27.9 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 16, 2026

Maldives lancar Tech4Nature di SAMPA, lindungi jerung paus dan perkasa pemuliharaan marin

editormaxinfo@gmail.com

MALÉ – Usaha pemuliharaan marin di Maldives melangkah ke fasa baharu apabila International Union for Conservation of Nature (IUCN), Kementerian Pelancongan dan Alam Sekitar Republik Maldives serta Huawei melancarkan projek Tech4Nature bagi memodenkan pengurusan South Ari Marine Protected Area (SAMPA).

Inisiatif ini memanfaatkan teknologi pemantauan lapangan dan komunikasi masa nyata untuk melindungi populasi jerung paus yang ikonik, di samping menyeimbangkan tekanan sosioekonomi di destinasi pelancongan bertaraf dunia itu.

Sebagai kawasan perlindungan marin terbesar di Maldives dan antara tapak pengumpulan signifikan jerung paus spesies Rhincodon typus sepanjang tahun di peringkat global, SAMPA menjadi tumpuan ribuan pelancong setiap tahun.

Namun, keluasan kawasan serta pelbagai titik capaian menimbulkan cabaran logistik terhadap pendekatan pemantauan konvensional.

Projek Tech4Nature hadir bagi merapatkan jurang tersebut dengan membekalkan renjer peralatan pemerhatian dan pelaporan digital yang lebih sistematik dan bersepadu.

Melalui pengukuhan pengumpulan serta komunikasi data di lapangan, renjer kini mampu melaksanakan rondaan dengan lebih cekap, menjejaki interaksi antara spesies dan pelancongan serta membangunkan kerangka pengurusan berasaskan data.

Pendekatan ini bukan sahaja meningkatkan ketelusan dan kebolehukuran usaha pemuliharaan, malah menyokong aspirasi SAMPA untuk disenaraikan dalam Senarai Hijau IUCN, satu penanda aras global bagi kawasan perlindungan yang diurus secara berkesan dan saksama.

Projek di Maldives ini adalah sebahagian daripada kerjasama global Tech4Nature yang dilancarkan pada 2020 dan dipimpin bersama oleh IUCN dan Huawei di bawah program rangkuman digital TECH4ALL.

Selaras dengan Standard Kawasan Perlindungan dan Pemuliharaan Senarai Hijau IUCN, inisiatif ini memperlihatkan bagaimana teknologi digital boleh memacu pemuliharaan alam semula jadi yang lebih efektif.

Pelancarannya dimuktamadkan dalam upacara penutup Forum Kawasan Perlindungan dan Pemuliharaan Maldives 2026.

Sebagai projek Tech4Nature pertama di Maldives, inisiatif di SAMPA menumpukan kepada usaha memperkukuh keseimbangan antara sektor pelancongan dan pemuliharaan biodiversiti.

Penambahbaikan pengurusan pelawat, peningkatan tahap pematuhan serta sokongan terhadap proses membuat keputusan berasaskan sains menjadi teras utama pelaksanaannya.

Sepanjang tempoh projek, pasukan renjer SAMPA akan dilengkapi peralatan pemantauan dan komunikasi bagi mempertingkat rondaan serta penguatkuasaan di tapak.

Langkah ini membolehkan tindakan segera terhadap sebarang aktiviti tidak selamat atau pelanggaran peraturan, sekali gus meningkatkan keselamatan pengunjung dan mengurangkan risiko interaksi berbahaya dengan jerung paus.

Pemantauan yang dipertingkat juga dijangka menggalakkan amalan pelancongan yang lebih lestari dan sejajar dengan matlamat pengurusan kawasan perlindungan terbabit.

Pengarah Serantau IUCN untuk Asia dan Pengarah Hab untuk Oceania, Dr Dindo Campilan, berkata pemuliharaan berkesan bermula dengan memperlengkap renjer dengan peralatan asas bagi pemantauan berterusan di lapangan.

“Pendekatan ini meletakkan asas kukuh untuk tadbir urus ekosistem yang lebih baik, sekali gus memastikan biodiversiti unik SAMPA dan mata pencarian komuniti tempatan terus terpelihara.

“Seiring pelaksanaan teknologi di lapangan, projek ini turut merangkumi latihan kepada renjer mengikut Standard Senarai Hijau IUCN,” katanya.

Beliau berkata, penilaian asas tapak akan dijalankan bagi mengenal pasti kekuatan, jurang serta tindakan keutamaan dalam usaha mempertingkat pengurusan kawasan perlindungan terbabit secara berstruktur dan berimpak tinggi.

Menteri Pelancongan dan Alam Sekitar Maldives, Thoriq Ibrahim, berkata Kerajaan terus memberi komitmen untuk memperkukuh mekanisme institusi dan tadbir urus dalam pengurusan kawasan perlindungan.

Beliau menekankan kepentingan kerjasama semua pihak dalam mencapai matlamat pemuliharaan dengan visi dan tanggungjawab bersama.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Huawei Sri Lanka, Zhang Jinze, berkata kejayaan projek-projek Tech4Nature sejak 2020 membuktikan penyelesaian teknologi inovatif mampu membantu memahami dan mengurangkan ancaman terhadap biodiversiti serta ekosistem, termasuk ekosistem marin.

Beliau turut menekankan kepentingan penglibatan rakan kongsi dan komuniti tempatan dalam memastikan kelestarian penyelesaian yang dilaksanakan.

Sehingga kini, Tech4Nature telah menyokong 11 projek andalan dan satelit di pelbagai negara, menyediakan penyelesaian digital tersuai bagi cabaran pemuliharaan seperti pemantauan terumbu karang, perlindungan hidupan liar dan pemulihan ekosistem.

Pelaksanaan di SAMPA menandakan satu lagi langkah strategik dalam memperluas penggunaan teknologi digital untuk melindungi khazanah alam semula jadi dunia, khususnya spesies ikonik seperti jerung paus yang menjadi simbol kekayaan biodiversiti Maldives. -Agensi

ARTIKEL BERKAITAN

Popular