editormaxinfo@gmail.com
SERI KEMBANGAN – Industri perfileman tempatan terus diperkaya dengan naskhah berteraskan isu semasa apabila syarikat produksi Key Billions Sdn. Bhd. melancarkan filem terbaharu terbitannya berjudul Tiket Sehala.
Filem arahan Rahila Ali ini tampil berani mengangkat kisah mangsa sindiket penipuan tawaran kerja di luar negara, satu masalah global yang semakin membimbangkan termasuk dalam kalangan rakyat Malaysia.
Menurut Rahila, Tiket Sehala diinspirasikan daripada kisah benar yang mencerminkan realiti pahit dihadapi mangsa yang terperdaya dengan tawaran pekerjaan luar negara.
Katanya, karya itu dihasilkan atas dasar tanggungjawab sosial untuk memaparkan kesan dan akibat yang perlu ditanggung apabila seseorang terjebak dalam sindiket sedemikian.
“Pendekatan penceritaan yang realistik dan emosional diharap mampu membuka mata masyarakat agar lebih berwaspada sebelum menerima sebarang tawaran pekerjaan di luar negara,” katanya.

Filem ini menampilkan barisan pelakon tempatan popular seperti Noki K-Clique, Jaa Suzuran, Ainee Mustafa, Zaki Yamani, Sharifah Sakinah, Hasnul Rahmat, Sheila Mambo, Ardell Aryana, Fancy Goh serta Shaharudin Jamaludin.
Menariknya, Tiket Sehala turut membariskan pelakon dari empat negara iaitu Malaysia, Korea Selatan, Thailand dan Indonesia, sekali gus memberikan dimensi antarabangsa kepada penceritaan.
Antara pelakon luar negara yang terbabit termasuk Hyunjun Sun dari Korea Selatan, Ninja dari kumpulan SuperThai (Thailand) dan Naufal Samudra dari Indonesia.
Gabungan pelakon rentas negara ini bukan sahaja menguatkan aspek naratif, malah berpotensi menarik perhatian penonton serantau serta memperluas pasaran filem Malaysia ke peringkat antarabangsa.
Sinopsis Tiket Sehala membawa penonton menyusuri kisah gelap sekumpulan pekerja warga Malaysia yang terperangkap dalam sistem pemerdagangan manusia yang kejam di Korea Selatan.

Watak Alif, Putri dan Taqy digambarkan sebagai mangsa keadaan yang dieksploitasi oleh sindiket tidak bertanggungjawab yang mengambil kesempatan atas kesempitan hidup dan harapan untuk masa depan lebih baik.
Naratif ini sarat dengan emosi, konflik dan mesej kesedaran yang kuat tentang bahaya sindiket penipuan kerja luar negara.
Majlis pelancaran filem berkenaan turut dimeriahkan dengan persembahan istimewa robot di bawah kelolaan Shadow Combat League, sekali gus memberikan kelainan kepada acara itu.
Shadow Combat League adalah kategori hiburan sukan baharu yang menggabungkan sukan tempur, permainan, teknologi dan hiburan digital yang dikuasakan oleh Virtuals serta dibina di atas rangkaian blockchain Base.

Pendekatan inovatif ini memperlihatkan gabungan dunia hiburan dan teknologi yang semakin berkembang.
Sementara itu, Pengasas Key Billions Sdn. Bhd., Eddie Yap berkata, pihaknya tertarik untuk menerbitkan Tiket Sehala kerana kelainan naskhah yang jarang diketengahkan dalam industri perfileman tempatan.
Menurutnya, isu sindiket penipuan kerja di luar negara adalah masalah besar yang wajar diberikan perhatian serius melalui medium filem sebagai platform kesedaran masyarakat.
“Penggambaran filem ini dijalankan di Korea Selatan dengan penglibatan kru produksi dari Malaysia dan negara berkenaan.
“Kerjasama rentas negara ini bukan sahaja memperkaya pengalaman produksi, malah membuka ruang kepada kru tempatan untuk mempelajari teknik dan standard kerja antarabangsa dalam usaha meningkatkan kualiti filem tempatan pada masa hadapan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Key Billions kini melangkah setapak lagi dalam industri apabila menubuhkan cabang pengedaran sendiri dikenali sebagai Key Billions Distribution. Penubuhan syarikat pengedaran ini menandakan keseriusan mereka dalam membangunkan ekosistem perfileman yang lebih mampan dan berdaya saing.
Eddie berkata, jika sebelum ini filem Soloz: Game Of Life yang diterbitkan syarikatnya diserahkan kepada pengedar lain untuk tayangan pawagam, namun bagi Tiket Sehala, semua urusan pengedaran termasuk promosi akan diuruskan sepenuhnya oleh Key Billions Distribution.
Malah, syarikat itu turut membuka peluang kepada penerbit lain untuk menggunakan khidmat mereka sebagai pengedar filem tempatan mahupun antarabangsa.

Selain Tiket Sehala, Key Billions Distribution juga telah memperoleh hak pengedaran bagi dua filem lain iaitu Gayong 2 dan Tarung Unforgiven yang dijangka menemui penonton di pawagam tidak lama lagi.
Langkah ini memperlihatkan strategi agresif syarikat dalam memperkukuh portfolio serta jaringan pengedaran mereka.

Tiket Sehala bukan sahaja memperkenalkan sebuah filem berunsur kesedaran sosial yang relevan dengan isu semasa, malah menjadi bukti komitmen Key Billions dalam memperkasa industri perfileman Malaysia melalui penerbitan berkualiti dan sistem pengedaran yang lebih tersusun.
Dengan gabungan tema berani, pelakon antarabangsa serta pendekatan produksi profesional, Tiket Sehala dijangka menjadi antara filem tempatan yang mencuri perhatian dan memberi impak besar kepada penonton.

