripada video muzik raya biasa,” katanya.

Sementara itu, Dehaniff menyifatkan Izzue sebagai rakan duet yang sangat komited dan mudah bekerjasama sepanjang proses penghasilan lagu berkenaan.

Menurutnya, “Dulu Kini Raya” menggabungkan beberapa elemen genre muzik yang menjadikannya sesuai dinikmati oleh pendengar daripada pelbagai lapisan usia.

Katanya, lagu itu mampu memberikan rasa gembira kepada pendengar, selain membawa suasana ceria yang sinonim dengan sambutan Aidilfitri.

“Lagu ini menggabungkan beberapa genre dan mudah untuk dinikmati oleh semua.

“Apabila mendengarnya, ia boleh memberikan rasa gembira. Ketika merakam lagu ini, saya tidak terlalu gementar, sebaliknya lebih teruja kerana percaya dengan kelainan yang kami tampilkan,” katanya.

Dehaniff turut berpendapat konsep video muzik yang unik menjadi antara tarikan utama dalam memperkenalkan lagu tersebut kepada khalayak.

Beliau berharap “Dulu Kini Raya” bukan sahaja mendapat sambutan ketika ini, malah mampu kekal sebagai antara lagu raya kegemaran ramai pada masa akan datang.

Lagu “Dulu Kini Raya” kini boleh didengari di pelbagai platform penstriman digital, manakala video muzik rasminya turut dilancarkan di YouTube untuk tontonan umum.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular